PROSIDING SAMAN TUNTUTAN KECIL

Assalamualaikum dan Salam Jumaat semua,

Hari ini bakalpeguam berpeluang melihat prosiding saman tuntutan kecil di Mahkamah Majistret.

Plaintif (penuntut) seorang wanita berbangsa... ermmm, ok skip bangsa, dan Defendan (yang dituntut) juga seorang wanita berbangsa teeetttt.

Sumber gambar di SINI

Jurubahasa menyebutkan nombor kes dan nama pihak-pihak dan Majistret memanggil kedua-dua wanita ini berdiri di hadapannya di meja yang dikhaskan untuk peguam. Beliau memanggil plaintif dahulu. Prosiding yang berlaku lebih kurang begini (yang sempat bakalpeguam ingat lah).

Majistret: Puan dot dot dot, kamu telah failkan saman tuntutan kecil di Mahkamah ini bagi tuntutan sebanyak RM2900. Sudahkah kamu serahkan saman itu kepada defendan?

Plaintif: Sori, saya tidak pandai betul cakap Melayu.

Majistret: Saya tanya kamu sudah bagi itu saman kepada puan tet tet tet?

Plaintif: Ya, saya sudah bagi kepada dia 2 hari lepas. Kawan sekerja saya yang bagi dengan dia. Tapi sebelum itu minggu lepas saya sudah whatsapp dengan dia kasitau saman ini.

Majistret: Baiklah. Boleh kamu beritahu Mahkamah butir-butir tuntutan kamu?

Plaintif: Ah, sebenarnya itu claim sekarang sudah naik, bukan lagi RM2900 tapi sudah jadi RM4,500.

Majistret: (Terkejut) Eh, tapi bulan lepas kamu failkan saman di Mahkamah ini untuk jumlah RM2900 sahaja. Macamana pula boleh naik sekali ganda?

Plaintif: Sebab itu hari saya dapat bil elektrik. Ada tertunggak lagi. Kemarin saya pergi pejabat SESB dibagitau ada lagi bil tertunggak.

Majistret: Tapi tuntutan kamu ini berkenaan tunggakan sewa kedai dan juga bil elektrik untuk awal tahun ini, kan?

Plaintif: Ya betul, tapi pasal itu sewa kedai saya tidak lagi mahu tuntut. Saya cuma mahu tuntut ini bil elektrik yang tertunggak saja.

Majistret: (Tepuk dahi). La, kalau macam itu kamu sudah tidak ikut saman dan penyata tuntutan yang kamu sendiri failkan. Tidak boleh begitu. Defendan kena jawab apa yang kamu failkan dan serahkan, bukan apa yang kamu bagitau Mahkamah hari ini. Itu tidak adil bagi defendan.

Plaintif: Tapi bukan saya boleh bagitau saja secara lisan, ka? Sebab saya mahu ubah itu claim?

Majistret: Tidak boleh macam tu. Itu tidak adil namanya.

(Defendan pula terkebil-kebil seperti terkejut juga mendengar hujahan plaintif ini).

Plaintif: Kalau begitu apa saya boleh buat? Saya ada lagi claim untuk bil-bil lama, itu pun dari tahun 2013 hingga 2016.

Majistret: (Tepuk dahi lagi). Ok, cukup la tu dulu. Saya mau soal defendan pula. Puan tet tet tet, kamu sudah terima saman yang diserahkan kepada kamu?

Defendan: Ya sudah. Saya terima minggu lepas masa saya masuk opis.

(pulak, tadi plaintif cakap baru serah 2 hari lepas. Entah siapa betul siapa salah ni).

Majistret: Ok, tak apalah, asalkan kamu sudah terima saman itu daripada plaintif. Adakah kamu sudah baca saman itu? Apa pendirian kamu?

Defendan: Ya, saya sudah baca. Saya bantah tuntutan ini.

Majistret: (belum sempat bertanya dah kena celah).

Defendan: Saya ada bukti bahawa saya sudah keluar dari premis kedainya ini sejak bulan 8 tahun lepas lagi. Mana boleh saya kena bayar pula sewa tahun ini dengan bil-bil elektrik. Saya tidak gunakan sudah kedai tu.

Majistret: Baiklah, maknanya kamu pertikaikan la tuntutan plaintif ini?

Defendan: Ya, saya mahu lawan! (wow)

Majistret: Bertenang, puan. Kita di sini untuk mencari keadilan, bukan untuk bergaduh.

Defendan: (tertunduk malu sebab anggota polis berdiri dekat pintu dah jeling).

Majistret: Adakah kamu sudah baca saman yang tebal itu? Sudah baca arahan-arahan di dalamnya?

Defendan: Belum sebab saya pun tidak faham.

Majistret: Baiklah, lepas ini balik rumah baca betul-betul apa arahan-arahan yang ada di dalam saman itu dan patuhi arahannya termasuk apa yang saya akan berikan pada hari ini ya. Ambil pen masing-masing dan tulis apa saya cakap.

Plaintif: (tiba-tiba mencelah). Jadi ini claim saya mau fail balik bila?

Majistret: Sabar. Inilah yang saya mahu cakap ini. Saya akan bagi arahan. Sebab itu saya minta kedua-dua ambil pen dan kertas dan tulis sebab saya tidak akan ulang lagi. Kalau ada yang ingkar arahan saya akan masukkan penghakiman. Arahan saya seperti berikut: puan dot dot dot sebagai plaintif hendaklah memfailkan saman dan penyata tuntutan terpinda pada atau sebelum sekian haribulan.

Plaintif: (mencelah lagi). Boleh saya buat hari ini ka?

Majistret: Ya boleh, sebab arahan ini mulai hari ini sampai tarikh saya sebutkan itu. (Meneruskan arahannya) Kemudian, puan tet tet tet hendaklah memfailkan penyata pembelaannya pada atau sebelum sekian haribulan.

Defendan: (pula tiba-tiba mencelah) Eh, bukan hari ini boleh terus setel bicara ka ni? Kenapa saya perlu failkan lagi, secara lisan saja tidak boleh?

Majistret: Puan, kes ini ditetapkan hari ini untuk saya semak samada ada pertikaian atau tidak saja. Belum bicara lagi. Kalau saya nak teruskan bicara pun saya tidak tahu apa pembelaan kamu. Defendan kena adil juga kepada plaintif, sebab plaintif pun perlu tahu kenapa kamu pertikai tuntutan yang dibuat. Mahkamah juga perlu ada rekod dan membaca penyata itu. Mahkamah ini ada proses dan prosedurnya, mana boleh cincai saja.

Defendan: Maknanya saya kena turun naik Mahkamah lagi la? Bila saya kena datang lagi?

Majistret: Inilah yang saya bagi arahan ini. Puan-puan asyik mencelah saja, sampai bila akan habis? Saya pun ada banyak lagi kes menunggu di belakang.

(Masa ini beberapa orang tahanan bergari sedang masuk ke Mahkamah bagi pendengaran kes-kes jenayah hingga memenuhi ruang galeri awam).

Majistret: Tengok tu. Ramai lagi yang menunggu kes ni.

(Kedua-dua wanita itu nampak cuak melihatkan orang-orang bergari rantai masuk ke Mahkamah).

Majistret: Ok, saya teruskan arahan saya. Selepas defendan failkan pembelaannya dalam tempoh 14 hari itu, serahkan juga sesalinan kepada plaintif. Semua arahan ini ada di dalam saman itu, kamu baca saja dan patuhi tarikh yang saya berikan. Bicara ditetapkan pada sekian haribulan. Sila bawa semua dokumen berkaitan dan saksi-saksi sekiranya ada. Ok? Itu saja arahan saya. Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi saya akan buat keputusan kes pada tarikh bicara itu.

Plaintif: Ah, boleh saya tanya soalan?

Majistret: Apa dia? (patut Majistret tidak perlu layan sudah ni).

Plaintif: Yang itu bil-bil 2013 hingga 2016 boleh saya tuntut?

Majistret: Kamu cari peguam dan tanya peguam. Ada prosedur lain bagi kes yang melebihi tempoh masa. Dapatkan nasihat peguam boleh tuntut atau tidak.

Plaintif: Oh saya tidak boleh dapat jawapan di sini?

Majistret: Saya bukan peguam untuk bagi nasihat, saya cuma membuat keputusan. Itu saja untuk hari ini. Datang Mahkamah semula pada tarikh bicara saya beritahu tadi.

(Kedua-dua wanita ini keluar, dan sampai depan pintu terdengar suara defendan mengucapkan "terima kasih").

Sekian saja cerita hari ini. Kalau ada soalan boleh tanya di ruangan komen.

Wassalam.

Ulasan

  1. Menarik perkongsian ni sebab selalu kita tahu yang saman besar2 saja tapi realitinya yang kecil2 begini pun banyak 👍🏻👍🏻

    BalasPadam
  2. masa jatuh hukum,kena denda RM3000.00,jika tidak penjara 6 bulan.. sudah tolak cuti semua,tinggal 4bulan,sudah menjalani hukuman 3 bulan...tinggal lagi sebulan,berapakah wang denda yg tinggal?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak silap saya hukuman penjara bagi kegagalan membayar denda tidak dikira hari cuti. Tak silap sayalah. Tuan boleh tanya dekat kaunter mahkamah, mereka akan bantu untuk sahkan dengan pihak penjara berapa baki wang yang perlu dibayar.

      Padam
  3. Hai, saya mau tuntut wang dari seorang AI ini, dia berjanji mahu membayar wang yang saya habiskan untuk dia pada tahun 2017 dulu tetapi pada awal 2018 dia membuat laporan polis terhadap saya dan saya dikenakan hukuman. Walaupun laporan polis itu dibuat berkenaan dengan perkara selain tuntutan wang saya, saya mengesyaki bahawa AI membuat laporan tersebut dengan niat mahu lari daripada membayar wang yang dijanjikannya sahaja. Malahan, screenshot chat yang mengatakan AI berjanji mahu membayar telah hilang pada 2018 kerana smartphone saya sudah tidak berfungsi dengan baik ketika saya mengutip barang2 saya di balai polis (setelah tamat hukuman). Selepas itu, rakan saya (yang juga merupakan rakan AI) memberitahu saya bahawa AI mengaku tidak pernah mahu membayar wang itu dan hanya berjanji untuk melekakan saya sahaja.
    Tahun lepas, saya menelefon IO yang handle kes saya dahulu bagi mengetahui jika bukti screenshot chat saya bersama AI boleh digunakan tetapi IO saya beritahu bahawa semua bukti telah disimpan di dalam bilik kebal setelah kes ditutup. IO saya juga menasihati supaya menghubungi AI untuk melunaskan hal ini. Kemudian, pada Disember 2019, saya mebghubungi AI melalui seorang rakan AI melalui Whatsapp dan AI memberitahunya bahawa AI mahu membayar tetapi saya diminta bersabar sehingga bulan Mac 2020 untuk mendapatkan wang tersebut. Namun sehingga kini saya masih tidak mendengar khabar dari pihak AI berkenaan wang saya. Saya faham kemungkinan Covid-19 menyukarkan keadaan tetapi mana mungkin sehingga selama ini AI tidak punyai wang untuk membayar.

    Walau bagaimanapun, saya tetap mahukan wang tersebut. Apakah yang patut saya lakukan? Saya amat memerlukan nasihat guaman tetapi tidak mempunyai wang untuk ke pejabat guaman atau apa-apa. Maaf panjang lebar, terima kasih.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI