DILEMA WARGA TANPA NEGARA DI SABAH

Stateless.

Sumber di SINI

Taraf yang diberikan kepada mereka yang lahir di Sabah tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Begitulah keadaan hidup mereka. Kebanyakan hidup miskin, tinggal di kawasan setinggan, tiada pekerjaan kerana kalau keluar bekerja perlukan dokumen (sekurang-kurangnya IC merah!).

Tidak tahan dengan cabaran hidup tanpa dokumen, ramai yang menjadikan kegiatan jenayah sebagai pekerjaan atau melepaskan geram.

Ada yang ambil syabu, menjual syabu, mencuri, merompak.

Tetapi sekurang-kurangnya, kaum Palauh yang hidup meminta-minta hatta di tengah jalanraya panas terik tidak pula kedengaran melakukan kegiatan merompak ini.

Ramai juga yang tidak melakukan kegiatan jenayah tetapi akhirnya ditangkap Polis, ditangkap Imigresen. Akhirnya, dibawa dan dituduh di Mahkamah kerana 'masuk ke negeri Sabah tanpa memiliki dokumen' dan kesalahan dibawah Akta Imigresen, walhal mereka tidak masuk pun ke Sabah, tetapi mereka dilahirkan di Sabah oleh ibu mereka yang masuk ke Sabah tanpa sebarang dokumen dulu.

Adakah ini salah ibu mengandung? Atau salah anak stateless?

Yang lebih pelik, ibubapa ada dokumen tetapi anak tiada dokumen, macamana pula itu?

Macamana Jabatan Pendaftaran atau Kementerian Dalam Negeri boleh mengeluarkan dokumen bertaraf warganegara kepada ibubapa sedang anak-anak mereka tidak boleh mempunyai kad pengenalan?

Dan ada juga kes dimana ibubapa ada kad pengenalan, adik beradik ada kad pengenalan tetapi salah satu anak (mungkin yang sulung atau yang bongsu) pula tidak ada kad pengenalan? Bila diuruskan di Jabatan Pendaftaran macam-macam yang diminta pula hinggalah terjadi daftar lewat sijil kelahiran.

Bila daftar lewat, Jabatan Pendaftaran lepas tangan dengan mengatakan ini urusan Mahkamah.

Lama tunggu punya tunggu untuk dipanggil ke Mahkamah akhirnya dipanggil untuk temuduga. Bila lepas temuduga, didapati pula 'endosmen gagal'! Majistret tidak terima sebab saksi tidak tahu apa-apa walhal dokumen boleh dikatakan lengkap sudah.

Lepas itu buat rayuan ke Mahkamah Tinggi. Kena tunggu lagi bertahun-tahun. Balik-balik tebal muka datang ke kaunter Mahkamah atau buat panggilan telefon tetapi yang diberitahu 'tunggu... sabar..'

Bila dapat panggilan dari Mahkamah Tinggi disuruh datang ambil keputusan. DITOLAK!

Warga tanpa negara ini mulalah bertanya bolehkah lagi dirayu balik ini? Mahkamah cakap urusan di Mahkamah sudah selesai, urusan selanjutnya pergi ke Jabatan Pendaftaran.

Sampai ke Jabatan Pendaftaran, disuruh rujuk balik ke Mahkamah pula.

Matai.

Ke manakah mereka ini hendak pergi? Apakah hala tuju hidup mereka?

Dan paling penting.. apakah kerajaan Persekutuan dan Negeri akan lakukan bagi menyelesaikan kemelut warga tanpa negara ini yang sudah sekian kalinya tiada penyelesaian?

Hendak dijumpa YB, YB kata ini urusan Jabatan Pendaftaran. Bahkan, mereka juga bukanlah pengundi YB, jadi itu bukan urusan YB.

Hendak ke Jabatan Pendaftaran, bermacam-macam karenah birokrasi pula. Hendak sijil itu, sijil ini, surat itu, surat ini. Hatta mahu dapatkan borang saja Jabatan ini paling susah hendak berikan.

Tidak percaya, anda pergilah ke Jabatan Pendaftaran Negara di cawangan terdekat. Minta borang untuk daftar lewat sijil kelahiran, macam-macam yang diminta.

Itu baru urusan mahu daftarkan sijil lahir daftar lewat. Belum lagi urusan endosmen.

Dulu masa kerajaan lepas, ada Pendaftaran Bergerak. Itu memang bagus tetapi perkhidmatannya tidak menyeluruh. Lepas itu ada campur tangan politik menyebabkan ada yang dapat sijil lahir cepat, ada yang sudah lama menunggu tiba-tiba pula tercicir.

Syukurlah kerajaan itu sudah pun tercicir juga.

Tetapi rakyat yang masih hidup tanpa dokumen ini mahu ke mana pula? Dimanakah penyelesaian kemelut ini?

Kasihanilah warga tanpa negara ini kerana mereka sebenarnya telah lahir di Sabah, menetap di Sabah, tidak pernah keluar negara, cakap pun cakap Melayu Sabah, malah lebih Sabah dari Pakistan yang baru sampai di Sabah tetapi sudah ada IC.

Tolonglah mereka ini. Tindakan perlu diambil untuk membantu mereka kerana kebanyakan mereka ini akan mewarisi negara ini dan jika tiada dokumen pengenalan diri yang sah, apa yang boleh diberikan kepada mereka? 

Sekadar memegang sijil lahir daftar lewat tetapi umur sudah 32 tahun tetap juga ditangkap polis atau imigresen kalau jalan-jalan di pasar atau di Wisma Merdeka.

Perlu diingat, kebanyakan warga tanpa negara ini juga budak-budak pandai dan berpotensi. Agak malang dan sayang sekali kepada negeri ini jikalau mereka terus dibiarkan tanpa dokumen yang akhirnya menjadikan mereka tanpa ada arah hidup.

Kepada kerajaan Malaysia Baharu dan Sabah Baharu, bantulah mereka ini. Buatlah sesuatu untuk menghentikan kemelut ini. Orang mengundi Pakatan Harapan kerana mereka mengharap perubahan. Orang mengundi Parti Warisan sebab mereka inilah bakal perwaris negeri pada masa depan.

Jangan pula ada yang akan bercakap 'ini case to case basis, bukan semua kes genuine'. Kena tengok juga apa yang diorang ini pegang.

Ya betul, bukan semua kes genuine, tetapi adakah kerajaan telah membuat kajian berapa banyak kes genuine dan berapa banyak kes bukan genuine? Yang IC projek dulu hingga sekarang beranak pinak dapat taraf warganegara tu pula kes apa, genuine juga ka?

Masa RCI ditubuhkan oleh kerajaan dulu atas desakan kerajaan sekarang (ketika itu pembangkang), memang ada bukti mengatakan IC projek ini wujud. Namun, bila sekarang sudah jadi kerajaan, isu IC projek ini senyap seribu bahasa pula. Tiadakah kesinambungan terhadap langkah penyelesaian isu ini? Kalau tiada, makanya lebih baik jangan tukar kerajaan.

Warga tanpa negara tidak kisah mereka berhabis wang ringgit, menitiskan keringat mencari rezeki asalkan perkara pokok hidup mereka boleh diselesaikan: dokumen pengenalan diri dan taraf kerakyatan.

Biarlah IC hijau atau merah, asalkan bila jalan di bandar tidak ditangkap imigresen atau polis.

Itu saja.

Luahan warga dalam negara.

Ulasan

  1. Saya berumur 20 tahun tapi masih lagi belum mempunyai kad pengenalan diri.lahir di malaysia ,bersekolah di malaysia dan telah berada di malaysia selama 19 tahun tapi masi belum lagi memperoleh kad pengenalan .Pelbagai cara suda sya cuba tetapi masi lagi gagal.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Apakah pelbagai cara yang tuan sudah buat?

      Adakah tuan mempunyai sijil kelahiran? Jikalau ya, maka bolehlah uruskan di Jabatan Pendaftaran Negara bagi penentuan sah taraf warganegara. Selepas sah taraf warganegara, bolehlah dapatkan sijil kewarganegaraan dan mendaftarkan mykad.

      Padam
  2. Anak buah saya berumur 18 tahun, akibat maslah daftar lewat, dia masi tiada kad pengenalan. Sudah memohon pengesahan di mahkamah sejak umur 12 tahun. Smpai skrg masih belum ada jawapan. Alasan mahkamah slalunya masi banyak file blm dibaca lagi sbb lama dibekukan akibat kes sulu di lahad datu pda tahun 2012. Skrg ni xtau apa lagi nak buat. Asyik dpt alasan yg sma sahaja dri pihak mahkamah

    BalasPadam
  3. Sya seorang stateless dan tidak mempunyai apa2 dokumen. Sya sangat depress dngan hal ini kadang sya berfkir untuk bunuh diri agar tidak lgi melalui hal2 rumit seperti ini ☹️

    BalasPadam
  4. Apa yg perlu sya buat . Klau sya skit pun tiada dokumen?

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum, harap soalan ini menarik perhatian tuan. Sy seorang penjawat awam dan ingin berkahwin dgn seorang insan yg hasil perkahwinan seorsng warganegara dan bukan warganegara, hidup secara daif sehingga dokumen pengenalan diri insan ini langsung tidak diuruskan malah sijil nikah pun x wujud lg pada masa itu. Dijadikan cerita bapa pula meninggal dunia. Sijil lahir lewat yg dikeluarkan pula telah ditetapkan insan ini bukan warganegara. Bila mahu urus perkahwinan sangat2 sulit apatah lg mendapatkan paling kurang myPR. Apa cadangan pihak tuan. Terima kasih

    BalasPadam
  6. Saya nak tanya jika orang begini yang tiada dokumen tapi ditangkap kerana tiada apa2 ic dan sijil lahir bagaimana dia nak membuktikan yg dia dilahirkan disabah?dan apakah hukuman yg dijatuhkan dimakamah harap sgt dpt jwb?

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN