UNDANG-UNDANG ITU BUTA

Assalamualaikum,

Sudah lebih 15 tahun bakalpeguam berkecimpung dalam bidang guaman secara aktif.

Dan dalam tempoh itu telah banyak melalui pengalaman, pengajaran dan ilmu yang bermanfaat berhubung perkembangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang di negara kita, khususnya di negeri Sabah.

Sumber gambar di SINI
Sumber gambar di SINI

Namun, antara isu yang paling dekat di hati bakalpeguam ialah isu stateless person atau orang tanpa warganegara terutamanya melibatkan kanak-kanak.

Semalam, depan mata bakalpeguam melihat sendiri apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dituduh di Mahkamah.

Bayangkan seorang budak perempuan berumur 11 tahun. Apakah pertuduhannya?

Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu didapati masuk ke negara ini tanpa sebarang pas atau dokumen yang sah.

Bayangkan kanak-kanak yang tidak berdosa ini ditahan, dihadap tuduh di Mahkamah berseorangan (walaupun selepas itu dimaklumkan bahawa semasa tangkapan kanak-kanak ini bersama dengan neneknya, dan neneknya juga telah dijatuhkan hukuman penjara bagi pertuduhan yang sama).

Anak ini dipertuduhkan tidak bersama dengan neneknya kerana faktor umur, maka anak ini dibawa ke hadapan Majistret di dalam Mahkamah Kanak-Kanak.

Apatah lagi anak ini pun tidak faham apa pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Persoalannya: mengapakah perlu seorang kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini perlu dituduh di Mahkamah?

Dan mengapakah pihak berkuasa tidak mencari terlebih dahulu ibubapa kanak-kanak ini kerana menurut anak ini ibubapanya berada di ladang dan boleh dicari?

Mengapakah tergamaknya pihak yang berkuasa mengemukakan pertuduhan ini tidak menggunakan COMMON SENSE ke atas anak kecil ini, untuk tidak menjerumuskannya dalam proses Mahkamah yang biasa?

Sumber gambar di SINI

Kenapa tiada rasa perikemanusiaan atas anak ini, hanya kerana "dia tiada dokumen"?

Anak ini tidak faham pun "tiada dokumen itu satu kesalahan".

Adakah pihak berkuasa mengharap anak ini boleh menguruskan sendiri surat-surat atau dokumen yang perlu sebelum masuk ke negara ini? Adakah pihak berkuasa telah menyiasat bagaimana anak ini boleh berada di negara ini tanpa dokumen yang sah sebelum mengemukakannya kepada Mahkamah?

Perlu diingat seksyen 6 (1) (c) ini adalah satu kesalahan bersifat 'strict liability', dalam erti kata lain agak senang bagi pendakwaan membuktikan kesnya dan amat sukar bagi seseorang OKT untuk membuktikan kesnya dalam pertuduhan seperti ini. Saya tidak mahu kupas peruntukan ini di sini kerana ia bersifat teknikal. Pembaca boleh google sendiri Akta Imigresen dan baca sendiri peruntukan seksyen ini.

Berbalik kepada anak ini, mengapakah perlu dituduh di Mahkamah?

Ya betul memang obviously anak ini tidak mempunyai dokumen, memang jelas, tetapi mengapakah pihak berkuasa tidak mencari dulu (selain nenek anak ini) kedua ibubapanya kerana anak ini sendiri menyatakan ibubapanya berada di Sabah juga?

Isu sebegini bukan lagi isu pelanggaran undang-undang kerana ini memang sudah jelas. Tetapi adakah adil andainya ibubapa kanak-kanak ini masih bebas di dalam negeri tercinta namun anak kecil ini terpaksa mengharungi proses Mahkamah, tahanan dalam lokap dan mungkin akhirnya di dalam penampungan atau orang tempatan panggil 'rumah merah' iaitu Depoh Tahanan PATI, sebelum dihantar pulang ke negara asal?

Tidak dapat bakalpeguam bayangkan trauma yang dihadapi oleh anak ini apabila ditahan di dalam lokap samada lokap Balai Polis atau lokap Mahkamah dan akhirnya dalam Depoh.

Namun sebelum sampai ke tahap itu pula, proses Mahkamah Kanak-Kanak lagi melecehkan dan menjengkelkan.

Ini kerana tarikh baru perlu diperolehi bagi mendapatkan laporan akhlak, kemudian tarikh baru lagi perlu diberi bagi persidangan Mahkamah Kanak-Kanak yang perlukan kehadiran 2 orang penasihat Mahkamah.

Andaikata tarikh yang diputuskan Mahkamah tidak dapat bersidang atas pelbagai alasan (contoh ketiadaan penasihat Mahkamah), adakah kita sanggup melihat seorang anak perempuan berusia 11 TAHUN ini terus ditahan di dalam lokap??

ALLAHU AKBAR.

Sebab itulah bakalpeguam teringat kata-kata seorang senior dalam bidang ini:

"undang-undang itu buta, tetapi kita sebagai manusia mesti ada common sense, kalau tidak kita cuma akan ikut undang-undang secara membabi buta".

Maka, bakalpeguam berharap agar pihak yang mempunyai kuasa ini tolonglah guna common sense bagi kes-kes sebegini. Ya memang betul undang-undang perlu dikuatkuasakan, tetapi pelaksanaannya juga perlu ada common sense.

Sebab itulah kuasa perundangan itu bukanlah kuasa yang tidak terhad. Ia juga disertai dengan kuasa budi bicara.

Akhir sekali, seandainyalah kes ini diteruskan juga dalam Mahkamah, apalah bezanya dengan anak-anak palauh yang dibiarkan berkeliaran di jalan-jalan tanpa ada apa-apa tindakan penangkapan dan pendakwaan pula diambil?

Wassalam.

P/S: jangan ditanya kes ini berlaku di daerah mana kerana bakalpeguam perlu menjaga kerahsiaan identiti anak ini. Yang penting ia berlaku di Negeri Sabah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI