PEMANSUHAN HUKUMAN MATI DI MALAYSIA: PENDAPAT
Assalamualaikum,
Kerajaan telah pun mengumumkan bahawa hukuman mati di negara ini akan dimansuhkan dan pelaksanaannya yang membabitkan seramai 1,278 orang yang kini berstatus banduan akhir telah ditangguhkan.
Dan katanya rang undang-undang bagi memansuhkan hukuman tersebut akan dibentangkan dalam sesi Sidang Dewan Rakyat bermula 15 Oktober 2018, minggu depan.
Sumber gambar di SINI yang juga mengupas mengenai pemansuhan hukuman mati di Nigeria |
Akhbar thestar online hari ini menerbitkan satu undian berkenaan pemansuhan ini dan boleh diakses di SINI.
Pendapat bakalpeguam pula simple: jika pemansuhan ini baik untuk masyarakat dan ia juga mungkin akan menyebabkan kejadian jenayah berkurangan, why not?
Tetapi jika langkah pemansuhan itu akan hanya menyebabkan kadar jenayah seperti pengedaran najis dadah, pembunuhan, perisytiharan perang ke atas DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan sebagainya tetap juga berlaku malah lebih meningkat, maka pemansuhan itu hanya akan merugikan negara kita.
Secara peribadi, pada kesalahan lain mungkin pemansuhan hukuman mati boleh diterima.
Tetapi bagi kes bunuh, ia tidak sepatutnya dimansuhkan kerana fikirkanlah perasaan keluarga mangsa yang dibunuh dengan kejam.
Apa lagi hukuman yang selayaknya dibagi ke atas seorang pembunuh yang didapati bersalah dan disabitkan oleh Mahkamah akan kesalahannya selain dari hukuman mati?
Ia tidaklah bertentangan dengan logik akal manusia sebab dalam Islam juga, hukuman qisas adalah dibenarkan.
Mungkin kerajaan boleh memikirkan agar hukuman gantung sampai mati secara mandatori ini dibuat secara pilihan samada hukuman gantung atau penjara seumur hayat, seperti yang dikuatkuasakan dalam kes pengedaran dadah bermula 15 Mac tahun ini.
Boleh baca berkenaan pindaan itu di SINI.
Dengan itu juga mungkin dapat mengelakkan seseorang yang benar-benar tidak bersalah dalam kes pembunuhan tetapi terpaksa berdepan dengan hukuman mati dengan alasan ia adalah mandatori.
Sebagai contoh, sekiranya keluarga mangsa bunuh memaafkan tertuduh, maka bolehlah digantikan hukuman itu kepada penjara seumur hayat dan biarlah tertuduh menghabiskan sisa hidupnya di penjara.
Ini kerana, sekiranya diberi peluang kepada tertuduh kes bunuh untuk keluar bebas, maka tidak mustahil kejadian pembunuhan lain pula akan berlaku (keluarga mangsa membunuh tertuduh atau tertuduh tidak pernah insaf dan melakukan kembali jenayah ini).
Maka, sebenarnya kita masih perlu kepada undang-undang ini.
Kenapa perlu ikut negara lain yang telah memansuhkannya sedangkan negara kita adalah dalam tadbiran kita sendiri. Kita yang menentukan undang-undang kita sendiri dan bukan orang lain.
Dan betullah kata pengarang ini, hapus hukuman mati tanpa abaikan prinsip keadilan.
Apa pula pendapat anda?
Ulasan
Catat Ulasan