SAMAN PENGHUTANG PENGHAKIMAN

Assalamualaikum,

Hari ini bakalpeguam ingin berkongsi pengalaman mengendalikan kes berkenaan Saman Penghutang Penghakiman atau dalam Bahasa Kampung saya disebut "Judgment Debtor Summons" atau singkatannya JDS.

JDS ini adalah salah satu dari pelbagai proses pelaksanaan penghakiman bagi kes sivil. Proses lain seperti Writ Sitaan dan Jual (WSS), Writ Pemilikan (WOP), distress dan lain-lain.

Untuk sampai ke tahap JDS ini seseorang yang memenangi kes sivil di Mahkamah bolehlah membuat atau mengeluarkan saman JDS ini untuk mendapatkan balik jumlah wang yang perlu dibayar oleh pihak yang kalah. Tiada had amaun tuntutan bagi kes JDS ini. Jikalau anda menang kes tuntutan kecil di Mahkamah sekalipun bernilai RM1,000 anda boleh mengeluarkan JDS ini untuk dapatkan wang RM1,000 tersebut.

Sebelum itu, untuk makluman JDS ini terdapat di dalam satu Akta yang dikenali sebagai Akta Penghutang 1957 (Debtors Act 1957) dan prosedur mengenainya boleh ditemui dalam Aturan 74 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012).

Sebelum JDS dikeluarkan, pihak pemiutang penghakiman (Judgment Creditor atau JC - iaitu orang yang menang kes sivil) perlu membuat satu permintaan kepada Mahkamah yang dipanggil 'Request for Judgment Debtor Summons' di bawah Aturan 74 Kaedah 11A KKM 2012 yang dialamatkan kepada Pendaftar Mahkamah Rendah. Dalam permintaan ini hendaklah dikepilkan bersama penghakiman yang termeterai iaitu penghakiman yang ingin dikuatkuasakan melalui JDS. Bayaran pemfailan permintaan ini ialah RM20.

Dan dalam masa yang sama JDS juga difailkan bersama bagi mendapatkan meterai dan tarikh kehadiran atau pendengaran di Mahkamah. Bayaran pemfailan JDS ini ialah juga RM20.

Setelah JDS dimeterai dan dikeluarkan oleh Mahkamah, maka JC atau pemiutang penghakiman hendaklah menyerahkan secara penyampaian kediri atau personal service JDS itu kepada penghutang penghakiman (JD) dalam tempoh sekurang-kurangnya 4 hari sebelum tarikh pendengaran di Mahkamah. Jikalau kurang dari 4 hari maka ia adalah 'short service' atau serahan singkat dan JD berhak untuk memohon penangguhan, tertakluk kepada keputusan Mahkamah. Biasanya Mahkamah akan bagi kerana JD juga perlu bersedia menghadapi JDS ini, termasuklah mendapatkan nasihat atau khidmat peguam.

Jikalau JD telah diserahkan dengan JDS dan JC telah memfailkan afidavit penyampaian tetapi JD gagal hadir ke Mahkamah tanpa alasan yang munasabah, maka Mahkamah boleh mengarahkan agar JD ditangkap oleh Bailif Mahkamah melalui Waran Tangkap yang dikeluarkan. JD boleh dimasukkan ke dalam penjara sementara menunggu Mahkamah bersidang atau Hakim/Majistret boleh memasukkan terma untuk melepaskan JD sekiranya boleh memberikan jaminan kepada Mahkamah untuk hadir pada sekian-sekian haribulan.

Ok, pada hari pendengaran itu Mahkamah akan mengarahkan JD untuk membawa bersama-sama bukti pendapatan dan perbelanjaan bagi tujuan menilai (examine) akan kemampuannya untuk membuat pembayaran ke atas hutang penghakiman itu.

Dan pada kebiasaannya juga inilah masanya JD akan minta untuk berunding dengan JC akan terma pembayaran yang boleh dipersetujui, iaitu bayaran secara ansuran bulanan. Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju dan bersepakat atas terma yang dipersetujui, maka Mahkamah akan merekodkan Perintah Persetujuan atau Consent Order ke atas terma itu dan JD perlu mematuhi terma yang telah diperintahkan itu.

Jikalau tiada persetujuan, maka Mahkamah akan meneruskan kes seperti perbicaraan penuh, iaitu JD akan mengangkat sumpah dalam kandang saksi dan menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya berkenaan dengan sumber pendapatan dan perbelanjaan harian atau bulanan. Dari situ Mahkamah akan menilai samada JD mempunyai tahap kewangan yang mampu untuk menyelesaikan hutang penghakiman atau tidak; atau samada JD mempunyai lebihan wang untuk dibayar secara ansuran bulanan. Mahkamah akan mengeluarkan perintah yang bersesuaian.

Selepas mendapat perintah, JC akan memfailkan terma perintah itu dan akan dimeterai oleh Mahkamah dan diserahkan satu salinan kepada JD. Bayaran pemfailan perintah ini ialah RM40.

Maka, selesailah urusan JDS dan pihak-pihak akan akur kepada terma yang telah diperintahkan itu.

Ok, apa yang akan berlaku jikalau JD gagal untuk mematuhi terma yang telah diperintahkan? Atau dengan kata lain culas dan ingkar dari menjalankan tanggungjawabnya terhadap perintah yang diberikan?

Pada tahap ini, JC bolehlah balik semula ke Mahkamah dengan memfailkan satu notis dinamakan Notis Penghakiman atau Judgment Notice (JN) dengan bayaran pemfailan RM20 di bawah Aturan 74 Kaedah 13 KKM2012.

JN ini ialah satu notis kepada JD yang menghendakinya untuk hadir ke Mahkamah bagi memberikan tunjuk sebab mengapa dia tidak patut DIPENJARAKAN atas keingkaran atau keculasannya dalam memenuhi perintah JDS.

Ya, this is serious. Jangan fikir hanya apabila anda melakukan kesalahan jenayah sahaja baru anda akan masuk penjara. Culas membayar hutang sivil pun anda masih boleh dimasukkan ke dalam penjara.

Sama juga prosesnya, apabila Mahkamah telah memeterai JN ini, maka JC perlulah menyerahkannya secara kediri atau personal service. Sebelum itu JC perlu memasukkan wang deposit pelaksanaan sebanyak RM1,000 sebagai kos Bailif atau lain-lain kos Mahkamah yang berkaitan.

Jikalau JD mengelak atau menyembunyikan diri? Tiada masalah, apabila JC melaporkannya kepada Mahkamah melalui afidavit bahawa JC sesungguhnya dan dengan suci hati percaya bahawa JD masih berada di kediaman atau tempat kerjanya dan dengan sengaja melarikan atau menyembunyikan diri atau mengelak dari diserahkan JN, maka Mahkamah boleh mengeluarkan Waran Tangkap ke atas JD untuk dibawa ke Mahkamah.

Apabila sampai di Mahkamah, JD akan diberikan peluang membuat representasi bagi maksud memberikan tunjuk sebab itu. JD juga boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengubah terma perintah yang diberikan dulu, tetapi tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah.

Jikalau Mahkamah terima representasi oleh JD, maka pelaksanaan pemenjaraan itu akan ditangguhkan dan Mahkamah bolehlah melepaskan JD dengan jaminan dan JD mesti memenuhi perintah yang diberikan, samada mengikut perintah asal atau atas terma baharu yang diputuskan oleh Mahkamah.

Seandainya Mahkamah tidak berpuas hati dengan representasi yang diberikan oleh JD dalam pendengaran JN itu, maka Mahkamah akan mengeluarkan Perintah Pemenjaraan atau 'Committal Order' kepada JD seperti dalam Aturan 74 Kaedah 15 KKM2012. Tempoh maksimum perintah pemenjaraan ini ialah 6 minggu sahaja, atau sehingga hutang yang tertunggak dibayar oleh JD, yang mana lebih awal.

Tetapi sebelum perintah pemenjaraan dapat dilaksanakan, JC perlu membuat pembayaran dahulu kepada pihak Penjara satu wang yang bersamaan dengan RM30 sehari untuk saraan dan makan minum JD di dalam Penjara. Sekiranya Mahkamah perintahkan JD dipenjara sehingga 6 minggu, maka JC perlu memasukkan bayaran sebanyak RM1,260.

Sekiranya JD berkemampuan untuk menyelesaikan hutang atau memenuhi perintah yang diberikan sebelum ini, jikalau dia di dalam penjara bolehlah membayar terus kepada pegawai penjara atau ahli keluarganya boleh ke Mahkamah dan membayar wang yang dituntut atau terus sahaja dibayar kepada peguamcara bagi pihak JC. Sekiranya bayaran telah diterima, pihak yang menerima bayaran atau JC perlu memfailkan ke Mahkamah satu borang iaitu Borang 181 yang ditandatangani sendiri oleh JC di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, dan sesalinan Borang 181 itu akan dimeterai oleh Pendaftar Mahkamah Rendah dan seterusnya dihantar kepada pihak Jabatan Penjara di mana JD ditahan untuk melepaskannya daripada tahanan penjara itu.

Ok, ada beberapa persoalan akan timbul di sini, dan bakalpeguam akan jadikannya seperti FAQ.

1. Mengapa JC perlu keluarkan duit pula untuk membuat bayaran pemfailan dan menanggung makan minum JD dalam penjara sedangkan dia yang berhutang duit dengan saya?
J: Jangan risau, JC memang perlu mengeluarkan duit sendiri terlebih dahulu bagi menampung kos dan bayaran yang dikenakan dan segala kos dan bayaran ini akan ditambah ke dalam jumlah hutang penghakiman yang asal. Contohnya, kos makan minum RM1,260 itu akan dimasukkan ke dalam jumlah penghakiman yang masih perlu ditanggung dan dibayar oleh JD. Ia bukan percuma. Ia adalah sebagai wang pendahuluan sahaja.

2. Mengapa pula JD hanya dipenjara 6 minggu saja? Mengapa tidak dipenjara selama-lamanya hingga dia membayar jumlah penghakiman yang dituntut?
J: Tidak bolehlah begitu. Undang-undang sudah menetapkan tempoh maksimum pemenjaraan atau Committal Order itu hanyalah 6 minggu sahaja. Mungkin ia ditetapkan sebegitu sebagai peringatan dan pengajaran kepada JD agar insaf dan mematuhi apa jua perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Apatah lagi ia juga mendatangkan risiko kehilangan pekerjaan jikalau JD dipenjara selama 6 minggu, maka orang yang waras akan menggunakan segala cara yang ada untuk memenuhi perintah Mahkamah berbanding kehilangan pekerjaan yang stabil.

3. Ok, kalau JD mampu penuhi perintah Mahkamah dalam tempoh 1 minggu saja selepas dipenjara, adakah wang RM1,260 itu akan hangus?
J: Tentulah tidak. Wang saraan dan makan minum JD dalam penjara akan dibayar balik sekiranya JD dilepaskan lebih awal. Hanya jumlah hari yang ditanggung saja tidak akan dikembalikan. Contohnya, JD dipenjara selama 5 hari sebelum dapat menyelesaikan hutang itu, maka wang sebanyak RM150 perlu ditolak dari jumlah RM1,260 itu. Ini bermakna, sebanyak RM1,110 akan dikembalikan semula kepada JC.

4. Jadi, kalau JD masih gagal jelaskan hutang atau tuntutan selepas tempoh 6 minggu, adakah dia akan dibebaskan dari penjara?
J: Ya, sudah semestinya.

5. Bagaimana pula dengan hutang saya? Adakah akan 'diampunkan' selepas dia dibebaskan? Hutang itu akan lenyaplah?
J: Tidak sama sekali. Malah, hutang yang ada sudahpun bertambah kerana JD telah 'makan' wang saraan yang dibayar oleh JC. JD perlu menanggung hutang yang berganda sekarang. Hutang itu tidak akan lenyap hanya kerana JD sudah habis menjalani pemenjaraan selama 6 minggu yang ditetapkan.

6. Apakah cara lain untuk mendapatkan semula wang saya?
J: Bolehlah fikirkan alternatif lain kerana seperti yang dinyatakan di atas, ada beberapa lagi proses pelaksanaan penghakiman yang boleh diambil ke atas JD sehingga segala hutang habis dibayar. Hanya kesungguhan pihak JC saja samada mahu atau tidak.

7. Bolehkah JD dipenjarakan berulang kali melalui JN selepas dia habis menjalani 6 minggu pemenjaraan?
J: Wallahu a'lam. Boleh bincang dengan peguam berkenaan perkara ini.

Wassalam.

Ulasan

  1. boleh tak kos guaman di masukkan sekali dalam hutang tertunggak? sy ada tanya peguam dia kata caj guaman sahaja sudah cecah rm2500 .. kwan saya hutang rm3400

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tidak boleh. Kos guaman boleh dituntut sebagai kos terhadap defendan kerana ia boleh berubah. Tidak boleh dianggap sebagai hutang tertunggak.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI