MENJADI PEGUAM DI NEGERI SABAH

Untuk rekod, saya bukan peguam.

Namun, untuk rekod juga saya ialah seorang bakal peguam dan telah didaftarai dalam Roll of Advocates Negeri Sabah. Saya telah diterima masuk sebagai seorang peguam di Negeri Sabah pada 8 Mei 2013.

Saya tidak menjalankan amalan guaman kerana pada masa ini saya bekerja dengan kerajaan.

Sebagai seorang peguam di Sabah, anda memakai 2 topi iaitu seorang peguambela dan peguamcara dalam masa yang sama.

Jikalau di England, seorang peguam hanya memakai satu topi dalam satu masa iaitu sebagai barrister atau solicitor.

Maknanya, di Sabah, anda boleh beramal sebagai seorang peguam pembela di Mahkamah dan dalam masa sama sebagai peguamcara yang mengendalikan hal-hal dokumentasi perundangan.

Bagaimana menjadi seorang peguam di Sabah?

Jom kita sembang syarat kelayakan untuk menjadi seorang peguam khususnya di negeri Sabah.

Terdapat perbezaan antara Majlis Peguam di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah kerana masing-masing mempunyai punca kuasa iaitu Akta dan Ordinan sendiri. Untuk Negeri Sabah, kitab utama kita ialah Advocates Ordinance (Sabah Cap. 2).

Ok, untuk melayakkan diri menjadi seorang peguam kita perlulah memiliki segulung ijazah undang-undang dari universiti tempatan atau luar negara, tidak kiralah samada dari UA (Universiti Awam) ataupun IPTS, yang penting ia diiktiraf dan diakreditasi oleh kerajaan Malaysia dan Advocates Ordinance itu sendiri.


Seksyen 4 Ordinan tersebut (lebih kurang) menyatakan bahawa tiada seseorang layak menjadi peguam kecuali (a) dia ialah seorang ahli peguam (Bar member) di England, Scotland, Ireland Utara atau Republik Ireland; (b) perenggan ini dipadam; (c) dia ialah seorang peguamcara di England, Scotland, Ireland Utara atau Republik Ireland; (ca) dia telah dianugerahkan dengan ijazah dari universiti dinyatakan dalam Jadual; (cb) dia telah dianugerahkan Sijil Amalan Guaman oleh Lembaga Kelayakan yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Perundangan 1976 (Akta 166); (cc) perenggan ini dipadam; (d) dia telah diterima untuk menjalankan amalan guaman (dalam apa jua gelaran) oleh Mahkamah Agung atau Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidangkuasa di mana-mana tempat dalam wilayah Komenwel.

Jadual untuk perenggan (ca) menyenaraikan nama-nama universiti dan ijazah diiktiraf tempatan iaitu Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya; LLB Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia; Advanced Diploma in Law dari Institut Teknologi Mara; LLB Kepujian dari Universiti Teknologi Mara; LLB dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; LLB dari Universiti Kebangsaan Singapura; LLB Kepujian dari Universiti Utara Malaysia dan LLB Kepujian dari Universiti Multimedia.

Jika anda mempunyai ijazah sarjana muda undang-undang selain dari universiti yang dinyatakan di atas, anda masih boleh didaftar masuk sebagai peguam dengan syarat anda mengambil peperiksaan Sijil Amalan Guaman atau CLP sebelum anda boleh memulakan chambering di mana-mana firma guaman di Sabah. Untuk peperiksaan ini boleh rujuk dan baca lanjut di SINI.

Setelah memperolehi ijazah tersebut, anda diwajibkan untuk membuat latihan dalam kamar atau juga dikenali sebagai chambering atau pupilage di mana-mana firma guaman. Atau di Negeri Sabah, chambering juga boleh dilakukan di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah. Pengalaman saya dulu tahun 2005 yang sempat membuat chambering selama 2 bulan sebelum kerja dengan kerajaan, Jabatan Peguam Besar Negeri melalui Kerajaan Negeri Sabah akan membayar elaun bulanan sebanyak RM800. Walaupun tidak besar tetapi cukuplah untuk menampung kehidupan pada masa itu. Zaman sekarang tahun 2017 mungkin RM800 itu tidak berbaloi.

Setelah syarat-syarat di atas telah disempurnakan, maka anda bolehlah memulakan  latihan dalam kamar atau pupilage atau chambering dengan menghantar resumé anda kepada mana-mana firma guaman yang mempunyai peguam yang telah beramal atau menjalankan amalan guamannya selama tidak kurang dari tempoh 5 tahun yang akan bertindak sebagai 'pupil master' anda. Chambering ini perlu dilaksanakan selama 12 bulan berturut-turut. Saya difahamkan jika anda mengambil cuti, maka hari cuti tersebut hendaklah diganti bagi menggenapkan tempoh 12 bulan berkenaan. Semasa chambering anda akan belajar semua prinsip dan amalan kepeguaman oleh seorang 'master' anda.

Selain syarat kelayakan di atas, syarat lain yang dinyatakan ialah anda bukanlah seorang yang telah digantung, dibatalkan atau hilang kelayakan dari beramal sebagai seorang peguam, dan tidak tertakluk kepada mana-mana prosiding disiplin ke atas amalan guaman, dan bukan seorang yang telah disabitkan atau tertakluk kepada prosiding jenayah melibatkan ketidakjujuran (hmm.. Englishnya dishonesty) di mana-mana jua tempat dalam Wilayah Komenwel, dan seorang yang belum dilepaskan dari prosiding kebankrapan (anda bukan seorang bankrap) serta mempunyai pertalian dengan negeri Sabah (Sabah connection).

'Sabah connection' bermaksud anda dilahirkan di Sabah, atau anda telah bermastautin secara berterusan di Negeri Sabah selama tempoh 5 tahun sebelum permohonan dibuat, atau anda boleh memuaskan hati Hakim Besar bahawa anda telah berdomisil (domiciled) di Negeri Sabah. Domiciled ini contohnya anda telah membeli rumah di Sabah dan berhasrat menjadikan Sabah sebagai tempat tinggal anda, atau anda telah berkahwin dengan warga Sabah dan mempunyai anak yang dilahirkan di Negeri Sabah.

Selepas tamat chambering, anda dikehendaki memfailkan permohonan untuk didaftarai atau juga dikenali sebagai admission to Sabah Bar. Master anda boleh memfailkan untuk anda dan apabila kes telah sedia untuk dipanggil di Mahkamah Terbuka (Mahkamah Tinggi), master anda akan 'move' admission anda tersebut. Di dalam Ordinan, kes-kes admission ini akan didengar sendiri oleh Hakim Besar Sabah & Sarawak. Bilamana beliau tidak berkelapangan, maka Hakim Mahkamah Tinggi kanan akan ditugaskan mendengar permohonan tersebut.



Setelah permohonan admission anda dibenarkan, dan anda telah membayar fi yang ditetapkan (RM300.00 bagi perintah bersih), maka anda layaklah memohon untuk dikeluarkan sijil amalan (practicing certificate) dari Pendaftar Mahkamah Tinggi dan sejurus sahaja sijil amalan ini anda terima, maka sahlah anda menjadi seorang peguam dan boleh beramal sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Negeri Sabah.

Rasanya cukuplah setakat itu dulu syarat-syarat untuk menjadi seorang peguam di Negeri Sabah. Ringkas saja syaratnya, tapi perjalanan yang harus ditempuh bukan mudah dan memerlukan masa yang panjang, kos yang agak tinggi dan pengorbanan yang amat besar dari segi mental, fizikal dan emosi. Itulah harga yang harus dibayar sekiranya anda berminat untuk menjadi seorang peguam khususnya di Negeri Sabah.

Untuk bacaan lanjut boleh rujuk teks penuh Advocates Ordinance (Sabah Cap. 2) dan klik di SINI dan untuk rang undang-undang pindaan terbaharu yang telah berkuatkuasa mulai 1 Julai 2017 boleh klik di SINI.

Sebarang pertanyaan sila komen di bawah.

Fun fact: perkataan '5 tahun' amat sinonim dengan bidang guaman di Sabah. 5 tahun syarat untuk jadi master kepada seorang chambering student, 5 tahun syarat untuk anda bermastautin di Sabah, 5 tahun juga tempoh purata untuk anda layak jadi peguam sekiranya anda lulusan universiti tempatan (4 tahun degree + 1 tahun chambering).

Ulasan

  1. Hai.sya pun berminat menjadi peguam.tapi sya mau smbung d australia.bolehkah?

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN