SELAMAT TINGGAL TAHUN 2020
Assalamualaikum,
Teringat masa sekolah zaman 90-an dulu lagu Wawasan 2020 selalu dinyanyikan semasa perhimpunan pagi atau perhimpunan mingguan. Pada masa itu selalu berangan-angan kehidupan tahun 2020 ialah kehidupan yang sangat maju dan advance.
Hinggakan poster kereta terbang dengan bangunan pencakar langit selalu dilukiskan bagi menggambarkan keadaan hidup tahun 2020 nanti.
Sumber gambar di SINI |
Akhirnya, kita yang masih dilanjutkan usia ini telah sampai ke tahun 2020. Manusia yang mengilhamkan Wawasan ini juga masih dilanjutkan usia oleh ALLAH SWT sehingga saat ini.
Tahun yang sepatutnya kita mengecapi kemajuan dalam kehidupan rupanya terjejas teruk dengan penularan pandemik wabak Corona Virus atau kita sudah kenal sebagai COVID19.
Kehidupan kita sememangnya berubah secara drastik ke arah satu normal baharu, namun dalam keadaan yang agak negatif.
Pandemik ini telah menjejaskan berjuta umat manusia di seluruh dunia dari segi ekonomi dan sosial.
Bagi kita di Malaysia, tarikh 18 Mac 2020 pasti akan menjadi kenangan di mana ia adalah hari pertama kita melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dikuatkuasakan. Pada masa itu kehidupan terasa bagai di alam peperangan dengan pergerakan sangat terbatas disebabkan kawalan oleh pihak berkuasa terutama Angkatan Tentera dan Polis DiRaja Malaysia. Keluar rumah pun hanya untuk membeli makanan dan barang keperluan sahaja dan hanya beberapa kedai sahaja yang dibenarkan beroperasi pada masa itu.
Dari segi perundangan, terdapat beratus orang yang ditangkap dan didakwa di Mahkamah kerana ingkar PKP. Saya juga antara yang menyaksikan sendiri prosiding Mahkamah dijalankan sepanjang musim PKP ini. Prosiding Mahkamah sangat jauh berbeza dengan apa yang pernah kita lalui, seperti Hakim dan semua pihak-pihak memakai pelitup muka, kehadiran dan masa di Mahkamah dihadkan, malah Mahkamah juga sebenarnya ditutup melainkan hanya untuk mendengar kes pendaftaran baharu sahaja.
Bayangkan orang-orang kena tuduh yang ditahan di penjara kerana gagal mengemukakan jaminan, mereka terpaksa meringkuk lebih lama dari yang sepatutnya kerana kes Mahkamah tidak dapat dijalankan. Apatah lagi beberapa penjara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana berlaku jangkitan kerana penjarakan fizikal yang amat-amat mustahil dilakukan kerana semua orang tahu bahawa penjara kita telah melebihi kapasiti sepatutnya.
Di sisi lain pula akibat pandemik ini, ramai orang kehilangan pekerjaan, aktiviti ekonomi terbatas sehingga pertumbuhan menguncup, industri menjadi lumpuh seperti penerbangan, sukan dan sebagainya, kehidupan sosial juga berubah sehingga kebanyakan aktiviti hatta bidang pendidikan juga semuanya dijalankan secara atas talian disebabkan sekolah dan universiti ditutup dan lain-lain lagi.
Walaupun begitu, dengan kehadiran pandemik ini dan perintah berkurung atau 'lock down' yang dikenakan samada di negara ini atau negara lain di dunia juga sedikit sebanyak membawa kebaikan.
Antaranya ialah masa yang ada dapat diluangkan bersama keluarga tersayang, sungguhpun tidak dinafikan bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini terdapat peningkatan kes perceraian, bunuh diri dan juga kes jenayah lain.
Selain itu, manusia juga semakin berdisiplin dan mematuhi norma baharu sungguhpun masih terdapat segelintir manusia seperti anti-masker yang enggan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan rantaian jangkitan COVID19 dapat diputuskan.
Apa yang paling penting sekali ialah akibat pandemik ini kita sepatutnya dan sewajarnya lebih mendekati diri kepada ALLAH. Dengan masa yang banyak diluangkan akibat aktiviti dunia yang telah dikurangkan, sepatutnya tiada alasan untuk kita tidak meningkatkan amal ibadah kita. Begitu juga dengan mengingati orang yang lebih susah dan membantu mereka sedaya mampu kita, terutama sekali ahli keluarga terdekat yang mungkin dalam kesusahan, perlulah diutamakan sebelum membantu orang lain pula.
Sesungguhnya tahun 2020 adalah satu tahun yang pelik, amat mencabar dan akan dikenang sepanjang zaman sebagai tahun "pandemik" dan tahun "norma baharu".
Semoga kehidupan kita akan lebih baik di tahun hadapan dan wabak ini akan lenyap dari dunia ini selama-lamanya.
Selamat tinggal 2020! Selamat datang 2021!
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan