HUKUMAN DAN KEMANUSIAAN

Assalamualaikum,

Harian Metro hari ini melaporkan berita di bawah:

hmetro.com.my

OKU menangis terlepas hukuman sebat, hanya dipenjara

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

LELAKI lelaki warga Indonesia yang mengaku bersalah atas kesalahan imigresen di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, menangis teresak-esak apabila terlepas daripada hukuman sebat dan dijatuhi hukuman penjara 14 hari.

Tertuduh Musar Rasak, 47, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969 kerana memasuki negara ini secara haram tanpa sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan tidak lebih enam kali sebatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Musar didakwa melakukan kesalahan itu selepas ditahan pihak berkuasa di Jalan Utara Hilltop, Tawau, pada 6 Jun lalu.

Ketika mendengar perintah hukuman itu, tertuduh yang tidak dapat menahan emosi kemudiannya menangis teresak-esak menyebabkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan terpaksa menangguhkan seketika perbicaraan bagi memberi ruang kepada tertuduh untuk bertenang.

Peguam Dayang Aidaku Amira Aminuddin yang mewakili tertuduh kemudiannya secara pro-bono, memohon hukuman paling ringan atas alasan anak guamnya mengalami cacat penglihatan sejak lahir dan berada di negara ini sejak 1992.

Dalam hujahannya, beliau menjelaskan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap selain mengalami sakit belakang, namun tidak dapat menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital disebabkan masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Amir Shah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 14 hari dari tarikh dia ditahan iaitu pada 6 Jun lalu tanpa hukuman sebatan selain dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengusiran pulang ke negara asal.

Pandangan bakalpeguam:

Seorang sahabat bakalpeguam yang juga seorang wartawan memberitahu bahawa berita sebegini perlu disebarkan agar semua orang tahu bahawa sistem kehakiman kita masih ada pertimbangan yang wajar.

Ya betul. Sistem kehakiman kita memang selalu memberikan pertimbangan yang wajar termasuk dalam aspek kemanusiaan sungguhpun undang-undang kita sangat ketat.

Malah, lebih molek sekiranya dari peringkat awal kes sebegini pihak Timbalan Pendakwaraya tidak memberikan arahan tuduh di Mahkamah, sebaliknya terus memberikan perintah pengusiran ke negara asal memandangkan keadaan OKT ini iaitu seorang kelainan upaya sejak lahir.

Apapun, diharap hukuman yang dijatuhkan dijadikan pengajaran, bukan pula sebagai ejekan kononnya sistem kehakiman kita lemah atau tidak berperikemanusiaan kerana OKU juga dikenakan hukuman penjara 14 hari sedangkan hakikatnya OKT ini sudahpun menjalankan hukumannya semasa dalam tahanan reman.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI