SOALAN TYPICAL BUAT PEGUAM Ep. 1

1. Encik Peguam. Anda membela seorang penjenayah yang kejam. Tidakkah anda juga turut berdosa?

J: Tuan, kerjaya peguam bukan semata-mata melepaskan penjenayah. Tetapi peguam berperanan sebagai pemudahcara kepada seorang tertuduh bagi menegakkan haknya di dalam mahkamah. Seorang tertuduh itu secara prinsipnya ialah tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya atau disabitkan oleh mahkamah. Sehingga itu tercapai, maka seorang peguam layak dan wajar membela anak guamnya. Soal dosa itu hanya Allah yang tentukan. Namun, selagi seorang peguam membela anak guamnya selaras dengan kehendak agama dan undang-undang dan tidak menyalahi mana-mana hukum, isu dosa tidak seharusnya timbul. Peguam hanya menjalankan tugasnya selaras dengan arahan anak guam dan undang-undang dan dia dibayar mengikut kerja yang telah diarahkan oleh anak guamnya.

2. Encik Peguam. Kenapa bayaran anda sangat mahal?

J: Ada banyak faktor mempengaruhi yuran guaman. Ini termasuklah tahap kompleksiti atau kesusahan sesuatu kes itu, tahap mahkamah mana ia dibicarakan, jumlah masa dan belanja yang diambil untuk membuat kajian ke arah menyelesaikan kes dan sebagainya. Sama seperti kerja profesional doktor, engineer, arkitek dan lain-lain, kadar ini memang diakui tinggi kerana ia melibatkan seorang yang profesional. Yuran guaman pula terbahagi kepada dua iaitu melibatkan pertikaian dan tidak melibatkan pertikaian. Bagi kes-kes melibatkan pertikaian ia adalah atas rundingan dan dasar persetujuan antara peguam dan anak guam. Jika melibatkan kes yang tidak melibatkan pertikaian seperti penyediaan surat cara, perjanjian dan sebagainya, yuran guaman adalah ditetapkan oleh undang-undang dan peguam tidak boleh menaikkan harga atau memberikan sebarang diskaun kepada anak guam. Selain itu perlu diingat peguam juga mempunyai komitmen lain yang memerlukan duit, seperti membayar gaji sendiri dan para pekerjanya, membayar sewa premis, membayar bil-bil utiliti dan sebagainya. Atas sebab-sebab disebutkan yuran guaman memang agak mahal.

3. Mengapakah peguam tidak boleh memberikan diskaun?

J: Secara dasarnya bagi kes-kes tidak melibatkan pertikaian, memang peguam tidak boleh memberikan diskaun, kecuali dalam beberapa keadaan sahaja, iaitu anak guam itu ialah keluarga atau saudara terdekat peguam itu, atau anak guam itu ialah rakan peguam atau kakitangan di firma guamannya. Namun, pemberian diskaun ini hendaklah dilaporkan dalam laporan audit sebelum seseorang peguam boleh memohon 'lesen' amalan guamannya dilanjutkan. Peguam tidak boleh memberikan diskaun bagi menjaga integriti amalan guaman dan mengelakkan monopoli amalan. Ini kerana jika seorang peguam dikenali sebagai seorang yang suka memberikan diskaun, maka amalan guaman di suatu tempat itu tidak lagi kompetitif dan menyebabkan peguam lain tidak mendapat pekerjaan. Bayangkan kalau sebuah firma guaman contohnya memberikan diskaun sehingga 30% dari harga biasa ke atas kerja-kerja banking yang dijalankannya, sudah tentu semua bank akan melantik firma guaman itu sahaja untuk menjadi panel peguam mereka. Ini adalah amalan tidak sihat dan menjejaskan reputasi amalan guaman dan perlu dibendung. Sebab itu peguam tidak boleh memberikan diskaun kepada anak guamnya.

4. Susahkah kerja sebagai peguam?

J: Mana-mana kerja profesional pun tidak ada yang senang. Sebelum menjadi peguam saja pun melibatkan masa, kos dan pengorbanan yang besar, apatah lagi apabila sudah menjadi peguam. Pada masa kini pun ramai peguam yang mencari pekerjaan lain atau menjalankan aktiviti perniagaan disamping menjalankan amalan guaman kerana tidak tahan dengan cabaran dan tekanan serta kesusahan menjadi seorang peguam. Apatah lagi pekerjaan ini terikat dengan peraturan dan undang-undang yang ketat. Peguam yang menjalankan amalan litigasi lagi teruk apabila kena berdepan dengan karenah anak guam, kena berdepan dengan pihak lawan, kena pula menjawab kepada mahkamah. Kalau kerja di firma guaman kena pula menjawab dengan bos. Jadi timbul tahap tekanan yang tinggi apabila menjadi peguam yang membuatkan orang rasa susah bekerja sebagai seorang peguam.

5. Kenapa saya tidak pernah nampak peguam mengiklankan firma guamannya? Takut kena rompak ka?

J: Sebenarnya sudah termaktub dalam peraturan bahawa peguam tidak boleh mengiklankan amalan guamannya. Ia adalah diharamkan. Kalau di negara barat seperti Amerika Syarikat, seorang peguam boleh mengiklankan amalannya malah di kaca tv sekalipun. Kita di Malaysia masih mengamalkan undang-undang lapuk ini dengan alasan yang tidak diketahui. Malah, untuk mencegah publisiti, tanda nama (name sign) di hadapan premis firma guaman pun adalah dikawal oleh undang-undang iaitu tidak boleh lebih besar dari beberapa sentimeter saja kerana kononnya ingin menjaga kesucian (dignity) amalan guaman. Walau bagaimanapun, beberapa bulan lepas sudah kedengaran cadangan untuk menghapuskan larangan ini memandangkan kita sekarang berada di zaman dunia terbuka dan tanpa sempadan, jadi amalan guaman tidak patut umpama 'katak di bawah tempurung' lagi.

6. Bolehkah peguam melanggar undang-undang?

J: Tentulah tidak boleh. Peguam bukan orang yang istimewa boleh melanggar undang-undang sesuka hati. Tiada sesiapapun di negara ini yang kebal atau mengatasi undang-undang, hatta Raja dan Sultan sekalipun. Jika peguam melanggar undang-undang, dia masih boleh disabitkan dan dihukum, sama seperti orang lain juga.


Bersambung...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN