PEGUAM: EXPECTATION vs REALITY

Assalamualaikum,

Bila sebut perkataan peguam apa yang akan anda fikirkan?

Orang kaya? Hidup mewah? Kuat tipu atau belit? Kaki sebelah masuk neraka?

Begitulah persepsi orang awam mengenai peguam.

Hari ini kita bahas sedikit mengenai peguam, ekspektasi dan realiti.

Atau orang kampung saya sebut sebagai "Lawyer: expectation vs reality".

PENAFIAN: Posting ini bukanlah untuk merendahkan mana-mana peguam atau kerjaya kepeguaman. Ia hanya perkongsian fakta atas pengalaman sendiri dan mungkin berbeza dengan rakan peguam yang lain. Posting ini tiada kena mengena dengan mana-mana orang samada yang masih hidup atau yang telah tiada.

PEGUAM

Sumber gambar di SINI
 

Ekspektasi: Hidupnya mewah, duitnya banyak.

Realiti: Separa betul. Kerana memang betul ada peguam yang hidup mewah dengan menjalankan amalan guaman. Tetapi sebenarnya hidup yang mewah itu juga dibebani hutang yang banyak. Malah, hidup yang mewah juga dikehendaki untuk membayar cukai yang banyak. Tapi hakikat sebenarnya ialah ramai lagi peguam yang 'cukup makan' sahaja, terutamanya mereka yang makan gaji dengan majikan peguam senior. Malah, peguam yang menjalankan amalan bersendirian atau dikenali sebagai 'sole proprietor' juga adalah sangat struggle untuk mendapatkan anak guam. Tidak dinafikan ada peguam yang nampak seakan mewah tetapi sebenarnya ia hanyalah semata-mata menjaga imej kepeguamannya di hadapan anak-anak guamnya. Ada juga peguam yang membuka firma butik yang nampak seakan mewah sedangkan ia hanyalah menjaga imej firma itu. Jadi, hidup mewah seorang peguam bolehlah dikatakan sebagai hanya dalam TV sahaja.

Sumber gambar di SINI

 

Ekspektasi: Peguam pandai bermain kata dan berputar belit.

Realiti: Tidak semua. Memang betul ada peguam yang pandai berhujah, tetapi tidaklah memutar belit. Ini kerana peguam mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu Mahkamah dalam mencapai keputusan, dan adalah menjadi kesalahan dan tidak beretika bagi seorang peguam untuk menipu atau memutar belit di Mahkamah. Mungkin ada seorang dua yang pandai memutar belit anak guamnya, tetapi tidak dengan Mahkamah. Ia adalah tetap satu kesalahan dan tindakan boleh diambil ke atas peguam yang memutar belit di dalam Mahkamah.


Ekspektasi: Peguam mempunyai gaji yang sangat besar.

Realiti: Tidak. Semua peguam akan bermula dari bawah, iaitu bekerja makan gaji dengan peguam senior atau pemilik firma guaman. Dan selepas mendapatkan pengalaman mengendalikan firma guaman, barulah mereka akan cuba membuka firma guaman sendiri. Dan untuk membuka firma guaman pada masa kini juga memerlukan perbelanjaan permulaan atau modal bagi membeli peralatan yang diperlukan seperti stationery, komputer yang bagus, mesin pengimbas, mesin pencetak, kemudahan internet, telefon, elektrik dan air dan sebagainya. Dan apabila membuka firma guaman tentulah memerlukan seorang atau lebih pembantu atau kerani bagi memastikan perniagaan guamannya berjalan dengan lancar setiap hari. Dan para pembantu ini juga perlu dibayar gaji. Mungkin mereka yang menjadi senior partner sebuah firma guaman yang besar akan menerima gaji dan insentif yang besar sesuai dengan pengalaman, tempoh perkhidmatan dan pencapaian mereka dalam firma itu. Jadi, untuk mengatakan peguam mempunyai gaji yang sangat besar agak kurang tepat juga, kecuali bagi mereka yang bergelar senior partner.

 

Sumber gambar di SINI


Ekspektasi: Peguam ialah penipu.

Realiti: Eh, janganlah cakap macam tu. Penipu ini di mana-mana pun ada, samada dia peguam, doktor, datuk-datuk, kontraktor, malah orang agamawan pun ada yang penipu juga. Jadi untuk mengatakan peguam ialah penipu secara stereotype adalah salah sama sekali. Ramai saja rakan peguam yang jujur di luar sana kerana mereka juga mempunyai kepercayaan dan agama sendiri yang mana tiada agama dalam dunia ini yang mengajar penganutnya untuk menipu orang lain. Kadang-kadang orang awam sendiri yang salah faham dek kerana proses dan prosedur Mahkamah yang banyak karenah birokrasinya maka dikatakan peguam itu penipu. Oleh kerana peguam sudah menjalankan tugasnya tetapi Mahkamah tidak berpihak kepada anak guam maka mulalah anak guamnya mengatakan peguam itu penipu. Tidak, tuan puan. Peguam juga macam orang lain, akan melakukan tugas dan peranannya sehabis baik dan seboleh-bolehnya memberikan apa yang dimahukan oleh anak guamnya. Tetapi pelbagai faktor perlu diambilkira jika kemahuan itu tidak tercapai dan peguam boleh jelaskan kepada anak guam dengan syarat anak guam mahu mendengar penjelasan itu.


Ekspektasi: Peguam melepaskan orang yang salah, sebab itu sebelah kakinya di neraka.

Realiti: Tidak, yang melepaskan orang salah ialah Mahkamah. Yang menuduh orang samada salah atau tidak ialah pendakwaraya. Peguam berada di Mahkamah bagi memastikan anak guamnya mendapat keadilan, mendapat perbicaraan yang adil, kata-kata dan buktinya didengar oleh Mahkamah, dan sebagai pemudah cara kepada urusan anak guamnya di Mahkamah. Peguam akan berhujah mengapa anak guamnya tidak bersalah berdasarkan kepada arahan dan cerita serta keterangan anak guamnya, dan akhirnya Mahkamahlah yang akan buat keputusan. Jadi untuk mengatakan peguam melepaskan orang yang salah adalah salah sama sekali.


Ekspektasi: Asal ada peguam, semua kes boleh menang.

Realiti: Tidak semestinya. Peguam hanya pemudah cara dan yang akan membuat keputusan samada kes menang atau kalah ialah Mahkamah. Tetapi dengan adanya peguam ia akan membantu seseorang atau anak guam dalam mendapatkan haknya dan mendapat keadilan yang sepatutnya berpandukan kepada undang-undang dan peraturan.

 

Ekspektasi: Peguam adalah kebal dari undang-undang. Diorang boleh lepaskan diri kalau berdepan dengan masalah sivil atau jenayah.

Realiti: Tidak, kawan. Ramai saja peguam yang dituduh kes pecah amanah, malah ramai juga yang disabitkan bersalah. Boleh baca di SINI, SINI dan SINI. Jadi, untuk mengatakan peguam ini kebal dari undang-undang adalah angan-angan semata-mata. Hanya kerana peguam itu tahu atau arif mengenai undang-undang tidak bererti mereka boleh melanggarnya sesuka hati. Dan sebagai tambahan, tahukah anda bahawa seorang peguam yang dituduh di Mahkamah atau disaman sivil juga memerlukan seorang peguam lain untuk membelanya di Mahkamah? Ya, itu realitinya kerana Abraham Lincoln pernah mengatakan: "He who represents himself has a fool for a client." Bermaksud, sungguhpun peguam itu pandai, tetapi jika dia mewakili diri sendiri, secara psikologinya bermakna dia akan menjadi objektif dan bukan lagi subjektif, sama taraf seperti seorang anak guam yang hanya mahukan apa yang dia mahukan tanpa memikirkan secara lebih meluas seperti apa yang peguam fikirkan dalam sesuatu kes. Sama saja umpama seorang doktor tidak akan berupaya merawat dirinya sendiri apabila ditimpa sakit atau penyakit, dia pasti akan minta doktor lain untuk merawatnya. Begitulah halnya dengan peguam juga.


Itu saja kali ini. Maaf jika ada silap dan salah.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN