6 BULAN PENJARA KERANA KAD PENGENALAN PALSU DAN MILIK ORANG LAIN

1. Rabu, 13 November 2013, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor. Seramai 20 orang warga Indonesia termasuk 6 wanita yang bekerja sebagai penagwal keselamatan di negara ini, dijatuhi hukuman penjara 6 bulan kerana menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu dan milik orang lain sebagai pengenalan diri masing-masing.

2. Mengikut kertas pertuduhan, seramai 10 orang didakwa atas kesalahan memiliki kad pengenalan orang lain dan menggunakannya sebagai kad pengenalan untuk diri sendiri manakala selebihnya dituduh menggunakan kad pengenalan palsu yang mungkin diperolehi atau dibeli daripada sindiket atau individu yang tidak bertanggungjawab.

3. Apa yang lebih menyedihkan ialah kesemua kad pengenalan terbabit menggunakan alamat negeri SABAH.

4. Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan seperti berikut:

"(1) Any person who-

       ...........
       (e) without lawful authority or reasonable excuse obtains more than one identity card or makes use of a forged identity card or an identity card other than his own or possesses any false identity document issued under these Regulation or any other identity document which is not in his name ;

       ............
shall be guilty of an offence against these Regulations and shall be liable on conviction to imprisonment for a term not exceeding three years or to a minimum fine of RM3000 and a maximum fine of RM20,000."

5. Semasa menjatuhkan hukuman, tentunya Yang Arif Majistret-Majistret yang mendengar kes ini telah mengambil kira faktor-faktor peringanan dan pemberatan hukuman serta prinsip-prinsip semasa menjatuhkan hukuman. Apa yang penting, tentunya faktor utama yang diambil kira ialah kepentingan awam.

6. Iktibar perlu diambil bilamana seorang warga Indonesia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dengan menggunakan MyKad palsu dan seterusnya telah menembak mati seorang pegawai sebuah bank yang tidak berdosa di Subang Jaya, Selangor pada 23 Oktober 2013 yang lalu. Selepas lebih kurang 19 hari melarikan diri, suspek tersebut akhirnya berjaya ditangkap dan kini dalam tahanan reman pihak polis untuk melengkapkan siasatan. Pastinya, kad pengenalan palsu yang dimilikinya mempunyai alamat di daerah Tawau, SABAH.

7. Dengan kejadian menyayat hati itu, kini anggota keselamatan kita lebih peka dan seolah-olah 'sudah terhantuk baru terngadah' dengan menggiatkan operasi memeriksa identiti pengawal-pengawal keselamatan di negara ini. Itulah yang terjadi ke atas 20 orang warga Indonesia yang telah dijatuhkan hukuman ini.

8. Persoalannya, adakah hukuman penjara 6 bulan itu setimpal dan memadai dengan kesalahan yang mereka semua ini lakukan? Jika ditanya pada aku, jujurnya aku akan jawab TIDAK.

9. Semua warganegara Malaysia seharusnya tahu bahawa MyKad sebenarnya adalah nyawa kedua mereka. Tanpa kad pengenalan ini, sungguhpun kita memiliki sijil kelahiran, kita sebenarnya tidak boleh dianggap sebagai seorang warganegara. Ini kerana sijil kelahiran juga dikeluarkan kepada bukan warganegara, iaitu sesiapa jua yang lahir di negara ini dan mendaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara, pastinya dia akan dikeluarkan dengan satu sijil kelahiran Malaysia. Namun, ia bukanlah secara automatik bahawa seseorang itu telah menjadi warganegara ini, terutamanya apabila ibubapa seseorang itu dengan jelas atau ragu bukan seorang warganegara Malaysia. Akan ada proses lain selepas itu mengikut peraturan-peraturan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara yang berkaitan.

10. Berbalik kepada kes ini, sebenarnya ia menimbulkan banyak masalah. Pertama, mereka yang menggunakan kad pengenalan palsu sebenarnya boleh mengganggu gugat dan satu ancaman kepada keselamatan negara. Apatah lagi mereka yang banyak menggunakan identiti palsu ini sebenarnya sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Adakah dengan itu keselamatan kita akan terjamin walhal fakta yang sebenarnya mereka yang diamanahkan menjaga keselamatan sebenarnya adalah seorang penipu yang menipu identitinya sendiri?

11. Kedua, ia juga satu kesusahan dan kemudaratan kepada pemilik asal identiti itu sendiri. Bayangkan apabila dengan tiba-tiba kita memperolehi saman atas kesalahan yang kita tidak pernah lakukan, tentunya kita berasa hairan, bukan. Itulah natijah yang harus kita terima apabila identiti kita digunakan secara tidak sah oleh orang yang tidak bertanggungjawab, seperti yang dilakukan oleh 10 orang yang dijatuhi hukuman penjara ini. Dan tentunya kita harapkan mereka akan dihukum dengan lebih dahsyat lagi kerana telah menyusahkan hidup kita. Betul, kan?

12. Ketiga, kejadian seumpama ini sedikit sebanyak telah menjejaskan nama baik negeri SABAH sendiri. Tempiasnya tentulah kepada rakyat asal negeri ini. Stigma dan tohmahan pastinya akan lebih menebal dikalangan warga Malaysia di Semenanjung. Pastinya selepas ini apabila kita berjalan-jalan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dan ada orang bertanyakan kita berasal dari mana, dan apabila kita katakan berasal dari SABAH, pasti mereka akan pandang kita dengan pandangan yang sinis dan meragukan. Malah, lebih teruk lagi kemungkinan warga Semenanjung tidak mahu berurus niaga dengan rakyat SABAH kerana mereka ragu-ragu dan kurang mempercayai bahawa kita ini sebenarnya juga adalah rakyat Malaysia yang sebenar.

13. Inilah natijah yang dibawa oleh mereka yang tamak dan tidak bertanggungjawab sehingga menggadai maruah negara kita, khususnya negeri SABAH. Mereka telah menconteng arang terhadap rakyat SABAH. Dan satu tindakan yang intensif dan komprehensif perlu diambil terutamanya oleh pihak kerajaan agar perkara ini dapat dibendung dengan lebih berkesan. Takut nanti ia akan menjadi barah yang akhirnya tidak dapat dikawal lagi.

14. Berbalik kepada hukuman penjara 6 bulan tadi. Aku katakan ia tidak setimpal kerana sebenarnya dalam tempoh 4 bulan sahaja pastinya banduan-banduan ini akan keluar dari penjara dan selepas itu mereka akan diusir balik ke negara asal. Dan aku pasti mereka tidak akan insaf atau menyesali perbuatan mereka kerana hidup dalam penjara kita sebenarnya agak selesa juga. Sebab itu ramai yang tidak khuatir untuk keluar masuk penjara ini.

15. Menteri bertanggungjawab dengan kerjasama pihak Peguam Negara perlu menggubal Peraturan 25 ini dengan menyediakan hukuman yang lebih berat kerana kesalahan ini sebenarnya amat-amat serius! Lihat pada seksyen 415 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan menyamar dan hukuman yang disediakan ialah penjara boleh sampai 5 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali di bawah seksyen 417 Kanun yang sama. Ini melibatkan kesalahan yang hampir sama namun skop hukuman yang disediakan di bawah Kanun Keseksaan agak lebih luas berbanding di bawah Peraturan 25.

16. Sepatutnya naikkan lagi hukuman penjara Peraturan 25 berkenaan, sekurang-kurangnya minima satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sediakan juga hukuman sebat! Ini bukan kesalahan saman trafik. Ini membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara kita! Mereka ini juga satu ancaman subversif, malah mungkin juga espionage dan ini harus kita elakkan dalam apa cara sekalipun.

17. Dan hukuman yang dijatuhkan wajar menjadi satu peringatan dan pengajaran kepada tertuduh serta seluruh rakyat di dunia ini yang melakukan kesalahan yang sama di negara kita. Kedaulatan negara kita harus dipertahankan dan asasnya ialah penyalahgunaan identiti warga asal negara ini harus dihentikan melalui hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah-penjenayah ini.

18. Jikalau aku yang diberi peluang mendengar kes ini, aku akan jatuhkan hukuman sebegini: (a) Penjara 12 hingga 18 bulan (iaitu separuh dari hukuman maksimum 3 tahun) dan denda RM5,000 gagal bayar dikehendaki lagi duduk dalam penjara selama 6 bulan.

19. Mengapa? Kerana hukuman penjara wajar lebih lama kerana mereka sebenarnya tidak akan duduk dalam penjara untuk tempoh sedemikian on the dot. 12 bulan penjara sebenarnya mereka hanya menghabiskan masa di penjara sekurang-kurangnya 10 bulan sahaja kerana terdapat pengiraan tertentu yang hanya diketahui oleh warga Jabatan Penjara Malaysia.

20. Hukuman denda pula bersifat serampang 2 mata. Pertama, jika mereka dapat menyelesaikannya, maka mereka tidak akan menjalani hukuman penjara tambahan akibat gagal membayar denda tersebut, dan seterusnya wang bayaran denda ini akan menjadi hasil kutipan negara. Maka, ia juga satu penjimatan kepada kita, apatah lagi selepas ini kita kena membelanjakan wang pembayar cukai untuk mengusir mereka pulang ke negara asal. Kedua, jikalau mereka gagal membayarnya sekalipun, hukuman penjara tetap menanti mereka kerana gagal membayarnya.

21. Adalah tidak menjadi satu kesalahan juga jika mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM20,000 tersebut. Ia lebih baik sekiranya mereka semua ini dapat membayar atau menyelesaikannya. Jika gagal sekalipun, mereka masih bertanggungan untuk dipenjara!

22. Apa sekalipun, diharapkan perkara atau kesalahan seperti ini dapat dihapuskan dan seterusnya mengembalikan nama baik negeri SABAH di mata warga Malaysia yang lain. Pihak berkuasa mesti meneruskan usaha dalam membanteras jenayah serius ini, bukan hanya retorik semata iaitu apabila suatu kejadian menyayat hati berlaku, barulah kita terhegeh-hegeh mengambil tindakan. Kekadang, tindakan itu sudah terlewat kerana 'damage has been done'. Dalam hal ini, Allahyarhamah Norazita tidak akan dapat dikembalikan semula kepada keluarganya hanya kerana seorang penjenayah yang tamak haloba, dan juga atas kecuaian syarikat pengawal keselamatan yang mengambilnya bekerja sebelum ini tanpa menyemak dengan lebih telus akan identiti penjenayah tersebut.

23. Baca kupasan dan pembongkaran isu ini dengan lebih mendalam lagi dalam blog Mazidul Akmal. Klik di SINI, di SINI dan di SINI.

24. Untuk kesekian kalinya, kepada Allahyarhamah Norazita, mari kita sedekahkan AL-FATIHAH.

p/s: Kerajaan Indonesia kenapa senyap membisu seribu bahasa dengan jenayah serius ini yang dilakukan oleh warganegaranya? Apabila ada 'amah' atau 'tukang gaji' mereka didera atau penjenayah warga mereka ditembak, mereka akan menyalak ke sana sini malah membakar bendera Jalur Gemilang kita, tetapi apabila warga mereka melakukan jenayah sebegini, semuanya jadi mayat hidup!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN