PANDUAN SAMAN TUNTUTAN KECIL BHGN 1

Assalamualaikum,

Anda mempunyai kawan yang berhutang tidak melebihi RM5,000 tetapi kawan anda buat 'dono' saja hutang itu? Anda pula tidak tahu bagaimana untuk menuntut kembali wang anda atau telah beberapa kali cuba menuntut tetapi kawan anda buat tidak tahu saja?

Atau anda ditipu oleh kenalan anda wang tunai tidak melebihi RM5,000 dan anda ingin menuntut kembali wang itu?

Anda sudah membuat laporan polis tapi anda masih tidak dibayar wang tersebut.

Apa yang boleh anda lakukan? Kalau ambil peguam rasanya tidak berbaloi kerana upah peguam lagi mahal dari wang yang ingin dituntut.

Jangan risau. Masih ada jalan penyelesaian yang sah dari segi undang-undang. Caranya mudah dan simple tetapi anda perlu bersabar dan mengikut proses dan prosedur yang telah ditetapkan.

Anda sebenarnya boleh membuat tuntutan sendiri di Mahkamah Majistret di tempat anda. Tidak perlu mengupah peguam. Malah, orang yang anda akan saman itu juga tidak boleh mengupah peguam untuk membelanya di Mahkamah.

Sebagai pengenalan, proses ini dinamakan sebagai Saman Tuntutan Kecil. Ia tertakluk kepada Aturan 93 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ('KKMM2012').

Aturan 93 Kaedah 1 KKMM2012 menyatakan bahawa "aturan ini hendaklah terpakai dalam prosiding dalam Mahkamah Majistret antara seorang individu plaintif dan seorang defendan."

Plaintif ialah orang yang menyaman, defendan ialah orang yang disaman. Kalau anda sebagai A menyaman kawan anda iaitu B, bermaksud A ialah plaintif dan B ialah defendan, ya.

A mestilah seorang individu, manakala B pula tidak semestinya seorang individu, bermaksud defendan boleh jadi seorang individu atau satu syarikat, perbadanan, firma dan lain-lain.

Manakala plaintif pula mestilah orang yang terkesan secara langsung atau jumlah yang dituntut itu. Plaintif tidak boleh seorang ejen atau pemegang serah hak apa-apa hutang orang lain, contohnya seorang suami yang menuntut hutang bagi pihak isteri, syarikat ejen kutipan hutang menuntut bagi pihak orang lain. Ini tidak boleh. Plaintif mestilah bertindak sendiri dalam Saman Tuntutan Kecil ini.

Aturan 93 Kaedah 2 KKMM2012 menyatakan "aturan ini hendaklah terpakai kepada tuntutan yang amaun dalam pertikaian atau nilai hak perkara tuntutan tidak melebihin lima ribu ringgit."

Ha, di sinilah punca kuasa RM5,000 tadi. Jumlah atau amaun yang dituntut tidak boleh melebihi RM5,000 ya.

Ok soalan: B telah berhutang dengan A sejumlah RM8,000. Bolehkah A menyaman B secara pecahan; iaitu dalam 2 saman berlainan, borang saman pertama letak RM4,000, borang saman kedua letak lagi RM4,000; atau mungkin dalam saman pertama letak RM5,000, borang saman kedua letak RM3,000?
Jawapan: Ini dinamakan sebagai 'split claim' dan secara ringkasnya tidak boleh dibuat. Ini kerana tuntutan kecil hanya berjumlah RM5,000 sahaja, dan jikalau amaun yang menjadi pertikaian itu ialah RM8,000 maka anda perlulah memfailkan Writ di Mahkamah Majistret dalam proses tuntutan sivil biasa. Split claim tidak dibenarkan. Jika anda ingin juga meneruskan tuntutan melalui Saman Tuntutan Kecil atas amaun RM8,000 tadi, maka anda perlu abaikan baki RM3,000 lagi kerana hanya boleh menuntut maksimum RM5,000 sahaja.

Soalan: B berhutang dengan A sejumlah RM4,000. A menuntut RM5,000 juga kerana katanya sebagai 'kos kerugian, pengangkutan dan sebagai pengajaran kepada B'. Adakah boleh buat begini?
Jawapan: tidak boleh kerana tuntutan kos yang dibenarkan hanyalah maksimum RM100 sahaja. Melainkan A boleh buktikan bahawa tambahan RM1,000 lagi adalah hutang yang perlu dibayar juga oleh B, maka hanya amaun prinsipal RM4,000 sahaja yang dibenarkan dituntut oleh A.

Yang penting anda haruslah jujur dalam membuat tuntutan yang disokong dengan bukti atau keterangan (dokumen atau lisan) yang kukuh. Jangan menipu atau memperdayakan Mahkamah dengan 'adjust' atau 'mark up' tuntutan yang tidak boleh dibuktikan. Ia hanya boleh menyebabkan anda menghina Mahkamah dan saman anda boleh dibatalkan dan kos diawardkan kepada defendan pula.

Ok, anda sudah bersedia untuk membuat tuntutan. Bagaimanakah caranya?

Anda perlu mengisi borang yang boleh didapati di kaunter bahagian sivil Mahkamah Majistret di daerah anda.

Aturan 93 Kaedah 3 KKMM2012 menyatakan "tiap-tiap tuntutan hendaklah dalam Borang 198."

Contoh Borang 198 ini adalah seperti di bawah.
Di dalam borang ini telah disediakan arahan-arahan kepada kedua-dua pihak iaitu plaintif dan defendan. Yang penting anda mesti rajin membaca dan mematuhi sebaik-baiknya kehendak-kehendak saman ini.

Anda juga mungkin menerima borang lama iaitu borang nombor 164 seperti di bawah:


Kedua-dua borang ini adalah sama, cuma merujuk kepada Kaedah Mahkamah yang lama dengan yang baru saja.

Kepada plaintif (orang yang menyaman), arahan ini perlu dipatuhi:
  1. Isikan nama penuh dan nombor kad pengenalan serta alamat yang lengkap. Ini penting kerana nama dan nombor kad pengenalan anda akan direkodkan dan alamat penuh adalah bagi proses penyampaian apa-apa dokumen Mahkamah.
  2. Isikan nama penuh defendan dan nombor kad pengenalannya. Jikalau tidak tahu nombor kad pengenalannya tidak mengapa, yang penting nama penuh defendan mestilah diisikan. Alamat defendan juga mestilah ditulis dengan lengkap, iaitu alamat terakhir yang diketahui oleh plaintif. Jangan biarkan kosong item ini.
  3. Bahagian ketiga iaitu Pernyataan Tuntutan, mestilah menyatakan amaun yang dituntut dengan tepat. Ingat, jumlahnya tidak boleh melebihi RM5,000.
  4. Dalam bahagian yang sama, plaintif mestilah menyatakan butir-butir tuntutannya. Butir-butir itu mestilah menyatakan tarikh relevan dan bagaimanakah tuntutan itu berbangkit dan apakah asas tuntutan itu. Jikalau ruangan tidak mencukupi, masukkan saja "SEPERTI DALAM LAMPIRAN A" dan taipkan dalam satu kertas kosong A4 setebal 80gsm tajuknya "PERNYATAAN TUNTUTAN" dan kepilkan bersama saman ini.
  5. Selepas mengisikan butir-butir ini, plaintif mestilah menandatangani sendiri borang saman ini.
  6. Selepas melengkapkan borang ini, plaintif mestilah memfailkan borang dalam 4 salinan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dan membayar fi (bayaran) pemfailan sebanyak RM20 sahaja. Pejabat Pendaftaran akan memeteraikan ke atas 4 salinan borang itu dan mengisikan tarikh pendengaran. Sesalinan akan dikembalikan kepada plaintif.
  7. Plaintif boleh berunding dengan peguam untuk saman ini tetapi tidak boleh diwakili peguam semasa pendengaran kes.
  8. Plaintif mesti hadir sendiri pada tarikh pendengaran. Jikalau gagal hadir tanpa sebarang sebab akan menyebabkan kes dibatalkan.
Insya Allah kita akan sambung dalam bahagian kedua nanti. Sebarang soalan boleh tanyakan di bawah.

Wassalam.

Ulasan

  1. Saya tinggal di Bangi, Selangor dan defendan tinggal di Kuala Lumpur. Perlu ke saya failkan saman di Kuala Lumpur?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semak dulu kausa tindakan di mana berlaku. Jikalau di KL, lebih baik failkan di KL. Kalau di Bangi, bolehlah failkan di Mahkamah Bangi.

      Padam
  2. Kalau defendant tidak hadir mcam mna?

    BalasPadam
  3. hi
    saya belum dapat balik 'tenancy deposit' saya balik untuk 4 bulan. Saya nak saman tuntutan kecil kepada pemilik rumah... boleh ke? jika boleh, apakah tindakan saya dan document yang diperlukan

    BalasPadam
  4. Hi saya menetap di Selangor. Saya ada sewakan rumah di Perak. Boleh ke saya failkan di mahkamah di Selangor atau perlu failkan di Perak?

    BalasPadam
  5. Yang pinjam duit saya..sy xde nombor IC dia...tp sy tahu tmpt keje dia dan alamat dia kt resume cmne tu leh ke..?

    BalasPadam
  6. Klu tuntutan lbh dr RM 10k.. adakah prosesnya sma atau perlukn peguam..
    Amaiunt yg ingin dituntut RM 38,700..

    BalasPadam
  7. Wlupn hutang rm50 ringgit ? Tetap boleh bt tuntutan kecil ?

    BalasPadam
  8. Wlupn hutang rm50 ringgit k bwh ..?
    Msih tetap boleh bt tuntutan kecil ?

    BalasPadam
  9. Bagaimana jika si defendan atau orng yg dh pinjam duit kita tu. Kita tidak tahu alamat serta no kad pengenalan dia? Kalau dia taknak bagi..

    BalasPadam
  10. maaf bertanya. jikalau pihak plaintif membuat pembelian online dan hanya ada nama penuh, nombor telipon dan no akaun bank pihak defendan sahaja, bagaimana pihak plaintif boleh meneruskan tuntutan ini ?

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH