BILA MANGSA TERUS MENJADI MANGSA
Assalamualaikum,
Saya sudah berkhidmat dalam bidang perundangan selama lebih 16 tahun. Antara agensi yang paling dekat ialah Polis DiRaja Malaysia.
Saya amat menyanjungi bidang kepolisan kerana bidang ini juga amat dekat dengan saya. Bapa saya bekas anggota polis. Berkhidmat lebih kurang 38 tahun dalam pasukan. Adik saya juga merupakan seorang anggota polis. Saya membesar di dalam berek polis. Jadi, bidang ini amat dekat di hati dan kehidupan saya.
Kebelakangan ini kita disajikan dengan berita-berita kurang enak mengenai pegawai dan anggota polis.
Berita melibatkan kes rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak antara isu terbesar.
Selain itu, anggota bersikap tidak profesional di Sekatan Jalanraya (SJR) juga mengambil tempat slot berita.
Dan semalam, dikhabarkan ada pegawai polis yang mengkhinzirkan pegawai polis lain yang membuat SJR dan mentularkannya di media sosial.
Entah di mana silapnya tetapi yang pasti ini bukan salah PDRM, tetapi salah individu yang bergelar pegawai dan anggota itu sendiri. Mereka yang cari pasal.
Sumber gambar di SINI |
Dan hari ini saya didatangi seorang pengadu yang meminta nasihat perundangan. Ia berkenaan isu masa lalunya.
Semua orang ada kesilapan masa lalu. Siapa dalam dunia ini yang tidak melakukan kesilapan? Termasuklah pengadu ini.
Ceritanya begini. Dia telah melaporkan kepada pihak polis berkenaan gambar peribadinya yang disyaki dimuat naik oleh bekas teman lelakinya ke laman web lucah. Pengadu tahu itu perbuatan bekas teman lelaki kerana dia tahu ID lelaki tersebut dan kerana hanya lelaki itu sahaja yang memiliki gambar-gambar tersebut.
Laporan polis pun telah dibuat. Maka, bermulalah igauan ngeri pengadu ini apabila dipertemukan dengan pegawai penyiasat. Pegawai penyiasat pula seorang inspektor lelaki.
Belum pun siasatan bermula, inspektor ini dah mula tanya macam-macam soalan melibatkan hubungan intim mangsa dengan saspek. Berapa kali membuat hubungan, di mana hotel selalu check in. Tidak menjaga sensitiviti pengadu langsung walhal perkara itu sudah lama berlaku tetapi baru diketahui bekas teman lelakinya memuat naik ke laman lucah itu.
Selain itu, inspektor juga meminta gambar asal bagi gambar-gambar yang dimuat naik itu sedangkan gambar asal berada dengan saspek, mangsa tidak lagi menyimpan gambar-gambar itu. Malah, gambar-gambar itu juga boleh diakses melalui mana-mana peranti yang mempunyai akses internet melalui link yang telah diberikan, entah apa logiknya pegawai penyiasat meminta gambar asal pula.
Dan dalam masa yang sama, pegawai penyiasat mula bermain psikologi dengan mengatakan ini semua salah mangsa kerana memberikan gambar-gambar itu dengan kerelaannya sendiri. Selain itu mangsa ditekan untuk membuat andaian sendiri seperti "macamana kamu pasti bekas teman lelaki kamu memuat naik gambar-gambar itu", "kalau gambar-gambar itu dijumpai oleh orang lain atau dia jual handphone nya dan gambar itu dijumpai oleh orang yang membeli handphone itu, boleh jadi orang itu yang muat naik, jadi apa kesalahan bekas teman lelaki kamu" dan lain-lain. Maknanya, perkara itu seolah-olah memang salah mangsa. Dan pegawai penyiasat dengan selamba mengatakan "kalau kes begini apa yang saya boleh buat?".
Astaghfirullah al-'aziim.
Dipendekkan cerita, untuk memudahkan kerjanya, maka pegawai penyiasat yang bijaksana ini mengeluarkan borang keputusan polis, iaitu dengan mengklasifikasikan kes sebagai rujuk lain-lain agensi atau RLA. Iaitu kes dirujuk kepada SKMM bagi meminta bantuan suruhanjaya tersebut untuk memadamkan gambar-gambar di laman lucah tersebut. Dan apabila mangsa berjumpa dengan pegawai SKMM, suruhanjaya ini pula memberikan alasan bahawa mereka tiada kuasa untuk menyiasat atau menangkap saspek, tetapi boleh membantu untuk meminta pemilik laman memadamkan gambar-gambar tersebut. Penjelasan ini langsung bertentangan dengan peruntukan undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedia ada. Saya tidak pasti kenapa pula pegawai SKMM ingin berbohong kepada mangsa, samada mereka malas atau tidak mahu menggunakan kuasa yang ada di tempat yang sebetulnya tidaklah dapat dipastikan.
Nampak tidak apabila inilah keadaannya yang dinamakan 'mangsa terus menjadi mangsa'. Bukankah mangsa sepatutnya dilindungi oleh pihak polis? Kenapakah mangsa dilayan sebagai seorang saspek pula dan saspek yang disyaki melakukan kesalahan seolah-olah dilindungi?
Sebagai pengamal undang-undang, saya faham mungkin pegawai penyiasat ingin mendapat gambaran menyeluruh kes ini dan kononnya bertindak secara hipotesis seperti seorang peguambela kepada saspek apabila kes dibawa ke Mahkamah dengan bertanya soalan-soalan psikologi sebegitu. Tetapi, tahukah sang pegawai penyiasat jika dia buat begitu, adakah mangsa-mangsa lain dalam kes seumpama ini akan berani membuat laporan selepas ini? Adakah mereka akan merasakan mereka dilindungi? Adakah mereka akan berasa selamat untuk melaporkan kes yang sangat menyentuh sensitiviti begini?
Dan bagaimana pula dengan saspek? Tiadakah tindakan yang boleh diambil ke atasnya sedangkan dia orang pertama dan terakhir yang mangsa ketahui mempunyai gambar tersebut. Dan dia orang pertama dan terakhir yang mangsa ketahui memiliki gambar tersebut. Dan dia orang yang mangsa ketahui mempunyai ID laman web lucah tersebut. Dan dalam laman web tersebut terpapar nama mangsa, yang mana tidak mungkin orang lain atau 'pembeli handphone' mangsa mengetahui nama mangsa selain dari bekas teman lelakinya itu.
Sebab itulah mangsa melaporkan kes kepada pihak polis dengan harapan pegawai penyiasat akan menyiasat kes ini, bukannya menyalahkan mangsa dengan kesilapan masa silam yang tidak boleh diubah lagi. Kalau mangsa mempunyai kuasa sebegitu, tentulah dia tidak merujuk kepada pihak polis sebaliknya akan mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan kes ini.
Tetapi, hakikatnya, sang pegawai penyiasat tidak mahu meneruskan siasatannya dan masih terus bersikap prejudis terhadap mangsa dengan mengatakan ini semua salah mangsa sendiri yang berkongsi dan memberikan gambar peribadinya. Dengan kata lain, sang pegawai penyiasat ingin memberitahu mangsa "ini bukan masalah aku. kau berani buat, kau berani tanggung."
Akhirnya, inilah situasinya bila mangsa terus menjadi mangsa.
Dan ia amat menyedihkan dan mengecewakan.
Saya telah menasihatkan mangsa ini untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia (www.eaic.gov.my) dan Biro Pengaduan Awam (www.pcb.gov.my) yang mana aduan boleh saja dibuat melalui laman web agensi-agensi ini. Malah, saya juga mencadangkan kepada beliau sekiranya berasakan terdapat unsur salah guna kuasa oleh sang pegawai penyiasat, buatlah aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (www.sprm.gov.my). Namun, disebabkan masih trauma dengan kelakuan sang pegawai penyiasat, mangsa tidak mahu atau tidak berani membuat aduan itu kerana takut sang pegawai penyiasat akan mengambil tindakan luar batasan dengan kuasa beliau sebagai seorang inspektor polis.
Saya juga nasihatkan beliau untuk membuat semula laporan polis berkenaan pemilikan gambar itu dan meminta siasatan polis dijalankan, tanpa memasukkan nama mana-mana agensi lain dalam laporannya. Namun, mangsa juga keberatan kerana report yang telah dibuat beliau rasakan belum ditarik balik dan mungkin laporan baru juga akan dirujuk kepada pegawai penyiasat yang sama. Itu kebimbangannya.
Akhir sekali, saya nasihatkannya untuk melantik peguam dan menemaninya untuk proses laporan polis dan penyiasatan polis supaya ada seseorang yang boleh menemaninya dan memastikan proses itu dijalankan dengan adil dan telus.
Mangsa masih perlukan masa untuk memikirkan pilihan ini.
Moga perkongsian ini menjadi iktibar kepada pembaca. Dan perkongsian ini tidak berniat untuk menjatuhkan martabat dan nama baik PDRM, tetapi lebih kepada perkongsian fakta secara umum mengenai seorang pegawai penyiasat yang tidak competent dan tidak sensitif tanpa menamakan orangnya atau menyatakan lokasi kejadian sebenar.
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan