PERKAUMAN

Assalamualaikum,

Sekarang ini isu perkauman menjadi isu hangat di Amerika Syarikat, negara yang gah bercakap besar soal demokrasi dan hak asasi manusia, akibat perbuatan kejam seorang anggota polis Minneapolis yang melakukan tangkapan ke atas George Floyd, 46 tahun hingga menyebabkan kematiannya.

Untuk rekod, George Floyd adalah seorang warga Amerika berkulit hitam dan dikatakan resisting arrest atau melawan semasa tangkapan dibuat. Bertebaran video di seluruh rangkaian media sosial berkenaan tangkapan ini dan anda boleh menilai sendiri keadaannya.

Isu ini bukan setakat hangat, malah telah mendatangkan kacau bilau di 40 bandar di Amerika hingga Presiden Donald Trump mengancam akan menggunakan kekuatan ketenteraan bagi mengembalikan keamanan. Beberapa negeri juga termasuk di Washington telah mengisytiharkan darurat kerana tunjuk perasaan yang tidak dapat dikawal.

Semuanya berpunca dari satu isu, iaitu PERKAUMAN.

Sumber gambar di SINI

Dimana pun manusia berada, isu perkauman tetap menjadi sentimen yang sangat sensitif hingga boleh menyebabkan peperangan dan pembunuhan. Di Malaysia juga tidak kurang dengan isu perkauman apabila kaum minoriti seringkali mengatakan kaum majoriti bersikap perkauman dan menindas kehidupan mereka, walhal ia adalah fakta yang tidak benar sama sekali dan terpesong.

Komposisi kaum di Malaysia secara amnya bolehlah dibahagikan kepada kaum Melayu sebagai kaum majoriti, Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta lain-lain kaum termasuklah Orang Asli. Semua hak dan keistimewaan terutama kaum majoriti telah ditinta dengan jelas dan tuntas di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu perundangan bertulis tertinggi di negara ini.

Bakalpeguam tidak berhasrat untuk membahaskan apakah sentimen-sentimen perkauman di Malaysia kerana pembaca blog ini tentunya boleh mencari bahan bacaan lain berkenaan isu ini.

Cukup hanya sekadar saya ingin katakan bahawa menimbulkan isu perkauman itu adalah perbuatan yang jijik dan tidak bertamadun. 

Mengganggu hak kaum lain juga adalah perbuatan tidak bertamadun. 

Apatah lagi menghina kaum dan agama lain, perbuatan itu bukan saja tidak bertamadun, malah wajar dihukum dengan sangat berat secara perundangan. 

Sebab itu Malaysia kekal dengan Akta Hasutan 1948, walaupun ianya satu akta pra-merdeka yang boleh dikatakan sudah tua, tetapi masih ampuh dalam menangani masalah melibatkan isu perkauman. Cuma pada masa ini penguatkuasaan perundangan ini nampaknya masih lemah dan masih banyak perlu diperbaiki. 

Diharap kerajaan mengambil berat isu ini kerana sudah banyak kali isu perkauman yang dimainkan oleh golongan minoriti ini diuji namun tiada tindakan konkrit yang dihasilkan. 

Sudah tiba masanya Akta Hasutan ini digubal selaras dengan peredaran zaman dan mereka yang memainkan isu ini wajar merengkuk di dalam penjara untuk satu tempoh yang sangat lama agar ideologi kolot mereka tidak terus berakar di bumi bertuah ini.

Apapun, seperti dalam link video di bawah dan saya bersetuju dengannya bahawa "RACISM  SUCKS"!

Maaf kalau saya mencarut tapi itulah realitinya.


Ulasan

  1. Assalamualaikum

    Semasa memandu,saya telah diberhentikan oleh sebuah kereta peronda polis,seramai 2 orang.
    Telah meminta ic,lesen memandu.setelah itu kedua2 polis yg berpangkat kopral dan konstabel itu mengarahkan untuk saya keluar dari kereta,memeriksa badan,dompet,dan keseluruhan kereta saya..saya ada membuat rakaman video tetapi di arahkan untuk menghentikan rakaman tersebut atau saya akan di bawa ke balai polis..

    Soalan 1- adakah boleh diberhentikan secara rambang
    Soalan 2-bolehkah saya diperiksa badan/kenderaan tanpa ada ?
    Soalan sebarang sebab
    3-adakah menjadi satu kesalahan jika merakam video dalam situasi tersebut?

    Terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam,

      1. Boleh.
      2. Boleh, kerana pihak polis boleh membuat pemeriksaan di tempat awam tanpa waran sekiranya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa terdapat kesalahan jenayah dilakukan.
      3. Tidak. Malah, tuan mempunyai hak untuk meminta kedua-dua koperal dan konstabel itu menunjukkan kad kuasa sebelum pemeriksaan dilakukan. Mengambil rakaman video tidak menjadi kesalahan. Dibawa ke balai itu cuma satu ugutan tanpa asas.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI