ADILNYA HIDUP
Assalamualaikum dan Salam Jumaat semua,
Sumber gambar DI SINI |
Semalam ada terbaca satu post (malangnya tidak dijumpai lagi) berkenaan orang bangun pagi jadi jutawan dan adilnya hidup ini.
Sumber gambar di SINI |
Apa yang saya ingat post itu berbunyi begini.
Bayangkan kau bangun pagi dan Tuhan takdirkan dalam akaun semua manusia dalam dunia ini ada RM10 juta setiap seorang.
Ini bermakna tiada lagi orang miskin di atas muka bumi ini dan semuanya sudah bergelar jutawan.
Kau pun bangun pagi dalam keadaan yang sangat segar, menghirup udara segar dalam suasana hidup yang baharu. Maka kau pun bangkit dari katil dan terus mencari makan untuk sarapan pagi.
Tapi kau berfikir buat apa sarapan di rumah kalau kau sebenarnya boleh makan secara mewah di Starbucks, kan?
Maka, kau pun ambil kunci kereta dan terus memandu ke restoran Starbucks yang terdekat. Mimpi ngeri pun bermula di sini.
Sebelum ke sana, kau rasa ingin isi minyak kereta terlebih dahulu. Tapi apabila sampai di stesen minyak, ia tutup kerana tiada pekerja yang turun bekerja kerana semua sudah jadi jutawan.
Kemudian, kau pun beralih ke restoran Starbucks untuk menikmati secawan kopi dan makan banana muffin, tetapi malangnya, pun sama juga restoran Starbucks sudah tutup kerana tiada lagi pekerja yang ingin bekerja kerana semua sudah menjadi jutawan.
Kemudian, kau pun terfikir baik pergi ke kedai mamak saja untuk makan roti canai. Sesampainya kau di kedai mamak, mereka pun tutup kedai sebab semua pekerja sudah balik ke negara masing-masing kerana masing-masing juga sudah menjadi jutawan.
Dengan penuh hampa, kau pun balik ke rumah dalam keadaan perut kosong.
Apa pengajaran dalam cerita ini?
Pengajarannya ialah ALLAH SWT, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi ini Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana telah tahu apakah yang terbaik kepada penciptaan-Nya.
Dijadikan manusia itu ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang susah, ada yang senang kerana apa? Kerana ingin mereka mengimarahkan bumi ini dengan kehidupan dunia sambil tidak melupakan nasib mereka di akhirat.
Tujuan hidup manusia ini hanya satu: iaitu beribadat kepada Tuhannya. Sambil itu Tuhannya juga menciptakan peraturan dan garis panduan hidup dalam mengimbangi kehidupan kedua-duanya.
Yang kaya perlu mengeluarkan zakat untuk membantu yang miskin. Yang miskin pula perlu terus berusaha untuk hidup di dunia tanpa mengabaikan ibadahnya dan tidak menjadikan alasan kemiskinan dan kesusahan untuk melupakan atau ingkar kepada Tuhannya.
Yang kaya diuji dengan kesenangan, yang miskin diuji dengan kesusahan.
Yang penting adalah kita tidak sesekali lupa dan lalai kepada Tuhan yang menciptakan kita dan alam semesta ini kerana kehidupan dunia hanya sementara.
Dunia ini hanyalah jambatan yang perlu kita lalui untuk kehidupan lebih abadi di akhirat sana.
Dalam apa jua keadaan kita sekalipun, jangan kita sesekali lupa untuk BERSABAR DAN BERSYUKUR walaupun kita tidak bergelar seorang jutawan kerana ada banyak lagi nikmat dan rezeki yang dianugerahkan kepada kita samada kita sedar atau tidak.
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan