SAMAN KERAJAAN?

Assalamualaikum,

Ada yang bertanya dengan saya soalan begini:

"Saya (OKT) ditahan reman kerana tidak mampu memberikan jaminan Mahkamah bagi kesalahan memiliki dadah. Selepas 3 bulan ditahan, akhirnya Mahkamah membebaskan saya kerana didapati laporan kimia itu negatif. Adakah saya boleh saman kerajaan kerana saya ditahan secara salah?"

Baik, sebelum kita pergi kepada isu saman-menyaman, kita tengok dulu isu pokoknya iaitu:

"Samada tahanan itu adalah salah atau tidak?"

Kerana untuk membuat saman ke atas mana-mana pihak, kita perlukan satu kausa tindakan atau bahasa kampungnya "cause of action" sebelum saman itu mempunyai "locus standi" atau asbab bagi saman itu boleh diteruskan di Mahkamah.

Dalam kes di atas, Orang Kena Tuduh (OKT) mengatakan beliau telah ditahan reman kerana tidak mampu memberikan jaminan Mahkamah. Perihal jaminan ini dinyatakan dalam seksyen 388, 389, 390 dan 391 Kanun Prosedur Jenayah seperti di bawah:







Ini bermaksud Mahkamah telah memberikan tawaran jaminan kepada beliau tetapi atas sebab ketidak mampuan atau mungkin tidak dapat mendapatkan penjamin atau apa jua alasannya, maka beliau ditahan reman di penjara sementara menunggu tarikh sebutan atau perbicaraan seterusnya.

Ini dinamakan sebagai "reman 259" iaitu tahanan reman di dalam penjara di bawah seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah.



Oleh kerana OKT gagal mengemukakan jaminan atau menyempurnakan bon yang diperintahkan oleh Mahkamah, maka adalah sewajarnya OKT itu ditahan reman di penjara sehinggalah beliau dapat menyempurnakan jaminan tersebut. Ini tidak bererti jaminan itu hanya perlu disempurnakan pada hari pertama dia dituduh di Mahkamah. Ia boleh dilaksanakan atau disempurnakan pada bila-bila masa selagi kaunter pejabat Mahkamah beroperasi. Sekiranya gagal, maka tertuduh perlulah ditahan reman sehingga jaminan itu disempurnakan, atau sehingga kes itu selesai, yang mana lebih awal.

Jadi adakah tahanan itu tahanan yang salah? Tentulah jawapannya tidak kerana proses sewajarnya atau "due process" telahpun dipatuhi.

Adakah terdapat kecuaian oleh mana-mana pihak seperti pihak polis, Mahkamah atau pihak Jabatan Penjara dalam menahan OKT sehingga kesnya selesai? Jawapannya juga adalah tiada.

Jadi berbalik kepada persoalan saman-menyaman kerajaan atau ejen kerajaan yang terlibat. Adakah boleh saman kerajaan atas isu atau persoalan di atas sekali?

Jawapannya tentulah boleh kerana hak mengemukakan saman sivil itu adalah terletak pada orang yang ingin mengemukakan saman itu. Tetapi kena pastikanlah bahawa terdapat kausa tindakan yang sah di sisi undang-undang sebelum kes boleh diteruskan, kerana sekiranya gagal kemukakan kausa tindakan yang sah, pemfailan saman itu hanyalah perbuatan yang sia-sia dan membazirkan wang ringgit sahaja.

Perlu diingat, mengemukakan saman sivil melibatkan kos peguam dan Mahkamah dan orang yang kemukakan saman itu (plaintif) bertanggungjawab terhadap kos-kos tersebut kecualilah jikalau memenangi kes tersebut. Jikalau kalah, bukan setakat kos peguam serta kos Mahkamah perlu ditanggung, bahkan kos guaman pihak defendan juga perlu dibayar oleh pihak plaintif.

Maka, sebelum mengemukakan saman sivil ke atas mana-mana pihak sekalipun, dapatkanlah nasihat peguam bertauliah dan lebih arif dalam isu ini sebelum meneruskan tindakan selanjutnya.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH