JANGAN D.I.Y ISU UNDANG-UNDANG

Assalamualaikum,

Zaman serba maju ini ramai orang mahukan buat semua perkara sendirian bagi menjimatkan kos.

Walaupun tanpa ijazah sarjana muda, atau tanpa pengalaman yang ada, cukup sekadar menonton Youtube atau bertanyakan Mr Google.

Malah, kalau masalah yang dihadapi itu boleh dibeli di kedai Mr DIY, semuanya OK saja.

Sumber gambar di SINI

Tetapi, ada perkara yang tidak boleh anda DIY (do it yourself - buatlah sendiri), kerana apabila anda melakukannya tanpa ilmu yang secukupnya, maka anda sebenarnya menempah kesusahan.

Perkara-perkara seperti perubatan (walaupun ubat boleh dibeli di farmasi), pertukangan (walaupun alat boleh dibeli di kedai), undang-undang (walaupun buku boleh dibeli di kedai) memang boleh dibeli, tetapi untuk menyelesaikannya secara DIY adalah agak mustahil.

Ada sebab kenapa profesion ini perlu diselesaikan atau dibuat oleh orang yang profesional sahaja dan antara sebabnya adalah seperti berikut:

Penafian: saya hanya ulas dari sudut isu perundangan sahaja.

1. Isu perundangan adalah amat rumit dan mempunyai domino effect.

Ini kerana isu perundangan mempunyai peraturan dan prosedur yang agak ketat, apatah lagi apabila ia melibatkan proses Mahkamah. Wang dan masa adalah kunci utama isu perundangan. Memang ia dilihat agak mahal, tetapi jika anda mencari keadilan dan inginkan keadilan ditegakkan bagi pihak anda, ia adalah pelaburan yang amat berbaloi.

2. Ilmu.

Dalam Islam telah diajarkan bahawa serahkanlah amanah kepada ahlinya, iaitu orang yang berilmu. Dan salah satu cabang ilmu ialah perundangan. Untuk mendapatkan ijazah sarjana muda perundangan saja memerlukan seseorang duduk di universiti sekurang-kurangnya selama 4 tahun. Selepas mendapat ijazah, kemudian sebelum layak bergelar peguam, seseorang itu perlu pula menempuh alam 'chambering' atau latihan dalam kamar sekurang-kurangnya 9 bulan (di Semenanjung Malaysia) dan 12 bulan (di Sabah dan Sarawak). Maknanya, perjalanan mencari ilmu perundangan itu agak jauh dan perjalanan itu jauh kerana tanggungjawab yang dibawa bersamanya adalah amat besar. Setelah bergelar peguam juga perjalanan menuntut ilmu itu tetap diteruskan semasa menjalankan amalan guamannya kerana bidang perundangan adalah ilmu yang berkembang setiap hari. Setiap hari ada saja undang-undang baru, atau undang-undang sedia ada dibatalkan, atau ada pindaan dalam undang-undang. Jadi, bagi orang biasa atau orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan selok belok perundangan tetapi menghadapi masalah perundangan, adalah lebih baik dan lebih molek serahkan saja masalah itu kepada ahlinya, iaitu peguam. Ini sebenarnya lebih memudahkan berbanding kesan sampingan yang akan timbul kelak sekiranya masalah ini dibuat secara DIY saja tanpa ilmu yang sepatutnya.

3. Perlindungan.

Kerjaya profesional seperti peguam ini adalah dilindungi oleh insuran yang dinamakan sebagai Profesional Indemnity Insurance atau Insuran Pampasan Profesional (lebih kurang begitulah maksudnya). Perlindungan ini bermaksud memberikan ketenangan minda buat peguam itu sendiri malah lebih penting lagi kepada kliennya sekiranya berlaku kecuaian profesional dalam mengendalikan kes anak guamnya. Contohnya peguam itu tersalah memberikan nasihat, atau mungkin peguam mengalami kerugian akibat salahlaku kakitangannya seperti berlaku pecah amanah dan sebagainya, maka kliennya tadi akan diberikan pampasan yang sewajarnya akibat daripada kecuaian profesional itu. Perlindungan insuran ini adalah diwajibkan kepada semua firma guaman yang menjalankan amalan guaman, maka klien atau orang awam tidak perlu ragu-ragu dalam mendapatkan khidmat guaman kerana mereka juga dilindungi sekiranya perkara tidak diingini berlaku kemudian hari. Sebab itu, berbanding DIY masalah perundangan sendiri, adalah lebih baik serahkan kepada yang pakar yang dilindungi oleh insurans untuk menyelesaikan masalah itu.

4. Ramai orang kata 'bayar peguam mahal, bagus buat sendiri'.

Betul, memang bayaran khidmat guaman adalah mahal. Tetapi, kebiasaannya bayaran khidmat guaman ini boleh dibincangkan kaedah bayarannya. Ada peguam yang menerima deposit kecil sebelum menjalankan tugasnya, ada juga yang membuat kerja secara contingency iaitu bayaran upah dibuat apabila kes telah berjaya diselesaikan berdasarkan peratusan yang dipersetujui, ada juga yang menetapkan bayaran semasa bil dikeluarkan iaitu apabila kerja dibuat maka bayaran upah harus dibuat dan macam-macam lagi. Malah, jangan ingat peguam menuntut duit saja. Ada juga peguam yang membuat kerja secara percuma atau dipanggil 'pro bono' bagi kes-kes tertentu (biasanya kes jenayah) tetapi ini agak jarang kerana peguam juga mempunyai komitment lain dan perlu membayar bil-bilnya sendiri. Tetapi, apalah nilai wang itu jika kita mahukan kebebasan terjamin (bagi kes jenayah) atau untuk menuntut balik hak kita (bagi kes sivil). Lebih baik melaburkan duit untuk sesuatu yang boleh menjamin kita daripada membuat sendiri secara DIY dan akhirnya tanpa kita sedari rupanya kita telah membelanjakan lebih daripada apa yang sepatutnya kita bayar jika kita mengupah seorang peguam.

5. Hindari dari ditipu.

Ramai orang yang membuat DIY ini merujuk kepada 'pakar mi segera' atau orang yang bukan ahlinya sehingga terjadilah kes-kes penipuan dan sebagainya. Apabila berjumpa dengan peguam, walaupun tidak dinafikan ada juga peguam yang culas, namun sekurang-kurangnya dengan berjumpa dengan peguam yang bertauliah dan berlesen, risiko untuk ditipu akan jadi minima. Sekiranya peguam berlesen pun culas, sekurang-kurangnya boleh laporkan kepada pihak berwajib (kepada polis, Badan Peguam, Persatuan Peguam dan sebagainya). Kalau buat secara DIY, risikonya adalah kalah kes dan kerugian wang ringgit akibat ditipu juga adalah tinggi. Maka, berbaliklah kepada alasan kedua tadi iaitu serahkan saja amanah itu kepada ahlinya agar risiko ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab akan dapat dihindari.

Rasanya cukuplah sekadar itu. Kalau ada tambahan pun nanti saya akan update lagi.

Sekurang-kurangnya saya telah berkongsi dengan anda semua mengapa tidak boleh anda DIY masalah undang-undang anda.

Akhir sekali, doktor yang sakit pun perlu berjumpa dengan doktor yang lain untuk merawatnya, peguam yang dituduh di Mahkamah pun perlu berjumpa peguam lain untuk mewakilinya dan menasihatinya.

Mengapa?

Kerana semua masalah ini tidak boleh dibuat secara DIY.

Wassalam.

Ulasan

  1. salam, saya nk tanya . sekarang ni saya tengah buntu nk pilih course yg mana satu, saya mcm berminat nak ambil undang - undang . tapi dlm program undang2 tu kena pandai bahasa inggeris ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wsalam. Ya betul, ijazah undang-undang perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana majoriti material adalah dalam bahasa ini. Zaman sekarang amat mudah untuk kuasai bahasa Inggeris, tonton saja di youtube. Insya Allah, bulatkan hati untuk terus mengambil bidang undang-undang ini.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH