HILANG KELAYAKAN SEBAGAI MP KERANA SABITAN DAN HUKUMAN

Assalamualaikum,

Sudah menjadi satu titik dalam sejarah negara apabila semalam, 28 Julai 2020, 5 hari selepas meraikan hari ulangtahun ke 67, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak (DSN), mantan Perdana Menteri ke-6 telah didapati bersalah dan disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 7 pertuduhan di bawah Akta SPRM, Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pengubahan Wang Haram iaitu atas kesalahan-kesalahan menyalah gunakan kuasa (1 pertuduhan), pecah amanah jenayah (3 pertuduhan) dan pengubahan wang haram (3 pertuduhan) dalam kes yang dikenali sebagai SRC (kerana melibatkan syarikat SRC International Sdn Bhd).

Berita-berita kes ini boleh didapati dalam semua laman web berita arus perdana dan online serta blog-blog politikus yang berminat mengikuti perkembangan kes ini dan pembaca bolehlah cari berita-berita itu.

Cukuplah sekadar dinyatakan secara ringkas di sini bahawa DSN telah dijatuhkan hukuman selama 12 tahun penjara dan denda RM210 juta gagal bayar tambahan 5 tahun penjara bagi 1 pertuduhan menyalah gunakan kuasa, masing-masing penjara 10 tahun bagi 3 pertuduhan pecah amanah jenayah dan masing-masing juga 10 tahun penjara bagi 3 pertuduhan pengubahan wang haram.

Jumlah keseluruhan hukuman penjara ialah 72 tahun. Namun, Mahkamah Tinggi mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, maka DSN hanya perlu menjalani hukuman selama 12 tahun penjara. Pun begitu, jikalau beliau gagal membayar denda RM210 juta yang dikenakan itu, maka tambahan hukuman penjara 5 tahun perlu dijalani pula, menjadikan jumlah penjara meningkat kepada 17 tahun.

Dan umum mengetahui bahawa hukuman denda dan penjara ini telah dibenarkan untuk ditangguhkan sementara proses rayuan di Mahkamah Atasan selesai dengan jumlah jaminan serta syarat jaminan dinaikkan dan diketatkan pula. Itu budibicara Mahkamah.

Jangan lepas ini ada pula Tom, Dick and Harry akan persoalkan "Eh bukan dia sudah dihukum penjara berpuluh tahun ka? Kenapa masih boleh berjalan-jalan lagi? Kenapa masih boleh masuk parlimen lagi? Bila dia mau check in 'hotel' Sungai Buloh?" dan macam-macam lagi.

Sebab itulah berilmu dan menimba ilmu itu penting ya.

Apa yang menarik untuk dibahaskan ialah kedudukan beliau sekarang sebagai seorang Ahli Parlimen (MP) bagi kerusi parlimen P. 085 Pekan.

Ada yang mempersoalkan bukankah beliau sepatutnya mengosongkan kerusi parlimen ini sekarang kerana beliau telah disabitkan dengan kesalahan jenayah?

Ini kerana Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan atau Federal Constitution (FC) telah menyatakan bahawa (rujuk gambar):


Jikalau kita membaca sepintas lalu peruntukan ini maka tentulah kita mendapati bahawa DSN telah secara automatiknya hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen mulai semalam.

Walau bagaimanapun, peruntukan ini hendaklah dibaca bersama Perkara 48 (4) (a) dan (b) FC iaitu seperti dalam gambar di bawah (maaf, kekangan masa menyebabkan kurang menaip sendiri hari ini):


Peruntukan ini bermaksud bahawa DSN hanya akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen dalam tempoh 14 hari SEKIRANYA beliau tidak memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini bakalpeguam sudah membincangkan tentang proses rayuan jenayah iaitu tempoh untuk memfailkan Notis Rayuan ialah dalam masa 14 hari selepas keputusan Mahkamah dibuat. Pembaca bolehlah layari blog ini untuk mencari posting itu ya.

Dan apabila DSN telah memfailkan Notis Rayuannya dalam tempoh 14 hari itu, maka kehilangan kelayakan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen adalah terhenti atau tertangguh sehingga semua proses rayuan diselesaikan, berdasarkan kepada peruntukan Perkara 48 (4) (b) FC di atas. Bermakna, DSN masih boleh menjalankan tugas, tanggungjawab dan kewajipannya sebagai seorang Ahli Parlimen bagi kawasan beliau seperti biasa dan sediakala seolah-olah sabitan dan hukuman itu tiada setakat ini, walaupun hakikatnya stigma akan tetap melekat dalam diri DSN tentang sabitan dan hukuman ini dan kemungkinan besar akan digunakan oleh pihak yang tidak senang dengan beliau sebagai modal politik paling murah di masa akan datang.

Berbalik kepada soal kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen. Sementara menunggu proses rayuan yang akan didengar di Mahkamah Rayuan kelak, beliau masih tetap menerima gaji dan elaun sebagai seorang Ahli Parlimen. Dalam masa yang sama masih tetap boleh menghadiri persidangan Dewan Rakyat seperti biasa.

Jadi, biarlah proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan (sebab, walau siapapun yang menang di Mahkamah Rayuan nanti, tetap akan ada rayuan lagi ke Mahkamah Persekutuan, melainkan jikalau pihak yang kalah memilih untuk tidak memfailkannya). Dan Mahkamah Persekutuan akan menjadi gelanggang terakhir proses di Mahkamah bagi DSN untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya.

Petisyen pengampunan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong itu lain pula prosesnya. Nantilah ada masa dan peluang kita bahaskan petisyen ini pula.

Cuma ada satu masalah sekarang.

Seandainya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat atau dalam tempoh proses rayuan DSN didengar di Mahkamah Atasan dan belum diselesaikan, maka beliau tidak lagi boleh mempertahankan kerusi parlimen beliau.

Dengan kata lain, beliau sudah hilang kelayakan untuk mencalonkan diri atau dicalonkan untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atas sebab sabitan dan hukuman yang masih belum dibatalkan oleh Mahkamah Atasan.

Ini jelas dinyatakan dalam Perkara 48 (5) FC seperti gambar di bawah:

Sebab itulah, bagi sesiapa yang mengikuti sidang media yang diadakan oleh DSN dan pasukan peguambelanya yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam di Kompleks Mahkamah KL, mereka ada mengatakan bahawa mereka akan memfailkan rayuan dengan segera dan berharap rayuan di Mahkamah Rayuan dapat didengar dalam tempoh 3 bulan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 5 bulan (walaupun bagi bakalpeguam, ia sangat optimistik bagi kes sebesar ini dapat diselesaikan dalam tempoh itu, kerana biasanya proses ini agak panjang yang boleh mengambil masa antara 2-3 tahun).

Atas sebab itu pada pendapat bakalpeguam, DSN inginkan rayuannya segera didengar atas 2 faktor, iaitu untuk segera membersihkan nama beliau dan juga bagi membolehkannya bertanding dalam PRU-15 akan datang.

Lebih cepat rayuan didengar dan seandainya keputusan Mahkamah Tinggi semalam diketepikan (iaitu sabitan dan hukuman dibatalkan), maka lebih cepatlah nama beliau dapat dibersihkan agar stigma yang bakalpeguam sebutkan di atas (semua orang tahu DSN digelar dengan macam-macam gelaran oleh musuh politik beliau) dapat dihapuskan dengan kadar segera juga.

Dan lebih cepat rayuan didengar dan dibereskan, maka lebih besar peluang beliau untuk bertanding semula dalam Pilihanraya Umum dan mempertahankan kerusi tradisi beliau.

Amaran: bakalpeguam bukan seorang macai atau mahacai dan bukan juga seorang ahli politik. Bakalpeguam hanya berminat dalam isu undang-undang jenayah. Jadi silalah baca posting ini dengan hati yang terbuka.

Dan seandainya pembaca berminat untuk dapatkan teks penuh Perlembagaan Persekutuan versi online dalam terjemahan Bahasa Melayu, bolehlah klik DI SINI.

Wassalam.

P/S: satu dari beribu keajaiban dalam dunia ini ialah kagumnya kita melihat seorang public figure, seorang yang pernah menjadi orang berkuasa dalam negara (selepas YDPA), seorang yang pertama kali dalam sejarah sebagai mantan Perdana Menteri yang disabit dan dijatuhkan hukuman tetapi beliau dengan tenangnya menerima keputusan Mahkamah tanpa ada kacau bilau, tanpa ada tohmahan dan tuduhan yang tidak baik kepada Mahkamah dan Badan Kehakiman dan tanpa ada rasa gentar untuk menghadapi rakyat jelata dengan keputusan Mahkamah itu. Tenangnya dia seumpama tenangnya dia juga semasa keputusan PRU-14 diumumkan dulu dan jatuhnya kerajaan pimpinannya pada masa itu. Inilah yang sikap dan sifat yang patut dicontohi oleh rakyat jelata, terutama ahli-ahli politik apabila berdepan dengan sistem keadilan negara.

Insya Allah, tenang itu senang dan akhirnya menang.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH