PEMANSUHAN HUKUMAN MATI DI MALAYSIA: PENDAPAT 2
Assalamualaikum,
Laporan akhbar Daily Express di ruangan muka depan harianekspres bertarikh 17 Oktober 2018 dipaparkan laporan berikut:
Menteri kata hukuman mati bukanlah pencegahan yang berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah.
Dengan hormatnya saya mohon mencelah dan mengatakan tidak bersetuju dengan kata-kata menteri ini atas sebab berikut:
1. Pencegahan jenayah bukanlah satu-satunya prinsip dalam menjatuhkan hukuman. Terdapat alasan lain seperti pembalasan (retribution), rehabilitation (pemulihan), deterrence (pencegahan), incapacitation (penidakupayaan) dan restoration (pembaikan atau pemulihan) dan lain-lain lagi. Hukuman mati hanya satu pilihan atau option hukuman yang ada selain daripada hukuman lain yang diperuntukkan oleh undang-undang seperti hukuman penjara, denda, sebatan rotan, perintah kehadiran wajib, khidmat sosial dan sebagainya, kecuali bagi kes yang membawa hukuman mati mandatori seperti membunuh.
2. Walau apapun hukuman yang ditetapkan oleh kerajaan atau mahkamah, kadar jenayah akan tetap fluctuate atau turun naik atas pelbagai faktor seperti ekonomi (ratio selalunya ekonomi turun jenayah naik), masalah sosial, kekurangan ilmu pendidikan, kesusahan atau kesempitan hidup akibat dibuang kerja dan sebagainya. Sedang adanya hukuman mati ini sekalipun kadar jenayah juga tidak turun, maka apatah lagi kalau ia dimansuhkan. Adakah kerajaan boleh berikan jaminan bahawa kadar jenayah akan menurun jika hukuman mati dihapuskan?
3. Merujuk secara spesifik kepada kenyataan menteri yang mana beliau mengatakan: "Di Malaysia, terdapat kes di mana orang yang dituduh disabitkan dengan kesalahan bunuh berdasarkan keterangan palsu yang diberikan saksi utama. Walaupun sabitan terhadap tertuduh diketepikan kerana keterangan palsu tersebut, kes ini menunjukkan orang yang tidak bersalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati." Hmm... kenyataan ini agak janggal sebenarnya kerana: (1) menteri tidak pula menyatakan apakah kes itu atau sekurang-kurangnya berilah nama kes untuk dirujuk dalam jurnal undang-undang; (2) adakah kenyataan menteri itu merujuk kepada penyalahgunaan atau abuse of the punishment atau salah arah atau error pihak hakim yang memutuskan kes tersebut; (3) dan sungguhpun yang nyata dalam kes tidak disebutkan itu sebenarnya adalah salah arah hakim bicara, tetapi akhirnya sabitan tertuduh diketepikan dan haruslah hukuman juga diketepikan, jadi ia bukanlah hal hukuman mati itu tetapi adalah salah arah hakim sahaja yang mana ia masih boleh diperbetulkan dalam 3 peringkat lagi iaitu rayuan di Mahkamah Rayuan, rayuan di Mahkamah Persekutuan dan seterusnya rayuan di peringkat Lembaga Pengampunan.
4. Dan diulang sekali lagi, adakah menteri atau kerajaan boleh berikan jaminan bahawa kadar jenayah di negara ini akan menurun, terutamanya kes bunuh dan mengedar dadah apabila hukuman mati ini dihapuskan?
5. Dan adakah fungsi dan fasiliti Jabatan Penjara Malaysia akan diperkemas dan dipertingkatkan lagi sesuai dengan pemansuhan ini bagi menampung para penjenayah kes-kes berat ini untuk 'menyimpan' mereka selama sekurang-kurangnya 20 hingga 30 tahun?
6. Kalau mengikut perkiraan kos juga, rasanya hukuman mati lebih 'mengurangkan' beban kerajaan (sebut: duit rakyat) dalam konteks perbelanjaan pihak Penjara untuk 'menyara' para banduan ini berbanding dengan pelaksanaan hukuman mati. Walaupun ia nampak kejam atau kata-kata ini agak keterlaluan apabila hukuman mati dibandingkan dengan kadar ekonomi, namun ia juga salah satu faktor yang boleh diambil kira kerana apa jua hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah, hatta hukuman penjara sekalipun, ia tetap membawa implikasi kewangan kepada kerajaan (sebut: duit rakyat).
Apapun keputusannya, harapnya kerajaan mengambil langkah yang betul saja dalam pemansuhan hukuman ini sekiranya ia benar-benar berlaku dalam masa terdekat.
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan