TAZKIRAH RINGKAS: TUHAN ITU MAHA ADIL

Dalam dunia ini tentunya masih ada orang yang masih tidak percayakan Tuhan. Malah, ramai juga yang tidak percaya bahawa Tuhan yang ada hanyalah ALLAH yang Maha Esa, Tuhan yang satu dan tiada lain selayaknya disembah melainkan-Nya.

Ayuh kita renungkan kenapa ada orang fikir Tuhan itu tidak wujud, atau kalau pun wujud Dia tidak adil.

Bayangkan kita berada dalam situasi dituduh melakukan kesalahan, walhal kita tidak melakukannya pun. Kita hanya dituduh.

Dan bukti yang ada pun tidak menyebelahi kita. Jadi di mata manusia kita tetap bersalah.

Adakah itu adil?

Tukar situasi. Seorang gadis menjadi mangsa rogol dan dia kenali perogol itu. Namun, akibat ketiadaan saksi dan kekurangan bukti yang ada, perogol itu didapati tidak bersalah dan dibebaskan.

Adakah itu adil?

Atau situasi sebegini. Anda membeli sebidang tanah dari seseorang kemudian tuan tanah tersebut menjualkannya kepada orang lain dan tidak membayar kembali wang anda. Anda saman dia di mahkamah namun dia telah menghilangkan diri dan wang anda juga lesap begitu sahaja. Mahkamah pula membuang kes anda kerana anda gagal membuktikan kes anda terhadapnya.

Adakah itu adil?

Tentunya tidak, bukan?

Apakah remedi atau pembalasan yang boleh kita harapkan jika kita dalam situasi sedemikian?

ALLAH itu Maha Adil dan segala keadilan yang ada hanyalah daripada-Nya.

Jawapannya adalah kita harus percaya dan yakin serta beriman dengan qada dan qadar iaitu apa saja ketentuan Allah kerana apa jua yang kita lakukan, apa jua yang kita hadapi pada hari ini, samada baik atau buruk akan ada pembalasannya di hari pembalasan.

Bukankah ALLAH sudah memberitahu kita dalam Surah Al-Fatihah ayat ke-4 bahawa Dialah yang menguasai Hari Pembalasan?

Jadi, apabila kita merasakan bahawa kita tidak mendapat keadilan yang setimpal di muka bumi ini, percayalah dan yakinlah bahawa sesungguhnya kita layak mendapat keadilan di akhirat nanti.

Bukalah hati dan pemikiran kita bahawa ALLAH itu tetap ada bersama kita dalam susah ataupun senang, hatta dalam keadaan kita teraniaya sekalipun. Bukankah kita sudah diajar bahawa doa orang teraniaya itu tidak ada hijab? Ia akan sampai terus direct kepada ALLAH tanpa sebarang halangan.

Oleh itu, perteguhkan dan kuatkan iman kita kepada-Nya kerana percaya kepada Hari Akhirat dan percaya kepada Qada dan Qadar itu adalah rukun iman yang keempat dan keenam. Jika kita tidak mempercayainya, maka longgarlah iman kita.

Bila kita tidak mendapat keadilan di dunia, sudah pasti kita akan memperolehinya di akhirat sana kerana janji ALLAH itu adalah pasti.

Akhirnya, ingat, ALLAH itu Maha Wujud dan Maha Adil.

Selamat Hari Jumaat semua.

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN