MARSHAL KONVOI TIDAK BOLEH MENGHALANG LALULINTAS

Assalamualaikum,

Berita dipetik dari suratkhabar Daily Express hari ini (25.9.2018)


Sesiapa yang biasa memandu ada kalanya akan berdepan dengan situasi diberhentikan atau dilencongkan oleh 'marshal' tidak bertauliah ini. Hatta orang konvoi kahwin pun kadang-kadang mereka upah marshal bermotorsikal untuk mengiringi 'VIP sehari' ini.

Seperti dinyatakan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), perkhidmatan marshal ini perlulah diiringi oleh pihak polis trafik sendiri. Marshal tidak bertauliah ini tiada kuasa di sisi undang-undang untuk menyuraikan atau melencongkan kenderaan lain semasa di atas jalanraya.

Sekiranya anda berdepan dengan situasi ini, anda bolehlah ingkar apa juga arahan marshal ini kerana ia sebenarnya menyusahkan kita sebagai pengguna. Dan seperti dinyatakan, marshal tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang.

Jika berlaku kemalangan?

Maka marshal ini perlulah bertanggungjawab sepenuhnya atas apa juga kerosakan atau kecederaan yang berlaku atas perbuatan marshal itu tadi. Selain tindakan jenayah di bawah Akta Polis 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang awam yang terkesan oleh perbuatan marshal ini juga boleh mengambil tindakan saman sivil bagi menuntut ganti rugi atas apa juga kerosakan kenderaan atau kecederaan diri akibat perbuatan marshal tersebut.

Kesimpulannya, abaikan saja marshal ini jika anda tidak nampak kehadiran Polis Trafik bersama mereka dan jika berlaku kemalangan bolehlah berhenti dan ambil maklumat marshal ini untuk dimasukkan dalam report polis dan writ saman sivil nanti. Ambil juga maklumat 'boss' yang upah marshal ini untuk dijadikan defendan bersama dalam writ saman itu nanti kerana mereka juga berkongsi beban yang sama (vicariously liable) dengan marshal yang diupah itu.

Wassalam.


Bacaan lanjut arkib berita Utusan Online bertarikh 16.5.2014 di SINI:

ARKIB : 16/05/2014

Marshal konvoi tanpa polis satu kesalahan

KUALA LUMPUR 15 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perbuatan segelintir individu yang menjadi marshal dalam konvoi kenderaan tanpa penglibatan anggota polis trafik di jalan raya ke­rana tindakan itu menyalahi undang-undang serta boleh dikenakan tindakan.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Fuad Abd. Latiff berkata, tiada undang-undang yang membenarkan marshal bertugas untuk mengawal lalu lintas di jalan raya tanpa kehadiran anggota polis trafik.
“Keperluan bantuan tugas marshal mesti dengan kehadiran rasmi polis trafik seperti dalam acara berbasikal Le Tour De Langkawi dan Jelajah Malaysia.
“Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan menjalankan tugas marshal tanpa kehadiran polis, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang me­­ngikut Seksyen 21(3) Akta Polis atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd. Fuad berkata, pengguna jalan raya tidak perlu mengikut arahan marshal sekiranya tiada penglibatan anggota polis trafik.
“Tidak salah sekiranya mereka hanya memakai pakaian bertulis marshal mengikut konvoi, tapi kesalahan berlaku apabila mereka menahan kenderaan lain bagi memberi laluan kepada kumpulan mereka," ujarnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH