60 ORANG BANKRAP SETIAP HARI DI MALAYSIA?
Sumber gambar di SINI |
1. Pada 31 Oktober 2013 yang lepas, Bernama melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Puan Nancy Shukri menyatakan seramai 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 34.31%.
2. Bila melihat angka-angka ini, ia adalah sesuatu yang menggerunkan juga apabila rakyat Malaysia sebenarnya tidak pandai menguruskan kewangan atau menguruskan hutang piutang.
3. Dilaporkan juga bahawa sehingga September 2013, seramai 16,306 orang telah diisytiharkan bankrap untuk tahun ini sahaja. Jumlah dari tahun 2007 sehingga September 2013 telah mencatatkan seramai 116,488 diisytiharkan bankrap.
4. Dalam tempoh masa 2007 hingga 2013 itu, kaum Melayu dan Cina merupakan kumpulan terbesar menjadi bankrap iaitu masing-masing 45.10% atau 52,535 orang dan 32.97% atau 38,407 orang. Kaum India pula mencatatkan 12.63% atau 14,710 orang manakala lain-lain kaum sebanyak 9.30% atau 10,836 orang.
5. Apakah sebab mereka ini diisytiharkan bankrap? Penyumbang terbesar adalah hutang sewa beli kenderaan iaitu sebanyak 30,451 kes (26.14%), diikuti dengan pinjaman perumahan sebanyak 20,529 kes (17.62%), pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50%) dan pinjaman perniagaan 14,431 kes (12.39%).
6. Nampaknya mitos berkenaan hutang kad kredit menjadi penyumbang terbesar kepada statistik kebankrapan adalah tidak benar kerana sebanyak 4,875 kes sahaja atau 4.18% dicatatkan bagi tempoh 2007 hingga September 2013 tersebut. Berita selanjutnya boleh dibaca di SINI.
7. Sebenarnya, ramai yang beranggapan bahawa kebankrapan ini adalah sesuatu yang menyusahkan, memudaratkan dan memalukan. Tanggapan umum juga menyatakan bahawa apabila seseorang itu bankrap, maka orang itu akan kehilangan segala harta yang dimiliki kecuali baju yang dipakainya. Sehingga ada yang menganggap bankrap ini adalah satu undang-undang yang 'draconian' dan lapuk serta tidak lagi relevan pada masa sekarang.Taboo ini sewajarnya tidak benar dan seharusnya dikikis oleh masyarakat kita.
8. Memanglah bankrap itu menyusahkan kerana seseorang tidak boleh keluar negara jika diisytiharkan bankrap. Nama mereka akan dimasukkan dalam senarai hitam atau orang yang tidak dibenarkan keluar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Mereka yang diisytiharkan bankrap juga tidak boleh mendapatkan pinjaman bank sehingga mereka dilepaskan dari status kebankrapan itu.
9. Fakta yang sebenarnya ialah status bankrap ini adalah satu pelindung kepada seseorang. Bayangkan jikalau kita berhutang dan tiada perlindungan sebegini, ke mana pihak-pihak pemiutang hendak mengadu? Adakah kita mahu diganggu oleh para pemiutang sepertimana yang diamalkan oleh peminjam-peminjam wang tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai 'along'?
10. Jabatan Insolvensi Malaysia atau MdI yang bertanggungjawab sebagai pengantara antara bankrap dan pemiutang adalah pelindung kepada kedua-dua pihak. Mereka melindungi hak si bankrap dengan mengurus dan menstruktur semula hutang tanpa menjejaskan hak dan kepentingan si pemiutang. Senang, bukan?
11. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain, konsep kebankrapan ini diamalkan dengan sistematik atau sepenuhnya dan adalah sesuatu yang tidak janggal apabila seseorang memfailkan petisyen kebankrapan untuk diri sendiri. Ini terjadi apabila seseorang itu merasakan dia tidak mampu lagi untuk menguruskan hutang yang ada dan ingin menstruktur semula hutang tanpa menjejaskan pihak pemiutang.
12. Di Malaysia, kita mempunyai satu agensi yang dikenali sebagai AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia yang boleh membantu seseorang yang berada pada tahap keberhutangan yang mungkin agak berat dan memerlukan bantuan dalam menstruktur semula hutang. Setakat ini, ramai yang berjaya dengan bantuan agensi ini, walaupun tidak kurang juga ramai yang mengeluh dengan jadual serta perkhidmatan yang disediakan agak terhad kerana jumlah orang yang mendapatkan perkhidmatan agensi ini sebenarnya adalah agak ramai.
13. Apa yang penting dalam perkara ini ialah tahap kesedaran dikalangan rakyat Malaysia wajar ditingkatkan dan kerajaan sepatutnya menyediakan lebih banyak program bukan sahaja dalam bentuk kesedaran, namun dalam hal membabitkan pengurusan kewangan dan hutang itu sendiri. Selain itu, kawalan lebih ketat wajar dilaksanakan terhadap proses permohonan semua jenis pinjaman termasuk kad kredit agar tiada pihak yang menjadi mangsa.
14. Tahukah anda bahawa status kebankrapan juga mempunyai keistimewaan? Tidak percaya? Klik di SINI.
Ulasan
Catat Ulasan