PROSIDING GARNISI

Assalamualaikum,
 
Ringkas saja.

Hari ini kita akan berbicara mengenai salah satu 'senjata' dalam menguatkuasakan penghakiman kes sivil di Malaysia.

Pernahkah anda mengalami situasi dimana anda telah memenangi satu kes sivil di Mahkamah, tetapi defendan gagal untuk membayar hutang penghakiman yang anda telah perolehi?

Terdapat pelbagai cara untuk menguatkuasakan penghakiman, seperti kebankrapan, writ sita dan jual, dan lain-lain. Selain itu, terdapat satu lagi kaedah yang kita akan bincangkan hari ini iaitu prosiding garnisi.

Kata asalnya dalam bahasa Inggeris ialah 'garnishee proceeding'. Entah mengapa bila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ia dipanggil garnisi pula.

Prosiding garnisi ini secara bahasa mudahnya ialah membekukan akaun seseorang defendan. 

Sebenarnya, dari segi perundangan, "garnishee" bermaksud seseorang yang bukan penghutang penghakiman dan berada di dalam bidangkuasa Mahkamah itu boleh diperintahkan untuk membayar kepada pemiutang penghakiman apa jua wang yang ada dalam simpanannya bagi pihak penghutang penghakiman.

Ringkasnya, kita boleh mohon kepada Mahkamah untuk bekukan akaun defendan dan mengarahkan pihak bank untuk membayar wang yang ada dalam akaun itu kepada kita bagi menyelesaikan hutang penghakiman.

Menarik, kan?

Prosiding garnisi ini diperuntukkan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ("KKM2012") iaitu di bawah Aturan 49.

 

Seandainya anda mengetahui bahawa defendan mempunyai akaun dengan sesuatu institusi perbankan, maka bolehlah memohon kepada Mahkamah untuk memerintahkan pihak institusi itu untuk membayar wang yang ada di dalam akaun defendan itu kepada anda sebagai penyelesaian kepada hutang itu, tanpa mengira samada jumlah wang itu mencukupi untuk menghabiskan jumlah hutang penghakiman atau tidak.

Pun begitu, permohonan bagi perintah ini hendaklah dibuat secara sebelah pihak (ex parté) dan disokong dengan afidavit menggunakan Borang 98 KKM2012. Selepas pemfailan, ia hendaklah diserahkan kepada garnisi dan, melainkan diarahkan sebaliknya oleh Mahkamah, kepada penghutang penghakiman.

Oleh kerana proses prosiding garnisi ini bersifat teknikal dan memerlukan sedikit kepakaran, adalah dinasihatkan untuk anda menggunakan khidmat peguam sekiranya memilih untuk meneruskan prosiding ini terhadap mana-mana defendan.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH