MENJADI SAKSI DI MAHKAMAH JENAYAH: BAHAGIAN 1
Assalamualaikum,
Hari ini bakalpeguam duduk di Mahkamah terbuka mengikuti perbicaraan kes jenayah di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencabul.
Tertuduh kes ini ialah seorang penjawat awam, manakala mangsa pula ialah isteri kawan tertuduh sendiri yang juga anak rakan sekerjanya. Mangsa berumur 28 tahun semasa kejadian.
Mangsa atau pengadu kes ini boleh dikatakan vulnerable kerana belum saja memasuki kandang saksi, dia sudah menangis teresak-esak apabila melihat tertuduh.
Katanya, dia sangat trauma selepas kejadian cabul tersebut yang mana sehingga kini dia berjumpa pakar psikiatrik.
Sumber gambar di SINI |
Semasa keterangan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, mangsa ini menceritakan dengan detail kejadian pada malam tersebut dengan panjang lebar, dengan ayat yang tidak tersusun hingga membuatkan Majistret pening mendengarnya. Ada kalanya Majistret terpaksa memberhentikan mangsa kerana bercakap terlalu laju sehingga apa yang dikatakan mungkin tidak dapat direkodkan dengan baik.
Beberapa kali mangsa terpaksa ditenangkan oleh anggota polis wanita yang mengiringi beliau kerana semua pihak di dalam Mahkamah, termasuklah jurubahasa yang ada semuanya lelaki.
Selepas hampir 2 jam memberikan keterangan utama, tibalah masa pihak peguambela pula menyoal balas saksi ini.
Apabila peguam menyoal, seringkali saksi tersalah anggap kononnya dia dianiaya sedangkan dia adalah mangsa dalam kes ini. Juga beberapa kali peguambela meninggikan suaranya kerana saksi tidak menjawab soalan yang ditanyakan, sebaliknya ingin memberikan penjelasan kepada apa yang ditanya kepadanya.
Beberapa kali jugalah Mahkamah terhenti seketika kerana saksi asyik menangis beberapa kali. Cuma apabila Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengahari dan perbicaraan disambung pada sebelah petang, saksi agak ceria sedikit, namun itu pun tidak lama apabila peguam mula mempersoalkan kredibiliti dan hubungannya dengan tertuduh.
Fakta kes ini tidak perlulah saya nyatakan secara detail di sini kerana kes pun masih separuh bicara. Namun ada beberapa point yang ingin dikongsikan apabila anda dipanggil menjadi saksi kes, terutamanya apabila anda juga ialah pengadu atau mangsa kes.
Pertama sekali, anda kena ingat bahawa kes perbicaraan adalah di dalam Mahkamah terbuka. Terbuka bukan sahaja kerana Mahkamah itu boleh dimasuki oleh orang awam, tetapi terbuka juga di sini boleh membawa maksud bahawa apa yang anda akan sampaikan mestilah secara terbuka kerana ia akan menjadi penilaian Mahkamah kelak. Bahkan, apa juga yang anda katakan akan direkodkan oleh Mahkamah dan ia akan menjadi rekod rasmi yang boleh diakses atau terbuka kepada orang awam juga. Oleh sebab itu, anda perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi perbicaraan kerana ia akan mengambil masa yang agak lama, bergantung kepada jenis kes dan teknik pihak Pendakwaan dan peguambela dalam mengendalikan sesi soal jawab itu.
Kedua, anda hadir untuk memberikan keterangan secara bersumpah. Bermakna, anda tidak boleh berbohong atau menyembunyikan apa juga fakta atau keterangan. Anda juga mesti menjawab soalan yang ditanyakan, kecuali jika soalan itu menyebabkan kemudaratan atau pertuduhan jenayah kepada anda. Itu pun budibicara Hakim atau Majistret, kalau dia benarkan soalan itu untuk ditanya, anda mesti menjawabnya. Ingat, jawab dengan jujur kerana walaupun sepahit manapun kebenaran itu mesti juga dikatakan. Bercakap bohong atau menipu Mahkamah amat buruk padahnya kerana anda pula boleh dituduh memberikan keterangan palsu.
Ketiga, anda perlu bersedia untuk disoal balas oleh tertuduh atau melalui peguamnya. Ramai orang mengatakan kenapa saksi atau pengadu perlu disoal balas dengan teruk sekali sedangkan mereka adalah mangsa kes. Ya betul, anda memang mangsa, tetapi perlu diingat tertuduh juga berisiko untuk kehilangan kebebasannya atau dengan kata lain, berisiko untuk dipenjarakan hanya kerana keterangan yang anda berikan kepada Mahkamah. Jikalau keterangan ini tidak diuji melalui pemeriksaan balas, apakah itu adil kepada tertuduh sedangkan tertuduh juga mungkin ada versi pembelaannya sendiri? Soal balas yang dikemukakan oleh peguambela bukan sekadar suka-suka, ia ada agenda tersendiri. Selain mencabar kredibiliti atau ketepatan keterangan saksi, peguambela juga bertanggungjawab untuk meletakkan kes pembelaan seawal yang mungkin, melalui soal balas semua saksi pendakwaan, terutama sekali ke atas pengadu kes. Sebab itulah kita akan nampak kadang-kadang peguambela agak agresif kepada pengadu atau mangsa kerana mereka mempunyai arahan yang jelas daripada anakguam mereka iaitu tertuduh untuk meletakkan kes mereka sungguhpun masih di peringkat kes pendakwaan. Mereka tidak boleh menunggu sehingga kes pembelaan dipanggil baru mereka kemukakan kes mereka kerana itu akan menjadikan situasi dipanggil 'afterthought' atau difikirkan semula.
Keempat, sekiranya mendapat peluang, saksi bolehlah berjumpa dahulu dengan pegawai pendakwa atau Timbalan Pendakwaraya yang mengendalikan kes agar komunikasi lebih mudah apabila berada di dalam Mahkamah kelak. Saya tidaklah bermaksud untuk kedua-dua pihak berbincang sehingga ada unsur 'coaching'. Tidak sama sekali. Tetapi, apabila saksi mengenali siapa pegawai yang mengendalikan pendakwaan, sedikit sebanyak rasa gusar itu berkurangan apabila duduk di dalam kandang saksi kelak. Malah, ia juga boleh mengurangkan risiko anda lupa keterangan yang perlu anda sampaikan.
Kelima, semasa duduk di dalam kandang saksi, cubalah bertenang sebaik mungkin. Anda duduk di dalam Mahkamah bermakna anda dilindungi oleh undang-undang. Majistret bukan hendak menghukum anda. Pendakwaraya bukan menuduh anda. Peguambela pula bukanlah membuli anda. Anda hadir untuk memberikan keadilan kepada semua orang atas apa yang anda adukan. Anda hadir untuk memberikan keterangan apa yang berlaku sehingga menyebabkan tertuduh duduk di kandang salah atas sebab aduan anda. Dan semua itu memerlukan anda bertenang dan berfikir dengan baik sebelum anda menjawab soalan yang diajukan. Beremosi tidak salah tetapi jangan melampau-lampau. Jangan paksa atau menahan diri anda. Jikalau rasa tidak selesa, beritahu Hakim atau Majistret bahawa anda ingin berehat atau tangguh sebentar, mesti Hakim atau Majistret akan berpihak kepada anda sekiranya ada permintaan sebegitu kerana Hakim atau Majistret juga seorang manusia yang punya hati dan perasaan. Tetapi sekali lagi ditekankan, beremosi boleh tetapi jangan melampau-lampau. Sekiranya anda melampau, semua itu akan direkodkan pula di dalam nota keterangan yang menunjukkan 'demeanour' anda semasa memberikan keterangan dan ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan ke atas kredibiliti anda kelak.
Akhir sekali, hanya jawab soalan apabila ditanya dan diminta. Jangan meleret-leret. Jangan cuba bergaduh dengan orang yang menyoal anda. Jangan menyoal semula apabila anda disoal. Anda duduk sebagai saksi adalah untuk menjawab soalan, bukan menimbulkan persoalan. Apabila anda tidak menjawab soalan yang ditanya, itu hanya akan menyebabkan masa banyak terbuang dan menjengkelkan semua pihak terutamanya Hakim atau Majistret. Jadi, jangan buang tabiat semasa disoal. Hanya jawab apa yang ditanya. Lebih-lebih lagi semasa sesi soalan balas oleh peguambela. Apabila diminta untuk bersetuju atau tidak, anda hanya mempunyai 3 pilihan jawapan, iaitu setuju, tidak setuju atau tidak tahu. Boleh juga kata tidak pasti kalau anda ragu-ragu mahu bagi jawapan anda. Jangan risau jikalau anda rasa sebenarnya anda tidak bersetuju tetapi terpaksa jawab setuju kerana semasa pemeriksaan semula, pegawai pendakwa atau Timbalan Pendakwaraya akan meminta anda memberikan penjelasan semula ke atas apa jua jawapan yang anda berikan semasa sesi soalan balas tadi.
Saya harap posting ini sedikit sebanyak membantu anda untuk bersedia menjadi seorang saksi di Mahkamah jenayah kelak.
Sebagai penutup, apabila anda menerima Saman Saksi atau 'subpoena' untuk memberikan keterangan di Mahkamah, semak balik peranan anda dalam kes itu dan cuba sehabis baik mengingati butiran kes itu agar anda lebih bersedia. Kena ingat, semasa di dalam kandang saksi, anda tidak dibenarkan membawa nota atau merujuk apa juga dokumen sehingga anda dibenarkan berbuat demikian.
Dan satu lagi, jangan lupa bawa bersama kad pengenalan/MyKad atau dokumen keterangan diri yang sesuai apabila anda ke Mahkamah kelak.
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan