POST DARI FB: RAKYAT HAKIM NEGARA, PEGUAM AHLI NERAKA?
Ini bukan posting asal Bakalpeguam. Ia diambil dari Facebook dan rasanya amat bermanfaat untuk dikongsikan di sini. Link ke posting asal ada diletakkan di bawah. Selamat membaca.
𝗔𝗪𝗔𝗦 𝗖𝗔𝗞𝗔𝗣 𝗝𝗘 || 𝗥𝗔𝗞𝗬𝗔𝗧 𝗛𝗔𝗞𝗜𝗠 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔, 𝗣𝗘𝗚𝗨𝗔𝗠 𝗔𝗛𝗟𝗜 𝗡𝗘𝗥𝗔𝗞𝗔?
Dulu, cita-cita AWAS, nak jadi arkitek, sebab AWAS berangan nak ada rumah berlantaikan akuarium, bolehlah AWAS tengok ikan berenang-renang ke tepian sambil AWAS minum kopi dan hisap curut.
Tapi, mungkin dah memang tertulis di luh mahfuz sejak AWAS ditiupkan roh masa masih janin dulu lagi untuk AWAS jadi peguam. Alhamdulillah.
Pernah satu hari, AWAS naik Grab, abang Grab tanya AWAS – “tak takut ke, jadi lawyer ni sebelah kaki dah ke neraka?” Abang Grab tanya lagi – “kalau orang tu kita tahu memang salah, tapi lawyer ni masih tolong, macam mana tu?” Abang Grab cakap lagi – “bayar lawyer sudah la mahal, tapi kalah, kan haram duit tu”.
Becak ketiak AWAS dengar Abang Grab popekpopek, terasa perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur ibarat dari Kuala Lumpur nak ke Kota London jaraknya.
Brader and sistur, makcik dan pakcik sekalian,
Tugas seorang peguam, bukanlah untuk menangkan sesiapa. Tetapi, tugas utama peguam adalah untuk membantu anda-anda yang bermasalah dalam undang-undang, untuk mendapatkan, mempertahankan dan/atau menuntut dan/atau meletakkan hak yang sepatutnya, kerana di Mahkamah, melibatkan prosedur dan dokumentasi yang boleh dikatakan memerlukan penelitian dan perincian yang mana kebanyakannya hanya boleh dilakukan secara sempurna dengan kepakaran professional.
Peguam ada banyak cabang. Antaranya:
• Peguam Hartanah yang kita sebut ‘lawyer conveyancing’- antara bidang tugasnya untuk memudahcara anda semua dalam urusan jual beli rumah atau tanah. Peguam Hartanah inilah yang akan memudahkan urusan dari segi prosedur dengan pihak bank dan pihak pejabat tanah.
• Peguam Korporat - antara bidang tugasnya, menyediakan apa-apa perjanjian dan memastikan setiap terma dan klausa yang dimasukkan dalam perjanjian itu adil, tidak berat sebelah dan melindungi pihak-pihak dalam perjanjian sekiranya berlaku pertikaian kelak.
• Peguam Litigasi - ini adalah peguam yang akan hadir ke Mahkamah untuk kes-kes yang melibatkan pertikaian di Mahkamah.
Peguam Litigasi pun ada sebahagiannya yang telah mengkhususkan kepakaran bidang masing-masing seperti contoh, peguam jenayah yang mengendalikan kes-kes jenayah, peguam sivil yang mengendalikan kes-kes lain selain jenayah, peguam syariah untuk kes-kes di Mahkamah Syariah, dan banyak lagi bidang pengkhususan yang lain.
Anda semua boleh selesaikan masalah dan urusan anda sendiri tanpa menggunakan khidmat peguam. Anda boleh urus sendiri urusan jual beli rumah anda dengan pihak bank dan pihak pejabat tanah, anda juga boleh hadir sendiri ke Mahkamah untuk membela diri sendiri.
Tidak menjadi satu kesalahan pun sekiranya anda berhasrat untuk melakukannya secara sendiri tanpa khidmat peguam.
Tapi, AWAS nak kongsi beberapa kisah benar yang boleh dikatakan kurang bernasib baik yang pernah terjadi kepada beberapa individu yang pada awalnya tidak mahu berjumpa dan mendapatkan nasihat peguam.
1. Halim bukan nama sebenar, adalah merupakan penjamin kepada pinjaman yang dibuat oleh rakan-rakannya untuk satu kedai café hipster. Akibat daripada perniagaan café hipster yang tidak memberangsangkan, rakan-rakan Halim telah gagal untuk membayar bayaran balik ansuran bulanan dengan pihak Bank.
Akibat daripada kegagalan bayaran balik pinjaman itu, pihak Bank telah menghantar tuntutan Saman kepada rakan-rakan Halim selaku peminjam, dan juga kepada Halim sebagai penjamin.
Halim terima Saman daripada pihak Bank, tetapi Halim tidak terus mendapatkan nasihat peguam, sebaliknya Halim telah pergi mendapatkan nasihat daripada badan bukan kerajaan yang mengatakan boleh membantu Halim untuk membuat rundingan dengan pihak Bank, dan badan tersebut telah mengenakan caj sebanyak RM 6,000.
Namun begitu, badan bukan kerajaan tersebut telah gagal untuk membantu Halim untuk patuh kepada prosedur-prosedur Mahkamah yang melibatkan tempoh dan had masa.
Akibatnya, satu Penghakiman Ingkar telah direkodkan terhadap Halim kerana Halim tidak hadir ke Mahkamah dan Halim tidak memfailkan sebarang Memorandum Kehadiran dalam tempoh masa 14 hari daripada penerimaan saman.
Tambah malang lagi, pihak Bank kemudiannya telah juga merekodkan Perintah Kebankrapan terhadap Halim.
2. Shahimi bukan nama sebenar telah bercerai dengan isterinya. Semasa tempoh perkahwinan, mereka berdua mempunyai dan menguruskan sebuah syarikat bersama-sama.
Kemudiannya, bekas isteri Shahimi telah memfailkan satu tuntutan saman sivil terhadap Shahimi.
Shahimi tidak pergi mendapatkan nasihat peguam, sebaliknya telah bersetuju untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan yang mana antara terma-terma Penghakiman Persetujuan itu adalah melibatkan bayaran perbelanjaan anak-anak (nafkah anak), perbelanjaan isteri (nafkah isteri), sejumlah wang sebagai hadiah perkahwinan (mutaah).
Kesemua terma-terma tersebut adalah sebenarnya merupakan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang tidak sepatutnya direkodkan dan dilaksanakan dalam bidangkuasa Mahkamah Sivil.
Shahimi kini terikat dengan Penghakiman tersebut dan tidak dapat diketepikan lagi memandangkan Mahkamah berpendapat Penghakiman tersebut adalah sah memandangkan ia direkodkan secara persetujuan dan dengan kehadiran Shahimi sendiri.
3. Rosnah bukan nama sebenar, telah kematian suaminya akibat kemalangan jalanraya. Rosnah mempunyai 3 orang anak sendiri, dan 5 orang anak tiri (hasil perkahwinan arwah suaminya dengan isteri pertama yang telah bercerai).
Semasa bicara tuntutan tanggungan (dependency claim) di Mahkamah Sesyen, Rosnah telah bersetuju menerima tawaran penyelesaian daripada pihak Defendan sebanyak RM 62,000.
Tetapi, langit tidak terus cerah untuk Rosnah. Belum pun sempat duit hasil persetujuan itu diterima daripada pihak insuran, Rosnah telah diserahkan dengan satu tuntutan oleh bekas isteri arwah suaminya dan anak-anak tirinya (berusia 20-an), yang menuntut hak kepada hasil bayaran penyelesaian tersebut, sedangkan secara undang-undangnya, bekas isteri dan anak-anak yang telah berusia lebih daripada 18 tahun sama sekali bukanlah pihak yang berhak menuntut dan menerima jumlah tuntutan dependency claim yang diterima itu.
Rosnah tidak melantik peguam untuk mewakili dirinya, dan tidak mendapatkan nasihat peguam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Akibat daripada itu, Rosnah telah bersetuju untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan untuk membahagikan jumlah yang diterima itu 50-50, yang mana daripada 50 itu, Rosnah perlu membahagi dan menanggung anak-anak tiri (anak kepada isteri pertama tadi), manakala isteri pertama dan anak-anak yang telah dewasa itu yang secara undang-undangnya sama sekali tidak layak menerima bahagian daripada wang hasil tuntutan dependency itu tadi kini telah mendapat manfaat yang tidak wajar.
Daripada apa yang AWAS kongsi tadi, anda semua faham kepentingan mendapatkan nasihat daripada yang pakar?
Jika kita sakit, berjumpa doktor. Jika kita ada masalah dalam undang-undang, berjumpalah peguam.
Jangan takut berjumpa peguam atas momokan yang kononnya jumpa peguam kosnya mahal kerana kesan terhadap kealpaan tersebut bukan sahaja mahal, malah sukar untuk diperbetulkan.
Posting asal di sini:
https://www.facebook.com/229651977391781/posts/1159702721053364/
Assalamualaikum.....saya nk tahu wang jaminan boleh dapat balik atau tidak...adik sy ditahan polis dan ada dadah skit dijumpai.xmau panjang cerita n tunda tarikh lain adik sy mengaku bersalah n mintak rayuan hukuman diringankan atas sebab jga org skit.itu ada denda atau jamin.mak Sya bagi tahu jamin byar terus keluar.sama ada duit nie boleh ambil atau tidak.klo nk ikot kn bukan adik sy seorg yg disalahkan tpi seorg lgi xad kena tindakan apa2 so sy rasa tak adil
BalasPadamKes adik sy MCM kena game.anggota polis than 1 moto dinaik 2org. adik sy dgn Kwan seorg naik moto nk jdikn cerita adik sy seorg jerk kena tgkap n disalahkan ?tpi seorg lgi lepas klo ikotkn urin 2x2 sgkut yg kena seorg?
BalasPadam