SALAH MAHKAMAH? MAHKAMAH SALAH?

Assalamualaikum,

Ringkas saja. Taip semasa makan tengahari ni.

Terlintas di fikiran bila bertemu dengan orang yang memarahi hatta memaki mahkamah apabila mendapati sebarang keputusan 'tidak adil, berat sebelah' dan sebagainya. Kononnya mahkamah tidak pandai dalam membuat keputusan.

Hakcipta gambar ini terpelihara
Tuan-tuan,

Sebenarnya fungsi mahkamah adalah meneliti fakta dan undang-undang berkaitan isu yang ada di hadapan mahkamah itu lalu mentafsir undang-undang berkenaan dan membuat keputusan selaras dengan undang-undang juga.

Contoh, mengedar dadah tertakluk kepada peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mahkamah adalah terikat dengan undang-undang itu.

Jika seseorang ditangkap secara red-handed sekalipun tetapi apabila undang-undang sudah menetapkan pembuktian hendaklah melampaui keraguan munasabah dan semasa perbicaraan tertuduh berjaya membangkitkan keraguan, maka mahkamah wajiblah melepas dan membebaskannya.

Adakah itu bermakna mahkamah pula yang salah? Atau salah mahkamah sebab membebaskannya?

Tidak.

Kerana mahkamah bukan pembuat undang-undang. Mahkamah hanya menafsirkan dan menggunapakai undang-undang itu ke atas kes yang ada di depannya sahaja.

Maka, kenapakah undang-undang bersifat sedemikian? Siapa yang gubal undang-undang?

Jawapannya: Parlimen.

Para YB atau wakil rakyat Parlimen yang kita pilih mewakili kita yang menggubalnya di dalam Dewan Rakyat. Apabila semua proses telah diikuti dan telah menerima perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, maka jadilah ia satu undang-undang yang sah dan terpakai, samada ianya adil atau tidak.

Jadi apabila rakyat merasakan terdapat ketidakadilan dalam perundangan kita, maka ia perlu dibawa ke mahkamah untuk pentafsiran, dan sekiranya perlu ia mesti dibawa ke Parlimen untuk dipinda atau dimansuhkan.

Kesimpulannya ialah: mahkamah bukan penggubal undang-undang, mahkamah juga tidak boleh meminda undang-undang, apatah lagi mahkamah juga tidak boleh membatalkan undang-undang.

Mahkamah cuma boleh mentafsir undang-undang dan/atau membuat perisytiharan bahawa sesuatu undang-undang itu sebagai tidak mengikut perlembagaan atau kata perundangannya 'ultra vires' maka undang-undang itu tidak sah. Itu saja.

Harap penjelasan ini akan mengurangkan sentimen 'ini salah mahkamah' atau 'mahkamah salah'.

Wassalam.


#Kemaskini:

Ambil iktibar penghakiman Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes suami isteri yang didapati bersalah membunuh tanpa niat pembantu rumah warga Kemboja.

Suaminya nama Soh Chew Tong dan isterinya bernama Chin Chui Ling. Mereka pada asalnya dituduh menyebabkan kematian ke atas pembantu rumah tersebut dan kemudian dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Kemudian Mahkamah Rayuan mengubah hukuman tersebut dengan mendapati kedua-duanya bersalah dan disabitkan kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman mati.

Akhirnya, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa sabitan terhadap kesalahan membunuh dan kesalahan menyebabkan kematian yang masing-masing di bawah Seksyen 302 dan 304(a) Kanun Keseksaan adalah tidak selamat dan bukti tidak kukuh bagi meneruskan sabitan ke atas kedua-dua kesalahan itu.

Namun, Mahkamah tertinggi di negara ini mendapati cukup bukti bagi mensabitkan kedua-duanya dengan kesalahan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Dan hukuman itulah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang bersidang bersama-sama 4 orang hakim yang lain.

Berita selanjutnya boleh klik di SINI.

Nah, akibat daripada keputusan Mahkamah Persekutuan ini, berkumandanglah suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Mereka yang menentang hukuman mati juga bersuara kononnya hukuman 10 tahun ini tidak adil kerana kedua-dua tertuduh hanya akan menjalani hukuman lebih kurang 4 tahun setengah sahaja selepas diambil kira kelakuan baik, remisi dan sebagainya.

Boleh klik di SINI dan di SINI untuk membaca keluhan mereka.

Masalahnya, Mahkamah Persekutuan tentunya telah meneliti keseluruhan rekod kes berkenaan dan tentunya telah mencapai keputusan yang adil dan saksama. Ini kerana kelima-lima hakim sebulat suara mencapai keputusan yang sama!

Mengapakah perlu lagi dipertikaikan apabila kes ini telah melalui proses dan prosedur yang betul dan hakim-hakim telah mencapai keputusan yang sepakat?

Adakah dalam hal ini 'Mahkamah Salah' atau ini juga 'Salah Mahkamah'?

Kalau Mahkamah salah maka tiada apa lagi boleh dibuat kerana Mahkamah Persekutuan ialah mahkamah terakhir bagi rayuan kes ini. Untuk menyemak kembali keputusan ini pun rasanya amat mustahil kerana ia melibatkan kes jenayah. Kalau salah Mahkamah, dimanakah kesalahannya?

Tepuk dada, tanya selera, tapi baca dulu, biar dada penuh dengan ilmu.

Dan pandangan saya, harapnya Mahkamah Persekutuan mengeluarkan alasan penghakiman penuh bagi kes ini agar menjadi iktibar bagi semua dan akhirnya kita akan tahu bagaimana Mahkamah boleh mencapai keputusan tersebut. Sebagai rakyat yang bertamadun, kita harus akur keputusan Mahkamah.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN