PROGRAM SANGKUTAN MAHKAMAH ATASAN
Program Sangkutan Mahkamah Atasan suntik nilai tambah lulusan undang-undang
KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman memperkenalkan Program Sangkutan Mahkamah Atasan yang membolehkan pelajar sedang atau tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan kepujian ditempatkan secara terus dengan seorang hakim mahkamah atasan.
Kenyataan media dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) menyatakan, pelajar terpilih akan ditempatkan dengan seorang hakim mahkamah terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan akan menjadi satu platform latihan tambahan kepada lulusan undang-undang dan membuka peluang meningkatkan pemahaman mereka terhadap sistem kehakiman serta proses kerja mahkamah.
"Ia termasuk memberi pendedahan kepada pelajar terbabit secara khusus di sebalik tabir tugas seorang hakim di mahkamah atasan," katanya kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu turut menjelaskan, program berkenaan membolehkan pelajar menghargai dan mempunyai pemahaman lebih baik mengenai proses kehakiman dari perspektif seorang Hakim Mahkamah Atasan dan memupuk sikap kerja yang baik sebagai persediaan kerjaya dalam bidang kehakiman dan perundangan.
Katanya, mereka yang berminat menyertai program ini boleh mendapatkan borang permohonan dan prosedur pengendalian standard Program Sangkutan Mahkamah Atasan di laman sesawang www.kehakiman.gov.my.
Pada asasnya, lulusan undang-undang ketika ini turut diwajibkan mengambil ujian Sijil Amalan Guaman (CLP) sebelum dibenarkan menjalani latihan dalam kamar selepas mendapat transkrip pelajaran dan surat pengesahan tamat belajar.
Selepas lulus CLP, pelajar perlu menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan untuk menjadi peguam di Semenanjung dan 12 bulan jika di Sabah atau Sarawak.
Pada peringkat ini, pelajar akan menjalani latihan praktikal di firma guaman di bawah seliaan seorang peguam kanan atau 'Master' yang aktif dalam amalan perundangan tidak kurang daripada tujuh tahun.
Semasa tempoh latihan ini, pelajar wajib menjalani latihan ditetapkan Majlis Peguam seperti membuat latihan 'dock brief' atau bantuan guaman di beberapa institusi terpilih tidak kurang 14 hari sepanjang tempoh sembilan bulan latihan dalam kamar.
Pelajar juga diwajibkan menyertai Kursus Etika untuk pendedahan etika kepeguaman jika memasuki kerjaya sebagai peguam.
Selepas itu, pelajar berkenaan layak membuat petisyen masuk bagi didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi.
Link DI SINI.
Ulasan
Catat Ulasan