JAKSA PENDAMAI DAN DAFTAR LEWAT SIJIL LAHIR

Assalamualaikum,

Sumber gambar di SINI

Dengan mengambil kira senario sosio budaya Negeri Sabah, terutamanya masalah dokumentasi warga negara dan warga asing melalui Sijil Lahir Daftar Lewat yang membelenggu bukan sahaja masyarakat Negeri ini, malah sistem Kehakiman di Negeri Sabah yang menanggung banyak kes-kes tertunggak, maka bakalpeguam suka mencadangkan seperti berikut:
  1. Institusi Jaksa Pendamai (JP) diperkasakan bagi maksud mengambil alih proses dan prosiding inkuiri Sijil Lahir Daftar Lewat. Diperkasakan di sini bermaksud hanya JP yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan pengalaman profesion kehakiman atau kepeguaman di Negeri Sabah tidak kurang dari 5 tahun sahaja yang boleh mendengar dan memutuskan kes Daftar Lewat Sijil Lahir.
  2. Kerajaan Negeri Sabah menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang khusus bagi pengurusan kes terutamanya pendaftaran melalui sistem on-line kepada warga Sabah yang mempunyai urusan Daftar Lewat.
  3. JP yang mendengar kes Daftar Lewat ini diberikan ruang pejabat khusus seperti di bangunan Mahkamah atau Pejabat Daerah bagi prosiding inkuiri ini.
  4. Bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah, kes-kes Daftar Lewat Sijil Lahir didengar oleh JP secara rawak (random) dan bukannya JP yang berasal dari daerah di mana pemohon tinggal.
  5. Kerajaan Negeri Sabah juga menyediakan elaun perjalanan, makan dan tempat tinggal bagi mendengar kes-kes ini kepada JP yang menjalankan tugas inkuiri ini dengan peruntukan belanjawan yang tetap dan bersesuaian.
  6. Proses rayuan juga didengar oleh panel JP Rayuan yang dilantik sekurang-kurangnya 3 orang bagi setiap persidangan. Ini bagi mengelakkan salah guna kuasa atau rasuah.
  7. Dan selepas proses rayuan ini selesai dan pemohon Daftar Lewat masih tidak berpuas hati atau gagal dalam mendapatkan Endosmen Sijil Lahir Daftar Lewat bolehlah memfailkan semakan kehakiman atau Saman Pemula di Mahkamah Tinggi bagi proses rayuan/semakan semula keputusan JP dan JP Rayuan dalam prosiding inkuiri tersebut.
Cadangan ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat Negeri Sabah yang terbelenggu oleh masalah dokumentasi, bahkan ia akan lebih memperkasakan lagi institusi Jaksa Pendamai di Negeri Sabah yang menerima watikah lantikan daripada Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah.

Terpulanglah kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui perundangan yang sedia ada atau penggubalan Ordinan baharu samada cadangan ini wajar dipertimbangkan atau tidak.

Namun memikirkan kesan positif yang terbit daripadanya, hanya orang yang tidak berakal sahaja yang tidak mahu untuk urusan rakyat menjadi senang dan mudah.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI