PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH BAHAGIAN 3: e-Jamin

Assalamualaikum,

Rupanya posting berkenaan jaminan Mahkamah ini sudah memasuki bahagian ke-3.

Hari ini bakalpeguam ingin kongsikan berkenaan inovasi yang diperkenalkan oleh pihak Mahkamah berkenaan jaminan Mahkamah iaitu eJamin.

Pada masa ini, selain dari wang tunai yang dibayar kepada Mahkamah termasuklah pembayaran secara ePos (menggunakan kad debit) atau berbentuk deposit tetap (fixed deposit), jaminan Mahkamah juga boleh secara elektronik.

Prosesnya amat mudah, cepat dan pantas, dengan syarat pengguna mempunyai akses kepada internet dan alamat emel. Menggunakan telefon bimbit pun boleh.

Transaksi minimum bagi eJamin ialah RM1 dan maksimum RM30,000 sahaja. Jikalau kes jaminan berjuta-juta contoh macam kes YB Dato' Sri Najib dan YB Lim Guan Eng, maka pembayaran deposit jaminan perlu dibuat di kaunter mahkamah.

Pertama sekali apa yang penjamin perlu buat ialah dapatkan nombor kes dan jumlah jaminan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah.

Kemudian layari saja laman web eJamin iaitu ejamin.my

 

Kemudian bolehlah buat pilihan bahasa samada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Selepas itu lengkapkan maklumat penjamin dan tertuduh. Untuk kad pengenalan sila masukkan nombor sahaja tanpa tanda sengkang/dash (-). 

Untuk nombor kes pula mesti diisikan dengan lengkap seperti yang diberikan, contohnya BKI-83D-110/1-2020. Untuk alamat pula mestilah diisi alamat surat menyurat yang mudah dicari dan yang terkini. 

Manakala bagi nombor telefon pula masukkan nombor tanpa sengkang/dash (-) dan tanpa kod negara, contoh 0198808800.

Selepas itu bayar ikat jamin secara talian seperti yang diarahkan. Resit pembayaran akan dihantar melalui emel dalam masa 15 minit. Jikalau talian tidak sibuk, dalam tempoh 1 minit pun resit akan diemelkan.

Bagaimana pula jikalau terdapat 2 atau lebih penjamin bagi satu kes? eJamin tetap boleh digunakan dengan maklumat kedua-dua penjamin hendaklah diisikan dengan lengkap dan amaun yang ingin dibayar hendaklah sama dengan jumlah jaminan keseluruhan, contohnya Penjamin 1 bayar RM3,000 dan Penjamin 2 bayar RM2,000 sekiranya OKT diperintahkan jaminan RM5,000. 

Pastikan pembayaran dilakukan melalui akaun bank masing-masing dan bukan akaun bank pihak ketiga atau orang lain.

Bagaimanakah pula jikalau dalam 1 kes itu ada 2 orang atau lebih tertuduh dan jumlah jaminan mereka pula berlainan? Contohnya dalam kes itu OKT 1 diberikan jaminan RM2,000 dan OKT 2 diberikan jaminan RM3,000.

Dalam situasi ini, penjamin perlu masukkan maklumat seperti biasa dengan tambahan kod "B1" untuk OKT 1 dan "B2" untuk OKT 2 dalam nombor kes tersebut.

Contoh: BKI-83D-110/1-2020B1 untuk OKT 1 dan BKI-83D-110/1-2020B2 untuk OKT 2.

Sekiranya ada persoalan atau perlukan maklumat lanjut, orang ramai bolehlah berhubung terus dengan pihak Mahkamah atau petugas di Kaunter Jenayah atau hubungi talian 03-78062755 atau emelkan ke ejamin@dapat.com.

Bacaan lanjut boleh rujuk flyers di bawah.

 

Harap membantu.

Wassalam.

P/S: seperti yang bakalpeguam nyatakan sebelum ini, wang jaminan adalah wang deposit kepada Mahkamah, bermakna apabila kes selesai ia akan dipulangkan atau dibayar semula kepada penjamin, kecuali apabila Mahkamah perintahkan wang jaminan itu dilucuthak kepada kerajaan, maka ia tidak boleh dituntut kembali.


Ulasan

  1. Informasi yg sangat2 membantu sebab ramai yg tidak tahu akan fungsinya dalam urusan jamin.Malahan,ada yg salah faham akan penggunaan e jamin boleh di akses sebelum kes berjalan di mahkamah.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH