PEMANDU MABUK

Assalamualaikum,

Baru pagi tadi semasa memandu kereta terfikir untuk mencari dan merumuskan kes-kes melibatkan pemandu mabuk di Malaysia pada tahun 2020 ini. Nampaknya Bernama telah memudahkan urusan dengan mengeluarkan infografik di bawah.

Sumber gambar di SINI
Sememangnya sudah diwahyukan Ilahi dan bersandarkan hadith Rasulullah s.a.w bahawa arak itu memudaratkan dan 10 golongan berkaitan arak adalah membawa dosa yang sama seperti peminumnya. Siapakah 10 golongan ini? Bolehlah baca dengan lebih lanjut di SINI dan di SINI.



Apapun, kerajaan perlu mengawal kejadian melibatkan pemandu mabuk melalui penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat. Pihak berkuasa tempatan juga perlu lebih cakna dan serius dalam melakukan due diligent sebelum mengeluarkan atau menyambung lesen premis yang menjual arak ini.

Kalau kita hanya membiarkan penjual dan peminum arak untuk membuat pertimbangan sendiri maka kes-kes ini akan berterusan sampai ke tahap yang tidak boleh dikawal lagi. Apakah kita mahu melihat lebih ramai mati di atas jalanraya kerana pemandu mabuk?

Kalau terkena kepada kita atau ahli keluarga kita yang menjadi mangsa pemandu mabuk ini adakah kita bersedia atau mampu menghadapinya?

Bakalpeguam mengucapkan syabas kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengemukakan pertuduhan bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas seorang peraih ikan, Teoh Kian Peng di Mahkamah Majistret Kuantan Pahang 2 hari lepas kerana memandu dalam keadaan mabuk secara melawan arus sehingga merempuh kereta dipandu oleh seorang kakitangan Alam Flora sehingga kemalangan pada 25 Mei lalu.

Berita lanjut boleh baca di SINI dan di SINI.

Setahu saya, inilah kes pertama melibatkan kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk yang didakwa dengan kesalahan membunuh di negara ini. Sabit kesalahan tertuduh berdepan hanya satu sahaja hukuman, iaitu gantung di leher sehingga mati. Ia adalah hukuman mandatori.

Maka, hutang darah biar dibalas dengan darah, hutang nyawa biar dibalas dengan nyawa. Itu juga adalah hukum Qisas.

Semoga ketegasan Jabatan Peguam Negara diteruskan bagi kes-kes lain yang masih dalam siasatan atau masih menunggu perbicaraan dengan mengemukakan pendakwaan bagi kesalahan yang sama agar menjadi peringatan kepada para pemabuk di negara ini.

Hanya itu saja balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka dan Bakalpeguam setuju dengan tindakan kerajaan untuk mengetatkan lagi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menangani isu ini once and for all.

Sebagai tambahan, Bernama juga telah mengeluarkan artikel bertarikh 2.6.2020 berkenaan isu ini dan saya salinkan semula di bawah untuk bacaan bersama. Sumber boleh klik di SINI manakala terjemahan bahasa Inggeris boleh klik di SINI.


02/06/2020 05:26 PM
Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA LUMPUR, 2 Jun -- Akhir-akhir ini kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian mencetuskan pelbagai reaksi serta pandangan, mendesak kerajaan mengetatkan undang-undang berkaitan bagi menanganinya.
Bagaikan insiden bermusim, satu demi satu kes nahas sedemikian dilaporkan baru-baru ini mencetuskan sentimen dalam kalangan rakyat yang mahukan kerajaan mengambil tindakan tuntas terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Memahami keresahan rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Ketepikan perbezaan politik kerana ini berkaitan nyawa manusia dan akibat yang perlu ditanggung waris mangsa. Apakah kesungguhan politik dalam kalangan pemimpin kita bagi menangani isu pemandu mabuk ini?  
Mungkin kita boleh mengambil iktibar dan mempelajari pengalaman negara-negara lain yang melaksanakan hukuman berat dan dilihat boleh menjadi pengajaran kepada orang lain. 
Negara maju seperti Kanada meletakkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di bawah kanun jenayah dengan hukuman menyebabkan kematian boleh dipenjara seumur hidup manakala pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga 14 tahun.
Di United Kingdom, hukuman bagi pemandu yang menyebabkan kematian disebabkan kecuaian ketika  berada di bawah pengaruh alkohol ialah dipenjara selama 14 tahun dengan denda tanpa had serta digantung lesen memandu selama dua tahun.
Kabinet Taiwan pula meluluskan satu pindaan terhadap kanun keseksaan yang menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan membunuh. Jika pesalah berniat menyebabkan kematian, dia boleh dihukum mati.
Menerusi pelaksanaan hukuman sedemikian barulah pesalah yang menyebabkan kemalangan maut ketika memandu dalam keadaan mabuk menganggap perkara berkenaan sebagai satu kes yang serius.
Di Malaysia, mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk hanya dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Undang-undang ini dilihat lemah, seakan tidak setimpal dengan kesalahan yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesengsaraan kepada mangsa dan waris.
Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama tahun ini dengan lapan mangsa meninggal dunia, iaitu peningkatan ketara berbanding 23 kes sepanjang tahun lepas.
Seperti tidak ada nilai, nyawa melayang begitu sahaja disebabkan kehilangan siuman seorang pemabuk yang boleh mengundang risiko kemalangan 13 kali ganda berbanding individu yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol.
Menyifatkan dasar dan peraturan tentang pemandu mabuk di negara ini sudah kuno dan lapuk, pakar psikologi kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din menyatakan definisi, skop dan tingkah laku pemandu mabuk harus diperjelaskan.
“Manusia semakin celaru dan berani melanggar peraturan sedia ada. Penguatkuasaan juga mungkin menjadi sukar dengan garis panduan lapuk yang ada kebolosan, ketirisan dan tidak tepat untuk dilaksanakan
“Kita gagal untuk melihat bahawa pemandu mabuk adalah orang yang tidak siuman yang sedang berada di dalam tubuh yang siuman dan sepatutnya dilarang berada di kawasan awam sebaliknya wajib berada di premis persendirian atau di rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Dalam menguatkuasakan hukuman lebih berat,  had kandungan alkohol dalam darah (BAC)  bagi individu di bawah pengaruh alkohol yang diguna pakai juga perlu disemak semula dan dikurangkan kepada 0.05 selaras piawaian antarabangsa  seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Kulanthayan KC Mani berkata pada masa ini, had kandungan alkohol yang diguna pakai di Malaysia ialah 0.08. 
“Jika 0.05 sudah memberi kesan memabukkan apatah lagi had kandungan 0.08 yang diguna pakai di Malaysia. Jika kita dapat kurangkan kepada 0.05 lebih ramai pemandu dan pengguna jalan raya yang berkongsi jalan sama dapat diselamatkan,” katanya.
WHO menyasarkan semua negara  dapat mengurangkan kematian  dan kecederaan  sebanyak 50 peratus disebabkan pemanduan mabuk menjelang 2030. 
Menurut Dr Kulanthayan, apa yang lebih penting pada masa ini ialah mengoptimumkan undang-undang sedia ada dan semua pihak memainkan peranan masing-masing tanpa mengharapkan sepenuhnya pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Penguatkuasaan kendiri, keluarga, komuniti, majikan dan industri, jika diperkenalkan dan dilaksanakan secara aktif,  akan membantu membendung pelanggaran peraturan jalan raya termasuk pemanduan semasa mabuk,” katanya.
Selain itu, penjualan alkohol juga perlu dihadkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih berkesan, kata Exco Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA) Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir.
Menurut beliau, New Zealand dan Belanda antara negara yang mengenakan undang-undang ketat terhadap penjualan alkohol.
“Di Malaysia alkohol boleh dibeli pada bila-bila masa terutama dari kedai 24 jam,” katanya sambil mencadangkan pengusaha kelab malam membuat ujian  pemanduan di bawah pengaruh alkohol (DUI) terhadap pelanggan mereka dan memeriksa had alkohol dalam darah sebelum membenarkan mereka memandu pulang.
“Macam sekarang musim COVID-19 yang perlu periksa suhu badan untuk memasuki premis, jika demam tidak dibenarkan masuk. Begitu juga kepada mereka yang mengambil alkohol, jika lebih daripada BAC yang ditetapkan tidak dibenarkan memandu,” katanya.
-- BERNAMA

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI