MAHKAMAH KORONER SIRI 2

Assalamualaikum,

Ada dikalangan pembaca yang bertanyakan soalan ini di ruangan komen:

"Boleh tuan/ puan menerang peruntukan undang2 mengenai penubuhan mahkamah koroner?
Terima kasih"

Soalan yang baik dan perlukan satu posting untuk menjelaskannya.

Siri 1 saya telah bincang secara terlalu santai pada tahun 2013 dahulu. Anda boleh layari blog ini untuk membacanya.

Menurut Kamus Dewan Bahasa versi atas talian, "koroner" bermaksud "(koronér) pegawai awam yang menyiasat kes kematian mengejut (secara luar biasa) yang puncanya disyaki ada kaitan dengan kes jenayah. (Kamus Dewan Edisi Keempat)".

 

Mahkamah Koroner sebenarnya wujud dari punca kuasa Bahagian VIII Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) [disingkatkan selepas ini sebagai "KPJ"] bertajuk "PROSIDING KHAS" di bawah Bab XXXII bertajuk "SIASATAN KEMATIAN".

Bab 32 ini mempunyai 15 Seksyen, bermula dari Seksyen 328 sehingga 341A.

Di dalam KPJ, ia sebenarnya tidak menyatakan secara khusus tentang 'Mahkamah Koroner'. Ia hanya menjelaskan tentang bidangkuasa seorang Majistret melalui punca kuasa Seksyen 335 KPJ yang menjalankan siasatan mengenai kematian seseorang seperti dinyatakan di bawah Seksyen 337 KPJ.

Kesemua 15 seksyen ini menyatakan tatacara dan prosedur bermula daripada pihak polis menerima maklumat tentang kematian seseorang itu sehingga ia dilaporkan kepada mahkamah dan sehinggalah prosiding siasatan kematian yang dikenali sebagai 'inquest' dijalankan berdasarkan terma rujukan yang telah ditetapkan iaitu Koroner akan 'menyelidiki bila, di mana, bagaimana dan apa caranya si mati itu menemui ajalnya dan juga sama ada mana-mana orang ada terlibat secara jenayah di dalam sebab-sebab kematian itu.'

Siasatan kematian ini dijalankan oleh seorang Majistret sehingga tahun 2014 sahaja.

Ini kerana, mulai 15 April 2014, satu Mahkamah khas yang dikenali sebagai "Mahkamah Khas Koroner" telah ditubuhkan berdasarkan kepada Arahan Amalan Bil 2 Tahun 2014 bertarikh 8 April 2014 yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia atas arahan YAA Ketua Hakim Negara.

Teks penuh Arahan Amalan ini boleh didapati di SINI
 

Mahkamah Khas Koroner ditubuhkan di semua ibu negeri di Malaysia dan dikendalikan oleh seorang Hakim Mahkamah Sesyen dan bukan lagi oleh Majistret. Dan Mahkamah Khas ini akan mengendalikan semua hal berkaitan, bermula dari penerimaan dan penelitian Laporan Mati Mengejut (LMM) dari pihak polis sehinggalah kepada prosiding 'inquest' dijalankan.

Sungguhpun begitu, Arahan Amalan Bil 2 Tahun 2014 di atas telah dibatalkan dengan satu arahan baharu yang telah dikeluarkan oleh YAA Ketua Hakim Negara melalui Arahan Amalan Bil 2 Tahun 2019 yang mula berkuatkuasa mulai 8 Mac 2019.

Arahan Amalan baharu ini masih mengekalkan bidangkuasa Mahkamah Koroner iaitu dikendalikan oleh seorang Hakim Mahkamah Sesyen juga.

 

Teks penuh Arahan Amalan ini boleh didapati di SINI

Secara ringkasnya, walaupun 'inquest' ini dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, namun prosiding yang dijalankan bukanlah suatu perbicaraan sama ada sivil atau jenayah, kerana tiada sesiapa yang dituduh atau didakwa di Mahkamah, melainkan ia adalah sebuah 'inquiry' yang dijalankan oleh Hakim itu berdasarkan kepada terma rujukan seperti disebutkan di atas sahaja.

Kalau dalam prosiding Mahkamah biasa ia bersifat 'adversarial' iaitu pihak-pihak yang memainkan peranan yang lebih dalam pengendalian kes di Mahkamah atau bahasa mudahnya 'pihak-pihak yang banyak bercakap dan Hakim lebih banyak mendengar sebelum membuat keputusan akhir', namun dalam hal 'inquest' ini ia bersifat inquisitorial iaitu Hakim berperanan sebagai seorang 'penyiasat' dan lebih aktif dalam pengendalian 'inquiry' ini sebelum membuat dapatan atau 'verdict' dalam siasatannya itu.

Walaupun terdapat seorang Timbalan Pendakwaraya atau Pegawai Pendakwa yang hadir di Mahkamah, mereka hanya dikenali sebagai "Pegawai Pengendali" yang akan membantu dalam memastikan semua proses 'inquest' itu dalam keadaan teratur, terutama dalam pengurusan saksi [dikenali sebagai "deponen"] yang hadir memberikan keterangan di Mahkamah Khas Koroner.

Akhir sekali, walau apapun peruntukan KPJ, bagi negeri Sabah dan Sarawak pula hendaklah menggunapakai peruntukan spesifik berkenaan 'inquest' iaitu Inquest Ordinance negeri masing-masing, walaupun sebenarnya peruntukan Ordinance itu adalah 'in pari materia' atau lebih kurang sama saja susunan dan ayat undang-undangnya dengan apa yang terkandung di dalam KPJ.

Harap penjelasan ini membantu.

Wassalam.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH