SAMAN TUNTUTAN KECIL DITOLAK

Assalamualaikum dan Salam Hari Kebangsaan ke-63 Tahun,

Anda masih ingat posting saya mengenai prosedur saman tuntutan kecil sebelum ini? Ala, yang saya poskan DI SINI tu. Masa itu sebutan kes untuk pengurusan.

Minggu lepas bakalpeguam sempat menyaksikan kes itu menjalani perbicaraan penuh.

Sumber gambar di SINI

Ceritanya begini. Dalam post ini kita namakan Plaintif sebagai "C" dan Defendan sebagai "B" supaya senang anda faham.

Wanita C (iaitu plaintif) menyaman wanita B (iaitu defendan) kerana telah meninggalkan premis yang disewa oleh B dengan bil-bil elektrik yang tertunggak. B telah menyewa premis ini dari tahun 2013 sehingga keluar dari premis itu setelah tamat kontrak sewaan pada bulan Ogos tahun 2019 (tepatnya setahun lepas iaitu 31 Ogos 2019) selepas 2 kali pelanjutan kontrak. Ada perjanjian sewa atau tenancy agreement yang lengkap. 

Premis ini adalah sebuah premis perniagaan dalam bangunan shopping complex yang mempunyai 2 jenis bil elektrik.

Satu bil oleh penyedia bekalan elektrik iaitu SESB, satu lagi oleh pemilik bangunan premis itu (kita sebutkan saja sebagai pembekal D). Pelik, kan mengapa satu premis tetapi kena caj berganda untuk penggunaan elektrik.

Entah kenapa dan bagaimana ini boleh berlaku, yang mana tidak sepatutnya berlaku tetapi hakikatnya ia tetap berlaku (haaa padan muka aku).

So, berbalik kepada saman tuntutan kecil C tadi. Dia saman B kerana bil-bil elektrik pembekal D telah tertunggak sejak Mac 2013 sehingga sekitar Julai 2016. Jumlahnya melebihi RM3,000. Kemudian, C juga menuntut sebanyak RM700 lebih bagi bil-bil elektrik SESB bagi tempoh Januari 2020 sehingga Julai 2020.

Defendan telah memfailkan pembelaannya dan membuat tuntutan balas bagi mendapatkan kembali deposit sewa berjumlah RM1,600.

Bicara pun bermula dan masing-masing si C dan B memanggil hanya diri mereka masing-masing sebagai saksi. Perbicaraan agak tegang juga namun dapat dikawal dengan baik oleh Majistret.

C pun kemukakan berbagai jenis ikatan dokumen. Majistret siap puji lagi "ikatan ini semacam dibuat oleh peguam" katanya.

Selepas memberikan keterangannya dan disoal balas bertalu-talu oleh B, akhirnya B pula memberikan keterangannya. B tiada kemukakan apa-apa dokumen, hanya keterangan lisan yang banyak tidak dipertikaikan oleh C kecuali dalam isu pengembelian wang deposit sewa.

Akhirnya, selepas B selesai memberikan keterangannya, Majistret memberikan peluang mereka 'berhujah' secara lisan lagi sebelum memberikan keputusan Mahkamah.

Dan seperti dijangka (dan diberitahu di atas) saman ini ditolak tanpa kos. Tuntutan balas juga ditolak tanpa kos.

Eh, maknanya kes ini tiada siapa yang menang dan dua-dua pihak sebenarnya kalah? Bolehkah begitu?

Ya memang boleh tuan-puan.

Pertamanya, alasan Majistret ialah kerana C tiada locus standi
 
Dalam keterangan C, dia katakan bahawa tuntutan bagi bil elektrik pembekal D mencecah RM3,000 lebih itu dibilkan atas nama syarikat B namun tidak pernah dituntut oleh pihak penyedia bekalan. Dan Majistret juga mengatakan agak pelik kerana bil yang terlalu lama tetapi tiada tindakan diambil untuk menuntut B menjelaskan bayaran bil tersebut. Dan yang paling penting, C juga mengesahkan bahawa dia sendiri sebagai pemilik premis tiada membuat pembayaran pendahuluan bagi pihak B sebelum membuat tuntutan ini.

Sebab itulah Majistret kata C tiada locus standi bagi membuat tuntutan ini kerana pihak yang sepatutnya membuat tuntutan ialah penyedia bekalan elektrik itu iaitu pembekal D.

Majistret juga menyatakan agak pelik dengan kewujudan bil ini kerana B mengatakan sepanjang berada di premis tersebut, dia tidak pernah membayar kepada pembekal D untuk bekalan elektrik itu, malah tiada juga meter khas bagi bekalan elektrik ini selain dari meter dipasang oleh SESB dan B juga tiada perjanjian atau akaun elektrik dengan pembekal D. 

Maka, siapakah yang membayar bil bagi bulan Januari dan Februari 2013 dan tahun 2016 sehingga 2019 kepada pembekal D? C juga tidak dapat kemukakan dokumen sokongan selain daripada surat pengesahan dari pembekal D yang mengatakan B memang ada tunggakan bil bagi tempoh tersebut.

(Bakalpeguam tidak ingat samada Majistret ada menyentuh mengenai undang-undang had masa berdasarkan Limitation Ordinance kerana ia juga boleh terpakai bagi kes tuntutan lama seperti ini untuk menolak saman ini).

Selain itu, Mahkamah memutuskan bahawa bagi bil SESB dalam tempoh Januari hingga Julai 2020, C juga tiada hak membuat tuntutan kerana bil itu atas nama dan akaun B bersama SESB dan hanya pihak SESB sahaja yang boleh menuntutnya dari pihak B. C juga mengesahkan dia tidak buat bayaran pendahuluan bagi pihak B untuk menuntut kembali wang ini.

Atas sebab-sebab itulah tuntutan C ditolak tanpa kos (kerana C pun tiada menuntut apa-apa kos).

Bagaimana pula tuntutan balas B ditolak juga?

Kerana C ada menyoal balas B bahawa B mempunyai tunggakan sewa dan deposit itu telah ditolak bagi menampung tunggakan itu. B tiada bantahan dan tidak juga kemukakan apa-apa dokumen untuk menyokong keterangannya.

Atas sebab itu, obligasi B terhadap perjanjian sewa masih perlu dipenuhi dan C telah menguatkuasakan haknya ke atas deposit ini. Dengan itu tuntutan balas juga ditolak tanpa sebarang kos.

Maka, dalam kes ini tiada pihak yang menang dan kedua-duanya telah kalah kes.
 
Pengajaran pertama ialah: sebelum memfailkan kes, pastikan anda mempunyai hak untuk mengambil tindakan (locus standi) dan asas atau kausa tindakan (cause of action).

Pengajaran kedua ialah: apabila mengemukakan saman tuntutan kecil, anda mestilah berlapang dada dan membuka pemikiran dengan lebih luas. Cubalah selesaikan pertikaian ini dengan berbincang secara baik di hadapan Majistret. Jangan terus bermasam muka dan menganggap anda sahaja yang betul. Jangan terus berlagak 'bodoh sombong' kononnya dalam mempertahankan hak anda sedangkan belum tentu anda boleh menang di dalam Mahkamah yang sebegini simple. Maka, sebelum meminta kes dibicarakan, kes saman tuntutan kecil sebenarnya boleh dipermudahcara melalui proses mediasi antara kedua-dua pihak. Tuntutan pun bukanlah sampai berjuta ringgit, kan. Boleh saja kompromi tanpa menjejaskan atau memprejudiskan hak anda di sisi undang-undang.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI