SIJIL LAHIR DAFTAR LEWAT DAN KEWARGANEGARAAN

Assalamualaikum,

Saya tidak pasti ini kali ke berapa saya bercakap soal atau isu sijil lahir daftar lewat di dalam blog ini. Kerana saya tahu bahawa, walaupun ianya amat sensitif, namun isu ini amat dekat di hati warga Negeri Sabah, kerana isu ini hanya berlaku di negeri di Bawah Bayu ini dan tidak di negeri lain di dalam Persekutuan Malaysia.

Ramai di kalangan rakyat negeri Sabah yang memegang sijil lahir bertaraf daftar lewat, sehingga menjadi punca wujudnya konsep Mahkamah Bergerak, yang antara lain ingin memudahkan akses kepada keadilan bagi penduduk di kawasan pedalaman bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan melalui endosmen sijil lahir daftar lewat mereka.

Sebelum berbicara lanjut, mari kita semak dahulu mengenai sijil kelahiran daftar lewat di Negeri Sabah ini.

Apakah sebenarnya daftar lewat kelahiran ini? Secara ringkasnya, sesuatu kelahiran mestilah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara dengan kadar segera atau dalam tempoh yang ditetapkan. 

Sumber gambar: Laman Web Jabatan Pendaftaran Negara
 

Sekiranya ia didaftarkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kelahiran, maka ini dikenali sebagai 'Pendaftaran Kelahiran Biasa' dan pendaftaran jenis ini tidak dikenakan apa-apa bayaran kerana ianya adalah percuma.

Bagi kelahiran yang didaftarkan selepas tempoh 14 hari dan sehingga hari ke-42 dari tarikh kelahiran anak itu berlaku, maka ia dikenali sebagai 'Pendaftaran Kelahiran Lambat'. Pendaftaran jenis ini dikenakan bayaran pemprosesan sebanyak RM5 sahaja.

Dan, bagi kelahiran yang didaftarkan selepas 42 hari (iaitu hari ke-43 hingga seterusnya), maka inilah yang dikenali sebagai 'Pendaftaran Lewat Kelahiran' atau selalu disebut sebagai 'daftar lewat'. Pendaftaran jenis ini dikenakan bayaran oleh JPN sebagai bayaran pemprosesan sebanyak RM10.

Bagi Pendaftaran Kelahiran Biasa dan Pendaftaran Kelahiran Lambat, apabila kanak-kanak mencapai usia 12 tahun, tidak akan ada masalah apabila memohon kad pengenalan atau MyKad dengan syarat pada masa itu taraf warganegaranya adalah Malaysia. Ini bermakna, dokumen sokongan paling penting semasa permohonan MyKad ini ialah sijil kelahiran kanak-kanak tersebut selain dokumentasi ibubapanya. Jikalau tarafnya bukan warganegara, maka dokumen lain akan dikeluarkan seperi MyPR (bertaraf pemastautin tetap) atau MyKAS (bertaraf pemastautin sementara). Itu sangat jelas.

Bagi kanak-kanak yang memegang sijil kelahiran berstatus Pendaftaran Lewat Kelahiran atau daftar lewat pula, terdapat satu proses yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum permohonan kad pengenalan atau MyKad dapat dikemukakan. Ini berdasarkan kepada Seksyen 22 (3) Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Negeri Sabah (Cap 123) menetapkan bahawa semua fakta yang dinyatakan di dalam sijil kelahiran tersebut telah ditentusahkan oleh Majistret Kelas Pertama sebelum sijil kelahiran itu boleh digunakan sebagai bukti 'prima facie' bagi menyokong permohonan mendapatkan MyKad tersebut.

Dengan kata lain, sebelum seseorang pemegang sijil lahir daftar lewat dapat membuat kad pengenalan, maka sijil kelahiran itu mestilah disahkan atau 'endorsed' oleh Majistret Kelas Pertama bahawa semua fakta yang dinyatakan di dalam sijil lahir itu adalah benar.

Yang menjadi masalah pada masa ini ialah proses mendapatkan endosmen itu terlalu lama. Mengapa?

Kerana Majistret Kelas Pertama tidak ramai di negeri Sabah ini. Perlu diingat bahawa Majistret Kelas Pertama ialah seorang pegawai undang-undang yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri, atas syor Hakim Besar. Dan pegawai ini mestilah mereka yang dilantik sebagai seorang pegawai Kehakiman dan Perundangan Persekutuan, bukan peringkat negeri Sabah. Ini bermakna, Majistret Kelas Pertama ini tidak ramai. Di dalam daerah Kota Kinabalu sahaja terdapat sekurang-kurangnya 5 atau 6 Majistret Kelas Pertama yang berkhidmat di Mahkamah Kota Kinabalu, tidak termasuk ex-officio Majistret Kelas Pertama.

Mengambil contoh lagi di Lahad Datu, hanya terdapat seorang sahaja Majistret Kelas Pertama dan seorang lagi ex-officio Majistret Kelas Pertama iaitu Hakim Mahkamah Sesyen. 

Pegawai Daerah dah Penolong-Penolong Pegawai Daerah di Negeri Sabah hanya berkelayakan sebagai Majistret Kelas Kedua sahaja. Jadi, mereka tiada kuasa dan tanggungjawab untuk mendengar kes-kes permohonan endosmen sijil lahir daftar lewat ini.

Dan perlu diingat, Majistret Kelas Pertama bukan hanya mengendalikan kes sijil lahir daftar lewat, tetapi pada setiap hari, termasuk hari Sabtu dan Ahad, mereka menjalankan tugas kehakiman mereka untuk mendengar kes-kes jenayah dan sivil dalam bidangkuasa dan lingkungan bidangkuasa tempatan mereka.

Dalam masa yang sama, kes-kes sijil lahir daftar lewat juga perlu melalui prosiding yang dipanggil inkuiri (inquiry) yang memerlukan pemohon dan saksi mengangkat sumpah dan memberikan keterangan mereka di hadapan Majistret Kelas Pertama sebelum keputusan dapat diberikan.

Dan, Majistret mempunyai budibicara samada meluluskan atau menolak permohonan ini di atas bukti dan keterangan yang diberikan di hadapannya. Sekiranya permohonan diluluskan, maka sijil kelahiran itu akan diendoskan dan ditandatangani oleh Majistret itu. Dan selepas itu bolehlah pemohon membuat permohonan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara bagi mendapatkan MyKad atau kad pengenalan, tertakluk juga kepada syarat taraf kewarganegaraannya.

Sekiranya permohonan ditolak atau dengan kata lain gagal, sijil lahir itu juga akan diendoskan dan ditandatangani oleh Majistret itu dengan perintah yang menyatakan sijil lahir itu tidak diterima sebagai bukti prima facie. Dengan kata lain, Majistret memutuskan bahawa fakta yang dinyatakan di atas sijil lahir itu adalah tidak benar.

Dalam situasi ini, permohonan boleh dimajukan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Majistret Kelas Pertama itu.

Ok, berbalik kepada topik hari ini iaitu sijil lahir daftar lewat dan kewarganegaraan.

Seperti saya nyatakan di atas, permohonan mendapatkan kad pengenalan atau MyKad adalah tertakluk kepada taraf kewarganegaraan seseorang. Hanya warganegara Malaysia sahaja yang layak memegang kad pengenalan berwarna biru atau MyKad.

Kewarganegaraan tidak terbatas dengan memiliki sijil lahir sahaja. Ini kerana, sekiranya seseorang itu memegang sijil kelahiran 'bertaraf warganegara' sekalipun, namun ia tidak menjamin bahawa orang itu adalah seorang warganegara.

Samalah juga dengan mereka yang lahir di luar negara, walau pun tidak mempunyai sijil lahir Malaysia, mungkin saja mereka itu adalah warganegara Malaysia sekiranya mengikut kepada taraf kewarganegaraan ibubapanya.

Ini kerana taraf kewarganegaraan adalah dalam budibicara Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri yang diperturunkan kuasanya kepada Pendaftar Besar Warganegara.

Dan mereka ini atau taraf kewarganegaraan ini mendapat punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara kita.

Jadi, untuk mengatakan bahawa mempunyai sijil kelahiran daftar lewat dan 'selepas mendapat endosmen Mahkamah maka bolehlah memohon MyKad di JPN' adalah konsep atau pemahaman yang salah dan perlu diperbetulkan.

Taraf warganegara seseorang tidak mengikut kepada sijil kelahiran, walaupun sijil kelahiran itu salah satu pra-syarat untuk memohon mendapatkan kad pengenalan. Dan kad pengenalan yang ditulis MyKad itu adalah tanda atau bukti bahawa seseorang itu ialah seorang warganegara, kecuali bagi MyKad yang palsu atau dipalsukan.

Bagaimana pula menentukan taraf warganegara seseorang?

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, terdapat beberapa kaedah bagi memperolehi taraf kewarganegaraan, iaitu melalui operasi undang-undang (Art 14), melalui pendaftaran (iaitu isteri dan anak kepada warganegara) (Art 15), melalui pendaftaran (iaitu orang yang lahir di dalam Persekutuan sebelum Hari Merdeka) (Art 16), melalui pendaftaran (iaitu pemastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada Hari Merdeka) (Art 16A) dan melalui naturalisasi (Art 19) serta melalui penggabungan wilayah (Art 22). 

Saya tidak akan ulas kesemua kaedah ini kerana terlalu panjang untuk diterangkan satu persatu.

Bagi status kewarganegaraan melalui operasi undang-undang, terdapat 2 pra-syarat yang perlu dipenuhi iaitu (1) seseorang yang lahir sebelum Hari Malaysia dan bertaraf warganegara Persekutuan seperti terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, dan (2) seseorang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia, dan mempunyai kelayakan seperti dinyatakan dalam Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia v Pang Wee See & 1 Lagi [2017] 7 CLJ 33, Mahkamah Rayuan melalui penghakiman YAA Datuk Abang Iskandar Abang Hashim (HMR pada masa itu) menjelaskan bahawa:

"Dalam menentukan kewarganegaraan seseorang, dua konsep diguna pakai, iaitu konsep jus soli ('right of the soil' iaitu hak seseorang yang dilahirkan dalam wilayah sesebuah negeri bagi kerakyatan atau kewarganegaraan) dan jus sanguinis ('right of blood' di mana kewarganegaraan tidak ditentukan oleh tempat kelahiran tetapi dengan mempunyai satu atau kedua-dua ibu bapa sebagai warganegara Negeri). Perkara 14 (1) (b) dibaca bersama dengan S. 1 (a) Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan adalah peruntukan yang terangkum dalam elemen-elemen konsep jus soli dan jus sanguinis di mana kewarganegaraan seseorang dapat dikesan pada tempat kelahiran, iaitu Malaysia, dan juga kewarganegaraan Malaysia salah seorang ibu bapa kandung (right of blood) pada waktu kelahiran seseorang untuk dijadikan warganegara Malaysia melalui undang-undang."

Bagi 'right of blood', taraf kewarganegaraan seseorang yang ditentukan oleh status kewarganegaraan ibu bapanya, di Malaysia ia berkait rapat dengan status perkahwinan yang sah ibu bapa tersebut semasa kelahiran berlaku.

Ok, ada persoalan bagaimana pula dengan permohonan taraf kewarganegaraan yang ditolak atau tidak mendapat apa-apa jawapan dari JPN? Atau sijil lahir daftar lewat yang ditolak oleh Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi? Ke mana lagi boleh dirujuk? Adakah pemohon perlu balik ke negara asal?

Isu ini juga seringkali menjadi persoalan. Jawapan mudah saya ialah kita balik ke Mahkamah Tinggi.

Ini kerana, Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan isu kewarganegaraan. Telah banyak kes-kes perundangan yang melaporkan kes-kes sebegini.

Mahkamah Atasan ini mempunyai bidangkuasa untuk membuat deklarasi atau pengiktirafan tentang kewarganegaraan seseorang itu dan boleh mengeluarkan perintah atau arahan kepada pihak JPN untuk mengeluarkan kad pengenalan orang itu.

Apa yang perlu dilakukan ialah lantiklah peguam untuk mengendalikan kes sebegini kerana permohonan sebegini walaupun nampak mudah, namun agak rumit, kompleks dan memerlukan tindakan peguam.

Bolehkah tindakan sebegini difailkan sendiri di Mahkamah Tinggi?

Boleh, tetapi seperti yang saya nyatakan di atas, permohonan sebegini adalah sangat rumit dan penuh dengan peraturan dan prosedur serta proses Mahkamah yang ketat dan rumit. Kalau anda tahu proses dan prosedurnya, bolehlah buat sendiri kerana perlu diingat, tiada borang atau kertas kausa tersedia untuk anda isi sendiri. Semua perlu disediakan seperti yang dikehendaki oleh Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Resipinya agak mudah: iaitu failkan Saman Pemula yang disertai dengan Afidavit Sokongan serta dokumen berkaitan yang dieksibitkan di dalam afidavit tersebut secara teratur. Failkan ke Mahkamah dan selepas dimeterai, Saman Pemula itu hendaklah diserahkan kepada Defendan. Kemudian Mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran, hujahan dan seterusnya membuat keputusan.

Senang, kan? Ya, senang bagi mereka yang mengetahui. Susah bagi mereka yang tidak mengetahui. Siapa yang mengetahui ini? Para peguam.

Saya faham kekangan atau halangan lain untuk meneruskan tindakan sebegini ialah masalah kewangan, iaitu upah peguam agak mahal.

Betul, tetapi jikalau difikirkan manfaat mendapatkan taraf warganegara itu adalah lebih besar dari membayar upah peguam, itu adalah jauh lebih baik daripada status atau taraf wargenagara yang samar-samar dibiarkan berlarutan dan berpanjangan. Berbincanglah dengan peguam mengenai upah dan bayaran dengan sebaiknya.

Apatah lagi sekiranya permohonan itu dibuat selepas berumur 21 tahun atau orang tua pula sudah meninggal dunia atau tidak dapat lagi dikesan, itu akan merumitkan lagi keadaan.

Harap membantu. 

Saya mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan mengenai posting ini. Saya tidak bertanggungjawab atas apa jua kerugian atau kerosakan yang dialami oleh pembaca atas tulisan ini. Nasihat saya, lantiklah peguam bagi urusan sebegini. Posting ini hanya sebagai perkongsian ilmu sahaja.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN