PEGAWAI PENGUATKUASA MAHKAMAH TINGGI
Assalamualaikum,
Di Malaysia, kita mempunyai sistem Bailif dan Sherif Mahkamah yang bertanggungjawab bagi menguatkuasa penghakiman Mahkamah. Bailif ialah pegawai yang diberi kuasa di Mahkamah Rendah manakala Sherif pula ialah seorang pegawai yang diberi kuasa di Mahkamah Tinggi.
Sherif dan Bailif ini ialah Pendaftar Mahkamah tersebut, dan kerja-kerja penguatkuasaan penghakiman ini didelegasi kepada kakitangan (biasanya Pembantu Tadbir Undang-Undang) bagi menjalankan kerja-kerja di lapangan.
Antara tugas mereka ini ialah melaksanakan Writ Penyitaan dan Jualan, Saman Penghutang Penghakiman, Writ Distres, Writ Pemilikan dan lain-lain. Selalunya peranan mereka adalah untuk menyita harta Penghutang Penghakiman untuk dijual atau dilelong bagi menyelesaikan hutang yang dihakimkan dan mengambil alih harta alih atau tidak alih untuk diserahkan kembali kepada Pemiutang Penghakiman serta membuat tangkapan sivil ke atas Penghutang Penghakiman.
Semua tugas dan peranan ini terdapat di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 serta pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Mahkamah.
Walau bagaimanapun, hakikatnya di Malaysia, terutamanya di Negeri Sabah, pelaksanaan penghakiman ini biasanya tidak berkesan. Ini terjadi atas faktor berikut mengikut pemerhatian dan pengalaman bakalpeguam:
1. Kekurangan kakitangan. Ya, Bailif dan Sherif yang ada di Sabah hanya beberapa orang sahaja. Boleh dibilang dengan jari dan tidak setimpal dengan jumlah penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah.
2. Ada kakitangan tapi tidak terlatih. Percayalah, mereka yang diberi kuasa sebagai Sherif dan Bailif ini memang tidak diberikan latihan secukupnya. Mereka hanya belajar daripada senior yang juga sebenarnya tiada pendedahan atau pengalaman bagaimana melaksanakan penghakiman dengan lebih berkesan atau dengan cara yang betul. Malah, Pendaftar sendiri pun ada yang tidak tahu mengenai peranan dan tugas mereka sebagai Sherif dan Bailif. Mereka lebih mengharap kepada pihak-pihak sendiri menyelesaikan pertikaian mereka atau serahkan urusan ini kepada pihak polis.
3. Sherif dan Bailif tidak diberikan peralatan perlindungan atau pertahanan diri secukupnya. Jangankan pakaian seragam yang langsung tidak wujud, perlindungan diri atau pertahanan diri juga tidak ada dibekalkan oleh kerajaan. Kakitangan yang membuat pelaksanaan penghakiman sebenarnya amat berisiko untuk dicederakan oleh Penghutang Penghakiman. Pun begitu, sehingga kini tiada sebarang peralatan wajar yang diberikan kepada Sherif dan Bailif. Barangkali pihak atasan berpandangan 'alah, kalau ada ancaman minta saja bantuan polis atau terus saja ke balai untuk buat laporan polis.'
4. Kurangnya bantuan dan kerjasama pihak polis. Tidak dinafikan bahawa selalunya anggota polis akan hadir semasa pelaksanaan dijalankan oleh kakitangan Mahkamah. Pun begitu, selalunya anggota polis yang hadir tidak mencukupi, malah, acapkali mereka hanya berperanan sebagai pemerhati sahaja dan tidak melakukan apa-apa tindakan terhadap ugutan atau ancaman dibuat oleh Penghutang Penghakiman. Biasanya merekalah yang menasihati pegawai Mahkamah untuk beredar dan pergi ke balai polis untuk membuat laporan bagi tindakan selanjutnya tanpa mengambil tindakan secara in-situ sedangkan mereka mempunyai segala kuasa untuk mengekalkan keamanan sepanjang pelaksanaan dibuat dan mana-mana orang yang menghalang tugas pegawai Mahkamah bukan sahaja telah menghina Mahkamah, malah telah melakukan kesalahan boleh tangkap tanpa waran iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas mereka.
Atas sebab-sebab di atas dan lain-lain sebab yang tidak disebutkan, maka sewajarnya kerajaan melalui Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMPM) melihat kembali Standard Operating Procedure (SOP) berkaitan pelaksanaan penghakiman ini.
Seperti yang dilaksanakan di United Kingdom (UK) yang menubuhkan Pegawai Penguatkuasa Mahkamah Tinggi atau High Court Enforcement Officer (HCEO) yang dijenamakan semula menggantikan Sherif dan Bailif ini.
Malaysia sepatutnya belajar dan aplikasi kaedah yang digunapakai oleh HCEO ini bermula dari segi pakaian, logistik dan SOP yang amat jelas terutamanya berhubung Do's and Dont's seseorang HCEO. Dan kerjasama dan bantuan yang erat perlu diselaras bersama pihak PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjamin keselamatan dan keamanan sepanjang pelaksanaan penghakiman, terutamanya apabila melibatkan harta tidak alih yang rumit dan kompleks.
Dengan cara itu, penghakiman Mahkamah akan terus dihormati dan digeruni semua pihak, terutamanya oleh para Penghutang Penghakiman.
Tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan perkara ini menjadi kenyataan di Malaysia. Mungkin, sebagai permulaan bakalpeguam cadangkan untuk HCEO Malaysia disumberluarkan (outsource) dengan melantik para pesara tentera dan polis (yang masih mempunyai kekuatan dan keupayaan fizikal dan mental) untuk menjalankan tugas pelaksanaan penghakiman ini. Mereka ini mempunyai pengalaman dan latihan yang mencukupi, maka ia boleh menjimatkan wang kerajaan daripada menjalankan latihan yang terlalu intensif dan padat.
Untuk lebih pencerahan, pembaca bolehlah tonton dalam Youtube berkenaan tugas-tugas HCEO ini dalam siri bertajuk "Can't Pay We'll Take It Away" seperti contoh dalam link DI SINI.
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan