PROSES MEDIASI
Assalamualaikum,
Hari ini saya ditanya tentang mediasi.
Untuk rekod, saya ialah seorang certified mediator. Dan saya bercakap tentang proses mediasi yang dikendalikan di mahkamah atau dikenali sebagai 'court assist mediation'.
Saya telah ditanya apakah itu mediasi dan bagaimana efektifnya mediasi ini?
Jawapan saya simple:
"Kalau perbicaraan di mahkamah terbuka itu umpama peperangan, mediasi inilah tempat meja rundingan".
"If trial in open court is an open battle, mediation is the closed round-table".
Sumber gambar di SINI
Mediasi ialah salah satu proses rundingan antara mereka yang berpertikaian dalam kes sivil, sebagai kaedah alternatif penyelesaian pertikaian atau 'alternative dispute resolution' atau biasa dikenali sebagai ADR. Proses ini sangat efektif dengan syarat ia mendapat partisipasi daripada pihak-pihak tersebut dengan hati dan minda yang terbuka.
Sebenarnya, walaupun mereka mempunyai minda yang tertutup sekalipun, sekiranya hadir di hadapan seorang mediator dan berbincang mengenai kes mereka, insya Allah sedikit sebanyak akan terbuka juga hati dan perasaan mereka.
Mediasi pula bukan hanya untuk mendapatkan penyelesaian. Tetapi sebenarnya ia juga satu proses mencari titik pertemuan ke atas pertikaian pihak-pihak.
Biasanya pihak-pihak yang 'bergaduh' ini masing-masing hanya merasakan diri mereka betul. Mereka hanya berasakan kes mereka kuat. Mereka hanya tahu mereka mesti menang dalam pertikaian mereka. Masing-masing punya objektif, masing-masing punya rasa pendirian mereka saja yang betul.
Inilah cabaran kepada seorang mediator.
Tetapi cabaran itu sebenarnya amat berbaloi sekiranya pihak-pihak dapat hadir dan 'meluahkan' perasaan mereka terhadap pertikaian yang dihadapi. Dengan cara itu, mediator akan memainkan peranan untuk membawa pihak-pihak ini ke landasan yang betul, samada dari segi fakta atau undang-undang.
Di peringkat inilah pihak-pihak akan mengetahui samada mereka sebenarnya ada kes atau tidak, samada kes mereka kuat atau tidak, samada mereka mempunyai cukup bukti untuk meneruskan kes mereka atau tidak. Selepas dari sesi 'rundingan' itu, mereka mempunyai pilihan bagaimana untuk menyelesaikan kes mereka, secara menang-menang.
Bukan secara menang-kalah macam perbicaraan di mahkamah. Pihak-pihak yang akan tentukan macamana penyelesaian yang memuaskan hati mereka. Secara menang-menang.
Kalau pun akhirnya mereka tidak dapat capai kata sepakat pun tiada masalah kerana mereka tetap akan berpeluang untuk membuktikan kes masing-masing semasa perbicaraan di mahkamah terbuka. Masa itu hanya akan ada 2 kemungkinan keputusannya iaitu samada menang-kalah atau kalah-kalah.
Kenapa pula kalah-kalah? Sebab proses perbicaraan kes sivil adalah unik, iaitu pihak-pihak perlu membuktikan kes mereka atas neraca imbangan kebarangkalian. Jadi, kalau mahkamah mendapati kedua-dua pihak berjaya membuktikan kes mereka atas neraca itu, maka mahkamah boleh memberikan keputusan untuk menolak kes plaintiff tanpa sebarang kos. Maka, terjadilah apa yang dikatakan kalah-kalah. Plaintiff kalah tanpa sebarang penghakiman atau mendapat faedah kos, dan defendan juga kalah tanpa mendapat sebarang kos daripada plaintiff.
Sebab itulah jikalau diberikan pilihan samada menjalani proses mediasi terlebih dahulu sebelum memulakan 'peperangan', saya akan nasihatkan orang yang berpertikaian untuk mengambil dulu peluang sebegini. Pergilah ke hadapan mediator dahulu. Bukannya kena bayar pun. Free saja.
Dengan syarat anda telah memfailkan kes anda di mahkamah dan anda mendapat persetujuan daripada defendan untuk menjalani proses ini dengan menandatangani perjanjian mediasi atau dikenali sebagai 'agreement to mediate'.
Inilah proses mediasi. Proses rundingan meja bulat sebelum sesi peperangan bermula.
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan