PRACTICAL, CHAMBERING, PRACTISING
Assalamualaikum,
Hari ini kita belajar perkataan yang sering digunapakai dalam bidang perundangan yang kadang-kadang membuatkan ramai orang, termasuklah mereka yang sedang belajar undang-undang di universiti terkeliru.
Perkataan-perkataan ini nampak macam sama, tapi hakikatnya ia adalah berbeza walaupun berkaitan dengan perjalanan karier seseorang dalam bidang perundangan.
Sumber gambar DI SINI |
Perkataan-perkataan dan maksudnya adalah seperti berikut:
1. Practical
Juga dikenali dengan latihan industri. Ini ialah latihan atau amali secara praktikal seseorang pelajar universiti yang masih belum menghabiskan pembelajarannya dalam bidang berkaitan (samada diploma atau ijazah pertama). Ini termasuklah Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dimana pelajar-pelajar ini dikehendaki menjalankan latihan amali samada di Mahkamah, di firma-firma guaman atau agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan bagi memenuhi kehendak silibus atau sebagai syarat untuk lulus ijazah atau diploma tersebut. Ini bermaksud, pelajar yang membuat praktikal adalah mereka yang masih belum dianugerahkan dengan kelulusan samada diploma atau ijazah yang mereka ambil. Atau dengan kata lain, mereka masih belum tamat belajar lagi.
2. Chambering
Ok, dalam Bahasa Melayu 'chambering' ini juga dikenali sebagai latihan dalam kamar (dari kata dasar chamber atau kamar). Chambering bermaksud seseorang yang menjalankan amali di firma guaman atau umpamanya di Sabah, chambering juga boleh dijalankan di Jabatan Peguam Besar Negeri sebagai pra-syarat sebelum seseorang itu layak bergelar sebagai seorang PEGUAM. Mereka dikenali juga sebagai 'pelatih dalam kamar'. Chambering ini mempunyai tempoh yang berbeza bagi Negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang mana ia perlu dijalankan selama 12 bulan bagi Sabah dan Sarawak, manakala chambering di Semenanjung hanya selama tempoh 9 bulan sahaja. Mereka yang menjalankan latihan dalam kamar ini kebiasaannya hanya dibayar elaun (bukan gaji) sehinggalah mereka didaftarai atau diterima masuk sebagai seorang peguam. Semasa chambering ini seseorang 'chambee' atau pelatih itu harus diselia oleh seorang peguam senior yang telah aktif menjalankan amalan guaman tidak kurang dari 7 tahun. Peguam senior ini akan dikenali sebagai sifu.. eh, bukan bukan.. dikenali sebagai Master kepada pelatih tersebut yang bertanggungjawab untuk membimbing pelatih itu selama tempoh chambering dalam segala macam selok belok amalan guaman setakat mana yang Master itu mampu.
3. Practising
Terma ini bermaksud mereka yang bekerja sepenuhnya sebagai seorang peguam, samada membuka firma guaman sendiri atau bekerja dengan firma guaman sebagai legal assistant, associate, partner dan sebagainya. Mereka yang practise amalan guaman ini wajib mempunyai Sijil Amalan Guaman atau Practising Certificate yang dikeluarkan oleh badan yang mengawal selia peguam masing-masing, seperti Bar Council di Semenanjung dan Sabah Law Society bagi negeri Sabah. Bagi maksud terma ini, mereka yang bergelar seorang peguam tetapi menjawat jawatan sebagai pegawai awam atau bekerja dengan jabatan kerajaan, badan berkanun dan lain-lain tanpa adanya Sijil Amalan Guaman bukanlah seorang yang practising undang-undang. Ringkasnya, practising ialah seseorang yang bekerja sebagai seorang peguam yang sah yang mempunyai Sijil Amalan yang sah pada tahun tersebut.
Harap bermanfaat. Wassalam.
P/S:
Untuk bacaan lanjut dan santai mengenai 'chambering', boleh baca posting tahun 2016 Puan Timbalan Pendakwaraya ini bertajuk 'Chambering @ Pelatih Dalam Kamar @ Pupillage' dengan klik DI SINI.
kalau jadi pendakwa raya perlu chambering juga ke?
BalasPadam