GAJI DAN ELAUN HAKIM MAHKAMAH TINGGI

Sebelum ini saya sudah bercerita tentang gaji seorang Pesuruhjaya Kehakiman. Sila baca di SINI.

Pesuruhjaya Kehakiman secara ringkasnya ialah 'Hakim Mahkamah Tinggi yang belum disahkan jawatan'. Mereka menjalankan tugas dan kuasa yang sama seperti seorang Hakim Mahkamah Tinggi, hanya nama jawatan sahaja sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Kalau Pesuruhjaya Kehakiman tidak menunjukkan prestasi yang baik, mereka tidak akan disahkan ke jawatan Hakim. Seperti dalam berita yang dilaporkan di SINI dan SINI.

Hakim Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang DiPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah merujuk ke Majlis Raja-Raja. Sebelum menasihati Yang DiPertuan Agong, Perdana Menteri pula haruslah merujuk kepada Ketua Hakim Negara. Ini adalah berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan, sebelum pelantikannya, seseorang hakim haruslah memiliki kelayakan berikut: iaitu dia mestilah seorang warganegara Malaysia dan dalam tempoh 10 tahun sebelum pelantikannya, mestilah seorang peguam yang menjalankan amalan guaman atau seorang pegawai dari perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan dan Negeri atau mana-mana salah satu daripadanya.

Maknanya, seorang hakim itu mestilah dari latar belakang perundangan yang memiliki ijazah undang-undang dan telah menjalankan amalan guaman samada di dalam kerajaan atau swasta.

Ok, cukup pasal kelayakan-kelayakan. Kita cerita pasal duit pula.

Ada orang tanya saya berapa sebenarnya gaji dan elaun seorang hakim?

Dalam posting ini saya akan senaraikan saraan seorang Hakim Mahkamah Tinggi saja. Ia sebenarnya telah termaktub dalam Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).

Hakim-hakim pun terima gaji bulanan juga, dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan.

Jom kita lihat. Senarai ini adalah setakat 4 Julai 2017. Di masa hadapan mungkin akan berubah lagi.

  • Gaji pokok = RM26,500
  • Subsidi Elaun Rumah = RM3,000
  • Peruntukan Pembantu Rumah = RM2,000
  • Peruntukan Jagaan Halaman Rumah = RM3,000 (setahun)
  • Elaun Perumahan Khas = separuh dari subsidi elaun rumah (RM1,500) jika tinggal di kuarters yang disediakan kerajaan fully furnished)
  • Elaun Keraian = RM5,000
  • Elaun Wilayah = 10% dari gaji pokok bagi Hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak (RM2,650).
  • Elaun Khas Kehakiman = RM6,000

Itu saja gaji dan elaun seorang Hakim. Campur tolak darab bahagi jumlah sebulan lebih kurang dalam.. hmmm... RM45,150.00 sebulan!!!

Antara kemudahan lain yang dinikmati oleh Hakim-hakim pula ialah:

  1. Kenderaan rasmi kerajaan berserta semua aksesori dan petrol serta penyelenggaraan dan tol ditanggung oleh kerajaan (minyak dan tol free!). Ia juga diletakkan lambang/crest yang diuluskan oleh Ketua Hakim Negara.
  2. Elaun dan pakaian uniform pemandu ditanggung oleh kerajaan. Kadar yang sama seperti pemandu kerajaan (driver free!).
  3. Elaun tugas rasmi luar pejabat atas kadar yang sama seperti pegawai JUSA A.
  4. Pakaian rasmi pada kadar RM1,500 sekali dalam 2 tahun (baju kerja free!).
  5. Pakaian istiadat pada kadar yang ditentukan oleh Perbendaharaan.
  6. Elaun pakaian panas jika dikehendaki bertugas di negara sejuk atas kadar sama seperti pegawai JUSA A.
  7. Bayaran subsidi pakaian 'black tie' atas kadar yang sama seperti pegawai JUSA A.
  8. Pasangan Hakim layak menuntut elaun pakaian bagi majlis/istiadat rasmi atas kadar yang sama seperti Hakim tersebut.
  9. Kemudahan perubatan atas kadar sama seperti pegawai JUSA A.
  10. Cuti tahunan selama 35 hari tidak termasuk cuti umum dan hujung minggu.
  11. Bekalan utiliti di rumah Hakim ditanggung oleh kerajaan. Bekalan ini ialah air, elektrik, kumbahan dan gas bermeter (semua utiliti free!!!)
  12. Talian telefon dan internet di rumah Hakim ditanggung oleh kerajaan (juga free!). Talian telefon bimbit sehingga RM500 ditanggung oleh kerajaan.
  13. Kemudahan membeli telefon bimbit atas kadar yang sama seperti pegawai Staff III (saya percaya merujuk kepada pegawai Turus 3) (handphone free!).
  14. Kemudahan ke luar negara bagi diri sendiri, isteri dan 3 orang anak berumur bawah 21 tahun pada kadar kelas pertama (first class) KL ke London bagi diri sendiri dan pasangan dan kelas ekonomi (economy class atau coach) bagi 3 orang anak. Kemudahan ini layak dituntut sekali dalam 5 tahun kecuali Ketua Hakim Negara (setahun sekali raya datang lagi.. hehe). Hakim boleh memilih untuk mengambil tiket ini atau tunai sepertimana yang ditetapkan oleh kerajaan.
  15. Kemudahan balik Wilayah asal (Hakim Semenanjung bertugas di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya) sekali dalam setahun atas kadar kelas pertama bagi diri sendiri dan pasangan dan kelas ekonomi bagi 3 orang anak di bawah umur 21 tahun. Kemudahan mesti digunakan dalam tahun yang sama.
  16. Kad pesara apabila Hakim bersara.
  17. Kemudahan keahlian kelab sukan atau rekreasi seperti yang dibayar kepada pegawai JUSA A.
  18. Kemudahan pinjaman kenderaan kerajaan seperti kelayakan pegawai JUSA A.
  19. Kemudahan pinjaman perumahan kerajaan (maksimum pembiayaan RM700,000).
  20. Manfaat kematian dan kecederaan apabila berlaku kemalangan dalam penerbangan (kapal terbang). Kematian RM150,000. Kecederaan kekal antara RM150,000 hingga RM275,000.
Ok, cukuplah tu. Rambang mata tengok angka-angka dan ayat-ayat free ni.

Itulah saraan dan manfaat bagi seorang Hakim yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi di Malaysia. Ia sebenarnya sangat setimpal dengan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hakim, yang mana antara tugas mereka ialah mendengar, mensabitkan seseorang bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Dari Buraidah R.A. Rasulullah S.A.W bersabda, ”Hakim itu terdiri atas tiga kelompok, dua kelompok berada di Neraka dan satu kelompok berada di surga. Kelompok pertama adalah hakim yang mengetahui kebenaran (fakta), kemudian ia menetapkan keputusannya berdasarkan kebenaran tersebut, maka ia akan berada di Syurga.”

”Kelompok kedua,” lanjut Muhammad dalam hadis riwayat Hakim itu, ”Adalah hakim yang tahu kebenaran (fakta), tetapi ia tidak memutuskan berdasarkan kebenaran itu, maka ia berlaku zalim dalam hukum dan tempatnya adalah di Neraka. Ketiga, hakim yang tidak tahu kebenaran (fakta) dan ia menetapkan keputusan kepada manusia berdasarkan kebodohannya, maka tempatnya di Neraka.”

Ia bukanlah tugas yang mudah.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN