HUKUMAN MATI BAGI MENGEDAR DADAH TIDAK LAGI MANDATORI

Assalamualaikum,

Tidak pasti samada ini berita gembira atau tidak kepada pengedar dadah dan ahli keluarga mereka.

Bermula 15 Mac 2018, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) yang sebelum ini memperuntukkan hukuman gantung sampai mati kini tidak lagi mandatori atau wajib di Malaysia.

Sumber gambar di SINI

Ini kerana Parlimen telah menggubal undang-undang ini dan memberikan pilihan kepada Hakim samada memberikan perintah hukuman gantung atau hukuman penjara dan sebatan rotan.

Peruntukan Seksyen 39B (2) ADB 1952 sebelum ini menyatakan:

"Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini dan jika disabitkan hendaklah dijatuhkan hukuman mati."

Namun, melalui peruntukan Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017, ia dinyatakan seperti berikut:

"2. Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), yang disebut "Akta ibu" dalam Akta ini, dipinda dalam Seksyen 39B - 

(a) dengan menggantikan subseksyen (2) dengan subseksyen yang berikut:

"(2) Any person who contravenes any of the provisions of subsection (1) shall be guilty of an          offence against this Act and shall be punished on conviction with death or imprisonment for life and shall, if he is not sentenced to death, be punished with whipping of not less than fifteen strokes."

Untuk teks penuh Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 ini boleh klik di SINI.

Dan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 14 Mac 2018 melalui P.U. (B) 127/2018, Menteri yang bertanggungjawab telah menetapkan tarikh berkuatkuasa Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 itu adalah mulai 15 Mac 2018.

Salinan Warta ini boleh didapati di SINI.

Dengan itu, hukuman mati bukan lagi mandatori bagi kesalahan mengedar dadah di Malaysia. Hakim kini mempunyai pilihan samada untuk menjatuhkan hukuman mati atau memberikan hukuman penjara seumur hidup.

Ok, sebelum itu, ada soalan? 'Imprisonment for life' itu adakah sepanjang hayat di dalam penjara?

Melalui peruntukan Seksyen 3 Akta Keadilan Jenayah 1953, ia menyatakan bahawa:

"Section 3. Life sentences.
Where any person is treated as having been sentenced or is hereafter sentenced to imprisonment for life, such sentence shall be deemed for all purposes to be a sentence of imprisonment for thirty years."

Ini bermaksud, apabila dinyatakan 'imprisonment for life' atau penjara seumur hidup, melainkan dinyatakan dengan jelas adalah sebaliknya, ia bermaksud seseorang itu akan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun.

Berbeza dengan hukuman di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang mana Seksyen 2 telah menyatakan dengan jelas bahawa:

"“imprisonment for life” means, notwithstanding section 3 of the Criminal Justice Act 1953 [Act 345] and any other written law to the contrary, imprisonment for the duration of the natural life of the person sentenced;"

Yang mana ini bermaksud apa-apa kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 ini maknanya penjara seumur hidup atau 'imprisonment for life' itu adalah penjara seumur hayat; bermaksud seseorang itu akan ditahan sehingga dia mati di dalam penjara dan tiada tarikh bebas.

Akhir sekali, pindaan ini adalah terpakai bagi semua kes, temasuk kes yang sedang dibicarakan di mana-mana Mahkamah Tinggi dan belum diberikan penghakiman atau keputusan lagi. Ia tidak pula terpakai bagi kes-kes yang sedang dalam peringkat rayuan atau banduan akhir yang menunggu hukuman mati mereka dijalankan.


Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN