JAMINAN MAHKAMAH DAN TAHANAN REMAN

Assalamualaikum,

Bakalpeguam membaca berita dalam Kosmo Online pagi ini:

Sumber berita DI SINI
 

ALOR SETAR – Suasana di pekarangan luar Mahkamah Sesyen di sini hari ini diselubungi kesedihan apabila seorang lelaki yang berdepan 40 pertuduhan rasuah berjumlah RM1 juta sempat memeluk dan mencium anak perempuannya berusia dua tahun selepas selesai prosiding kes.

Tertuduh, Mohd. Azurine Che Bahadom, 39, yang keluar dari kamar mahkamah bertindak menghampiri anak tunggalnya yang ketika itu sedang tidur di kerusi sambil ditemani seorang nenek saudara.

Kanak-kanak itu kemudian terjaga dan menangis sebaik melihat bapanya sebelum tertuduh dibawa pergi oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap 40 pertuduhan rasuah berjumlah RM1 juta ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 17 Mac lalu dan hari ini merupakan sebutan semula kes di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Dia kini ditahan di Penjara Alor Setar selepas gagal membayar jaminan sebanyak RM800,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Di mahkamah sama semalam, isteri tertuduh iaitu, Nurlaila Puteh, 35, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan suaminya itu dalam melakukan semua kesalahan rasuah tersebut.

Wanita terbabit didakwa bersubahat dengan Mohd. Azurine, seorang ketua jualan di syarikat Nitori (Malaysia) Sdn. Bhd. yang telah secara rasuah memperoleh suapan menerusi cek Ambank sebanyak RM25,000 daripada syarikat Ga Yee Furniture Sdn. Bhd. melalui akaun bank tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah bagi memastikan dan mengekalkan syarikat Ga Yee Furniture sebagai pembekal perabot utama kepada Nitori Jepun.

Kesalahan melibatkan kesemua 40 pertuduhan yang mana setiap pertuduhan melibatkan rasuah sebanyak RM25,000 dengan perbuatan didakwa dilakukan antara 9 Oktober 2013 hingga 13 Februari 2017.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. – K! ONLINE

Berita sebegini memang menyedihkan bakalpeguam, apatah lagi apabila melibatkan atau implikasi terkait ke atas seorang anak kecil yang tidak berdosa. Inilah realiti hidup. Pun begitu, situasi ini adalah proses undang-undang yang perlu dihormati oleh semua orang walaupun ramai yang beranggapan bahawa tahanan reman kerana tidak mampu untuk membayar wang jaminan adalah tidak adil.

Ini kerana prinsip asas perundangan ialah "seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah oleh Mahkamah Undang-Undang." 

Tertuduh Mohd Azurine itu masih tidak bersalah sehingga disabitkan oleh Mahkamah, jadi jangan sesekali kecam dia atau hina dia.

Tertuduh menghadapi sebanyak 40 pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM1 juta. Pun begitu, jumlah jaminannya ialah RM800,000, iaitu 80% daripada jumlah keseluruhan wang rasuah yang dituduh dikaitkan dengan tertuduh.

Dan dalam masa yang sama, isteri tertuduh juga dituduh bersubahat dengan suaminya dalam melakukan kesalahan ini. Tidak pasti pula samada isterinya sekarang bebas dengan jaminan atau tidak.

Bayangkan seorang anak berumur 2 tahun yang terpaksa ditinggalkan ibubapanya yang ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan kerana tidak mampu untuk membayar wang jaminan. Bayangkan betapa traumanya anak ini kelak dengan ketiadaan ibubapanya yang menjaganya dan memberikan kasih sayang kepadanya.

Melihat kepada gambar di atas memang menyebakkan hati.

Sebab itulah bakalpeguam sarankan kepada mana-mana tertuduh untuk melantik peguam. 

Lantiklah peguam. Lantiklah peguam. Lantiklah peguam!

Kerana seorang peguam boleh membantu untuk mempermudahkan proses perundangan ini. Bukan bermaksud peguam itu melepaskan orang yang salah, tidak. Itulah salah tanggapan orang awam.

Bila ada peguam, sekurang-kurangnya dapat membantu seseorang tertuduh untuk mendapatkan keadilan sebelum, semasa dan selepas perbicaraan.

Adakah anda rasa adil seandainya tertuduh merengkok dalam penjara reman selama katalah 2-3 tahun untuk perbicaraan dan akhirnya didapati tidak bersalah?

Walhal, jaminan ini boleh dikenakan bermacam-macam syarat yang ketat dan penyelesaiannya tidaklah semestinya ditahan di penjara sahaja.

Secara ringkasnya bakalpeguam boleh katakan begini:

Jumlah jaminan sebegini sebenarnya boleh dirayu ke Mahkamah Tinggi dan pelbagai faktor boleh dihujahkan bagi membolehkan tertuduh berada di luar penjara sementara menunggu perbicaraan.

Pertama, prinsip asas jaminan ialah "ia tidak sepatutnya berlebih-lebihan (excessive) atau sebagai suatu hukuman (punitive)" [Rujuk kes Soo Shiok Liong v Pendakwaraya [1993] 2 MLJ 381] dan objektif utama jaminan ialah untuk memastikan tertuduh hadir ke Mahkamah pada setiap kali tarikh bicara. Dengan hormat kepada Mahkamah, kalau dilihat dalam kes di atas, jaminan RM800,000 itu adalah terlalu berat dan sudah boleh dianggap sebagai hukuman terhadap tertuduh. Sekiranya tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri atau 'flight risk' dan mempunyai alamat tetap serta kemungkinan akaun banknya telah dibekukan, tidaklah wajar jumlah jaminan sebegitu diberikan. Pun begitu, ini adalah pendapat bakalpeguam sahaja dan tiada niat untuk menghina Mahkamah atas tulisan ini.

Kedua, seandainya sesuatu kes itu tergolong dalam kategori "kesalahan boleh jamin", bermakna jaminan adalah hak mutlak OKT dan perlu diberikan samada oleh pihak polis (sebelum dituduh) atau oleh Mahkamah (selepas dituduh). Mahkamah tidak mempunyai budibicara untuk menghalang tertuduh dalam kategori kes ini untuk tidak memberikan jaminan [Rujuk kes Yusof bin Mohamed v Public Prosecutor [1995] 3 MLJ 66 dan Public Prosecutor v Dato' Seri Anwar bin Ibrahim [1998] 4 MLJ 481].

Ketiga, sekiranya kes itu tergolong ke dalam kategori "kesalahan tidak boleh jamin" atau "non-bailable offences" seperti contoh kes berita di atas iaitu kes rasuah, maka ia terletak pada budi bicara Mahkamah samada membenarkan tertuduh untuk dilepaskan dengan jaminan atau tidak. Bermaksud jaminan bukan lagi hak tertuduh [Rujuk kes Loy Chin Hei v Public Prosecutor [1982] 1 MLJ 31]. Dalam kategori ini ia dibahagikan kepada beberapa lagi sub-kategori mengikut kepada tahap keseriusan kes seperti membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebagainya.

Dalam kategori inilah memerlukan khidmat dan skill peguam dalam penghujahannya memohon agar anakguamnya dilepaskan dengan jaminan dengan syarat yang boleh dikenakan oleh Mahkamah, sebagai contoh, selain daripada wang jaminan yang rendah, peguam juga boleh memohon kepada Mahkamah untuk syarat lain seperti pasport ditahan oleh Mahkamah, tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai berdekatan, wang jaminan yang tinggi tidak didepositkan atau hanya sebahagian didepositkan dan sebagainya.

Keempat, tertuduh bolehlah memberitahu latar belakangnya iaitu tempat tinggalnya, keluarganya, pekerjaannya dan lain-lain yang relevan bagi membolehkan beliau diberikan jaminan. Contoh perkara relevan ialah samada tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis semasa siasatan dan sebagainya. Apakah keburukannya seandainya beliau ditahan reman di penjara dan apakah implikasi ke atas kes ini jika beliau dibebaskan dengan jumlah jaminan yang rendah. Adakah pembebasannya akan memprejudiskan kes ini? Adakah terdapat bahaya bahawa tertuduh akan melarikan diri jika jaminan diberikan? Perkara ini boleh juga ditimbang dengan tempoh perbicaraan, iaitu adalah tidak adil sekiranya tarikh bicara yang diberikan oleh Mahkamah terlalu lama dan dalam masa yang sama tertuduh ditahan reman di penjara.

Kelima, bakalpeguam suka memberikan satu contoh kes sebenar iaitu Zulkifflee bin Hassan v Public Prosecutor [1987] 2 MLJ 527 yang mana tertuduh dalam kes ini menghadapi 7 pertuduhan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan melibatkan wang diseleweng berjumlah RM6.7 juta. Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu menetapkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan 2 orang penjamin. Tertuduh merayu ke Mahkamah Tinggi dan persoalan yang timbul ialah samada jumlah jaminan RM1 juta itu mencukupi atau berlebih-lebihan dalam kes ini. Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa jaminan RM1 juta ini mempunyai kesan menghukum terhadap tertuduh sebelum beliau didapati bersalah bagi kesemua pertuduhan. Malah, berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan kes. Tiada juga bukti bahawa tertuduh mendapat faedah daripada wang yang diseleweng itu manakala seorang lagi tertuduh yang dituduh sebagai rakan sejenayahnya pula telah dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM200,000. Atas sebab itu, Mahkamah Tinggi telah menurunkan jumlah RM1 juta itu kepada RM200,000. Sebagai tambahan Mahkamah juga menyatakan bahawa:

"... The amount of money fixed by the court as bail is not the sole consideration to ensure the attendance of an accused person in court. A wealthy accused may be too happy to deposit a million dollars in court and then abscond from the country and does not attend the trial. On the other hand, a person of meagre means, who cannot raise bail of RM1 million may be kept in the remand prison for months before his trial and in the end he is found not guilty." [penegasan bakalpeguam].

Ada banyak lagi contoh kes sebenar yang dilaporkan dalam jurnal undang-undang yang boleh dijadikan asas atau sandaran untuk menyakinkan Mahkamah untuk membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan tanpa menjejaskan perjalanan kes itu.

Sebab itu bakalpeguam tekankan sekali lagi lantiklah peguam untuk mewakili anda walaupun isu jaminan ini bagi otai bidang kepeguaman adalah kecil dan ringkas sahaja dibandingkan dengan merit sesuatu kes itu. Tetapi implikasi daripada kegagalan untuk kemukakan jaminan adalah seperti yang kita boleh baca dalam berita di atas.

P/S: Kesian bah dengan anaknya. Alangkah baiknya dan besarnya pahala kalau ada peguam yang baik hati di sekitar Alor Setar yang boleh membantu beliau secara pro bono dalam urusan jaminan ini sahaja.

Wassalam.

Ulasan

  1. Hai bakal peguam.. buat masa ini adik sy berada di koreksional JB sbb tidak dijamin. Utk makluman ada dua kes.. di daerah A dan B. Kes di daerah A sudah selesai dan persoalannya..

    1. Bagaimana nak memastikan adik sy dibawa ke mahkamah? Sbb pernah terjadi di daerah A, jurubahasa terlupa keluarkan surat untuk hadir ke mahkamah.

    2. Jika adik sy tidak hadir ke mahkamah pd 27/8 ini di daerah B, bagaimana prosedur jaminan dia? Adakah selepas pembayaran jamin akan mengambil masa untuk dikeluarkan dari pusat koreksional?

    Mohon respon sbb peguam sy busy agaknya.. 2 minggu xde jawapan.. krik krik je

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH