TERSENTAP
Assalamualaikum,
Membaca berita ini yang disiarkan oleh Kosmo Online bertarikh 3 Oktober 2018, yang diulang siar seperti di bawah:
Maszlee masuk politik untuk lihat Najib jatuh
02 Oktober 2018 11:28 PM
GOMBAK - Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengakui objektif utama pembabitan beliau dalam dunia politik adalah untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, dia pada mulanya tidak mahu menjadi ahli politik namun memilih untuk berbuat demikian untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu.
"Pada awal pembabitan saya dalam politik, satu-satunya cita-cita saya adalah untuk menjatuhkan Najib," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan salah seorang peserta yang juga pensyarah antarabangsa yang mahu melihat Maszlee menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.
Terdahulu, Maszlee menyampaikan syarahan sulung pada program Presidential Talk di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Syarahan itu merupakan ucapan sulung Maszlee kepada hampir 1,000 warga UIAM selepas dilantik menjadi presiden universiti itu pada 5 September lalu.
Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun selepas mendapat perkenan Sultan Pahang yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.
Pelantikan itu bagi menggantikan tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.
Bagaimanapun, pelantikan Maszlee mendapat bantahan sebahagian kumpulan mahasiswa kerana dikatakan melanggar janji Pakatan Harapan untuk membebaskan institusi pengajian tinggi daripada pengaruh politik. - K! ONLINE
Link berita ini boleh diakses di SINI.
Tersentap jugalah baca berita ini.
Adakah cita-cita seorang pemimpin dalam menceburi arena politik untuk menjatuhkan orang lain??!
Walaupun bakalpeguam bukanlah orang politik dan kurang berminat dengan cerita politik, tetapi kenyataan ini agak menyinggung perasaan dan kurang bertanggungjawab sikit, samada dari segi moral, agama mahupun sifat peribadi.
Adalah tidak bermoral bagi seorang yang berpendidikan tinggi untuk menyertai sesuatu bidang hanyasanya (kerana YB Menteri menggunakan perkataan 'satu-satunya') untuk melihat orang lain jatuh.
Adalah tidak dilihat elok disisi agama terutamanya Islam yang melarang kita untuk menjadi pendengki dan suka melihat kejatuhan orang lain, apatah lagi bercita-cita untuk menjatuhkan orang itu. Itu namanya sifat Mazmumah.
Dan sebagai seorang YB Menteri, sepatutnya sifat sebegini tidak dihebohkan atau disebarkan. Tidak perlu mendabik dada mengatakan ia satu-satunya cita-cita untuk menceburi bidang politik.
Kepada YB Menteri, ingatlah, ALLAH itu Maha Adil.
Hari ini kita di atas, esok lusa kita di bawah.
Nabi Musa a.s. tidak pernah mendabik dada mengatakan "cita-cita saya adalah untuk menjatuhkan Firaun dan sebab itu Allah utuskan saya menjadi Rasul dan Nabi". Begitulah juga dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang lain. Mereka bukanlah diutuskan untuk menjatuhkan orang lain, tetapi untuk menyampaikan dakwah ke arah kebaikan, menuju ke jalan yang benar.
Walaupun YB tidaklah setaraf Nabi, tapi sepatutnya YB Menteri sebagai orang yang pernah juga berada di bawah dan kini berada di atas tidak perlu keluarkan ayat sebegini. Simpan saja untuk diri sendiri. Ia menyimpang dari jalan kebaikan, jalan kebenaran.
Orang tidak akan kagum dengan 'cita-cita' ini berbanding cita-cita menjadi seorang doktor, arkitek dan sebagainya.
Tidak perlulah berbangga dengan apa yang dicapai sekarang atas nama kejatuhan orang lain, sebab esok lusa kita juga akan jatuh.
Kalau tidak esok lusa kita jatuh pun, akhir sekali nanti kita akan ditanam dalam kubur juga bila kematian datang menjemput kita. Jadi, tidak perlu sombong dan bongkak dengan apa yang kita ada.
Kalau penulisan berita ini tidak betul (harapnya begitulah), mungkin YB Menteri boleh perbetulkan dengan pihak editor kemudian.
Apapun, harap kita semua ambil iktibar dan pengajaran. Apabila diberikan pangkat dan darjat ia bukan kerana cita-cita kita, usaha kita atau sebab kita ini bijak pandai. Tetapi kerana ia adalah anugerah Allah yang wajib kita syukuri dan jalankan amanah yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab sebaik-baiknya tanpa kita menyakitkan hati orang lain.
Sebagai orang penting dalam kerajaan, janganlah keluarkan kenyataan-kenyataan sebegini lagi. Ia hanya menampakkan betapa busuknya hati kita terhadap orang lain sedangkan orang yang dibenci itu belum pun disabitkan dengan apa-apa kesalahan oleh mana-mana mahkamah, berbanding beberapa kerat pemimpin yang ada di negara ini.
Oh akhir sekali, soalan paling penting: jahat sangatkah Najib tu? Boleh sesiapa tolong senaraikan kejahatannya yang sebenar?
(Maaf sebab lari topik. Sepatutnya bakalpeguam hanya post isu undang-undang saja. Tapi sebab tersentap maka post jugalah isu politik. Sekali sekala katakan).
Peace.
Ulasan
Catat Ulasan