BELAJAR BAHASA INGGERIS

Assalamualaikum,

Insya Allah tahun ini saya akan berusia 40 tahun. Memasuki alam 4 series.

Ini juga bermaksud saya ialah seorang lepasan ijazah sarjana muda undang-undang pra-youtube, pra-streamyx, pra-unifi dan seumpamanya. Masa itu whatsapp, telegram, IG dan seumpamanya pun belum ada lagi. Untuk berkomunikasi hanya berhubung melalui telefon awam, atau kalau ada handphone pun paling canggih masa itu ialah Nokia 3310.

Dulu, saya mendapatkan bahan bacaan di perpustakaan sahaja, manakala untuk mendapatkan access internet hanyalah di makmal komputer. Mesti ramai dikalangan pembaca blog ini tertanya-tanya bagaimana agaknya keadaan makmal komputer itu ya. Kalau anda tahu bermakna anda sezaman dengan saya jugalah.

Lebih menggerunkan dulu semasa mula memasuki matrikulasi UIA, kami dikehendaki mengambil subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab terlebih dahulu. Bahasa Inggeris pula mesti menguasai 4 kemahiran iaitu listening, writing, speaking dan reading dengan mencapai kriteria yang telah ditetapkan. Mereka yang berjaya menghabiskan kursus dua bahasa ini lebih awal bolehlah menamatkan program matrikulasi lebih awal, iaitu dalam tempoh setahun atau 2 semester sahaja. Mereka yang mahir ini dulu dipanggil budak express. Saya pula hanya berjaya habiskan program matrikulasi
dalam tempoh 1 tahun setengah, kiranya budak separa express sajalah. Haha.

Sumber gambar di SINI
 

Ok, apa kaitan intro ini dengan topik hari ini?

Belajar undang-undang memerlukan anda mahir Bahasa Inggeris selain bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan kita. Ini kerana sumber bacaan utama perundangan masih dalam bahasa asing terbesar ini.

Terdapat dikalangan pembaca yang bertanyakan di ruangan komen bagaimana ingin menguasai Bahasa Inggeris? Saya faham kerana kita bukanlah dibesarkan dalam kalangan bahasa pertuturan hariannya adalah Bahasa Inggeris. Saya di rumah pun bercakap Bahasa Melayu dengan emak dan bapa serta adik beradik lain. Malah, emak dan bapa saya bercakap Bajau di rumah!

Justeru, bagaimanakah cara saya menguasai bahasa ini semasa belajar dahulu?

Saya memulakan topik ini dengan sejarah zaman saya belajar dahulu, iaitu zaman pra-whatsapp, pra-youtube, pra-internet laju-laju macam zaman sekarang. Zaman sekarang semuanya amat mudah dan dihujung jari saja. Untuk belajar Bahasa Inggeris sehingga menjadi expert boleh saja menonton youtube yang mana ada beribu channel atau program yang khusus untuk belajar Bahasa Inggeris, bermula dari alam bayi hinggalah alam dewasa. Semuanya ada. Dari kita saja samada rajin atau tidak untuk mempelajarinya.

Saya ada beberapa kaedah bagaimana saya menguasai bahasa ini, walaupun sejujurnya saya tidaklah mahir sangat bertutur dalam Bahasa Inggeris ini hingga sekarang. Sekadar boleh bercakap atau berkomunikasi dengan orang asing dan memahami apa yang diperkatakan itu bolehlah. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang bekerja dan memerlukan bertutur dalam bahasa Inggeris hampir setiap hari semasa di pejabat. Dengan itu, merangkak sedikit demi sedikit boleh memperbaiki kebolehan dan bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris.

Kaedah saya ini bukanlah jampi serapah pun. Ramai sudah yang mengamalkannya dan memang terbukti antara kaedah yang mujarab. Saya hanya berkongsi apa yang saya buat, amal dan lakukan hingga membolehkan saya menguasai bahasa ini.

Pertama sekali, kaedah saya dulu (hingga sekarang juga) ialah dengan mendengar dan menghafal lagu Bahasa Inggeris. Tidak kisahlah lagu apa yang penting ia kena dengan selera dan hati saya. Sebagai contoh lagu My Way (Frank Sinatra) antara lagu yang memang saya gemari. Selain itu saya juga meminati kumpulan KRU dan hampir semua lagi dalam album "The Way We Jam" itu saya hafal.

Menghafal lagu membuatkan kita boleh menyebut sesuatu perkataan dengan betul dan lancar. Manakala liriknya pula kita boleh rujuk kepada kamus untuk mengetahui maksudnya. Maka, carilah lagu yang mudah dan dengan bahasa Inggeris yang betul, bukannya bahasa Inggeris pasar atau lagu yang bukan-bukan.

Selain mendengar lagu, menonton drama tv juga menjadi kegemaran saya, antaranya "Law and Order" (season lama. Yang baharu saya tidak ikuti sudah), "Philly" dan lain-lain lagi. Apabila berjumpa dengan perkataan yang tidak difahami maksudnya, maka kamus dwi-bahasa lah menjadi sumber rujukan utama saya.

Dengan cara ini, kita boleh belajar sambil berhibur. Kata orang tua "menyelam sambil minum air."

Kedua, saya dulu hingga sekarang suka membaca suratkhabar dalam versi Bahasa Inggeris. Suratkhabar Daily Express (Sabah), The Star dan New Straits Times memang antara kegemaran saya untuk membacanya, terutama sekali mukasurat yang melaporkan kes-kes Mahkamah atau jenayah. Ia bukan saja membuatkan kita menjadi biasa dengan terma Mahkamah, malah boleh memberikan kita maklumat berkaitan dengan prosedur dan proses Mahkamah.

Ketiga, apabila berjumpa dengan pensyarah dulu, saya akan cuba berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris walaupun dengan bahasa rojak dan lintang pukang. Apatah lagi semasa di UIA ramai pensyarahnya bukan warga Malaysia. 

Ya lah, masa belajar kita belum mahir lagi. Yang penting keyakinan tahap tinggi mesti ada walaupun apa yang keluar dari mulut kita mungkin Bahasa Inggeris versi Malish atau Singlish. Sekurang-kurangnya kita terapkan dalam diri bahawa kita juga boleh bertutur dalam Bahasa ini, yang mana disebabkan "alah bisa tegal biasa" itulah yang mencorakkan keadaan saya pada masa sekarang, walaupun ada harinya saya terpaku juga untuk mencari perkataan sesuai dituturkan hingga keadaan berbahasa rojak itu masih wujud sehingga hari ini.

Itu biasa kerana macam saya katakan di atas, Bahasa Inggeris bukan bahasa pertama saya dan di rumah pun saya bertutur dengan isteri dan anak-anak dalam Bahasa Melayu juga.

Oleh itu, dalam menuntut ilmu, jangan ada rasa malu atau tidak mahu. Mesti kuatkan azam dan bulatkan hati untuk belajar, belajar dan terus belajar kerana ilmu perundangan tidak mungkin akan dapat dikuasai tanpa menguasai Bahasa Inggeris.

Dan dengan menguasai berbahasa Inggeris tidak bermakna jati diri kita juga mesti berpaksikan Inggeris, tidak kiralah samada kita orang Melayu, Dusun, Bajau atau Bidayuh. Malah, dengan berbahasa Inggeris kita dapat melihat dunia ini dengan lebih luas dan minda terbuka kerana majoriti maklumat sumber terbuka pada zaman ini juga sebenarnya dalam Bahasa Inggeris.

Wassalam.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN