CARA MEMFAILKAN RAYUAN JENAYAH KE MAHKAMAH TINGGI

Assalamualaikum,

Jom kita belajar proses mengemukakan rayuan dalam kes jenayah. Semua yang dinyatakan adalah merujuk kepada Kanun Prosedur Jenayah atau lebih popular dikenali sebagai "KPJ" atau "CPC" (Criminal Procedure Code).

Rayuan ini adalah melibatkan kes jenayah di Mahkamah Sesyen atau Majistret ("Mahkamah Rendah") ke Mahkamah Tinggi sahaja. Kalau ke Mahkamah seterusnya prosesnya agak berlainan sedikit.


Bagi kes-kes jenayah yang didengar di Mahkamah Rendah, samada Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sesyen, apabila kes telah selesai dan pihak yang kalah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah, maka mereka boleh mengemukakan rayuan lanjut ke Mahkamah Tinggi.

Rayuan ini boleh dikemukakan ke atas sabitan dan hukuman (conviction and sentence), atau ke atas hukuman sahaja, atau juga atas pelepasan dan pembebasan tertuduh (discharge and acquittal).

Jika rayuan ke atas sabitan dan hukuman atau atas hukuman sahaja, maka tentulah ia dikemukakan oleh tertuduh (OKT). Biasanya bagi rayuan terhadap sabitan dan hukuman, kes itu telah dijalankan secara perbicaraan penuh. Bagi kes melibatkan rayuan terhadap hukuman sahaja, biasanya ia adalah melibatkan kes-kes mengaku bersalah tanpa ada perbicaraan, walaupun terdapat juga kes yang dibicarakan penuh tetapi kerana bukti terlalu kuat atas sabitan tertuduh, maka rayuan terhadap hukuman sahaja yang wajar dikemukakan.

Bagi kes yang mengaku bersalah, Seksyen 305 KPJ menyatakan bahawa:

"305. Apabila akuan salah mengehadkan hak rayuan.

Apabila seseorang tertuduh mengaku salah dan telah disabitkan oleh seorang Majistret (juga terpakai kepada Hakim Mahkamah Sesyen) terhadap akuan itu, maka tidak boleh dibuat sebarang rayuan kecuali berkenaan dengan berat atau sahnya hukuman itu."

Ini bermakna apabila tertuduh tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan selepas dia mengaku salah, maka rayuan yang boleh dibuat hanyalah ke atas beratnya hukuman itu atau sahnya hukuman itu. Bagi maksud sahnya hukuman itu, sebagai contoh hukuman bagi kes mendatangkan kecederaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau denda yang boleh sampai RM2,000, atau dengan kedua-duanya tetapi Majistret telah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan 1 kali sebatan rotan, tentulah hukuman itu tidak sah kerana sebatan rotan tidak diperuntukkan oleh undang-undang bagi kesalahan ini. Maka, tertuduh berhak merayu atas keesahan hukuman itu.

Jika rayuan ke atas pelepasan dan pembebasan pula, tentulah ia dibuat oleh Pendakwaraya.

Dalam konteks rayuan ini, orang yang merayu dinamakan sebagai "Perayu" dan pihak yang di sebelah pula dinamakan sebagai "Responden" ya.

Prosedur pemfailan rayuan ini telah diperuntukkan di bawah Seksyen 307 KPJ. Ia bukanlah rahsia pun! 😏

Notis Rayuan ini perlulah dikemukakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dibuat oleh Mahkamah Rendah (Seksyen 307 (1) KPJ). Jadi apabila keputusan telah disampaikan, dan pihak-pihak tidak berpuas hati, jangan berlengah atau bertangguh, failkan terus notis rayuan ke Mahkamah yang sama yang memutuskan kes anda.

Jika terlewat memfailkan notis rayuan, sebenarnya masih boleh memohon ke Mahkamah Tinggi untuk satu proses dinamakan memfailkan notis rayuan di luar tempoh masa. Ini melibatkan prosedur lain pula, nantilah akan dibincangkan dalam topik akan datang.

Notis rayuan ini hendaklah dihantar atau difailkan kepada kerani Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sesyen yang berkenaan dalam 3 salinan, dengan mengalamatkannya kepada Mahkamah Tinggi dan pada masa yang sama membayar fi rayuan yang ditetapkan. Sebaiknya buatlah salinan tambahan, contohnya 5 salinan supaya salinan tambahan ini boleh disimpan sebagai rujukan atau simpanan fail.

Maksudnya, perayu atau wakilnya hadir ke kaunter Mahkamah dan beritahu kerani yang anda mahu failkan notis rayuan kes anda. Serahkan salinan-salinan notis rayuan, kemudian tunggu sehingga ia dicop dengan meterai Mahkamah dan ditandatangani oleh Pendaftar Mahkamah dan diletakkan tarikh pemfailan, lepas itu ambil balik salinan tambahan notis rayuan yang telah dimeterai untuk simpanan.

Pada masa ini, kalau anda diwakili oleh peguambela, proses ini menjadi lebih mudah kerana peguam hanya failkan sahaja notis rayuan ini secara atas talian (online). Tidak perlu bazir masa atau duit parking kereta untuk ke kaunter Mahkamah lagi.

Contoh notis rayuan boleh dimuat turun di SINI. Jangan risau, dokumen ini dijamin tiada virus!

Sepertimana dalam contoh disertakan, notis rayuan ini mestilah mengandungi alamat perhubungan perayu yang sah, bertujuan untuk penyampaian apa-apa notis, surat atau dokumen yang berhubung dengan rayuan itu. Alamat ini samada alamat perayu sendiri atau alamat pejabat peguam jika diwakili peguambela. Ini dinyatakan di kaki notis rayuan ini.

Soalan: Bolehkah saya gunakan alamat peti surat?
Jawapan: Boleh, asalkan apabila dokumen itu dihantar anda boleh menerimanya.

Soalan: Kalau saya dikenakan hukuman penjara, bolehkah saya failkan notis rayuan? Macamana caranya?
Jawapan: Sangat boleh. Apabila sampai di penjara, semasa proses daftar masuk, terus maklumkan pegawai penjara yang bertugas yang anda mahu memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi. Proses seterusnya akan dijalankan oleh pegawai penjara, iaitu notis rayuan akan disediakan dan anda akan diminta tandatangan (biasanya cap jari) pada notis rayuan berkenaan dan pihak penjara akan failkannya ke Mahkamah bagi pihak anda. Jangan risau, hak anda ini terjamin!

Ok, notis rayuan sudah difailkan. Seterusnya apa lagi?

Selepas notis rayuan dimeterai, ia akan diserahkan kepada Hakim Sesyen atau Majistret yang memutuskan kes anda itu untuk beliau menulis alasan penghakiman (walaupun pada zaman sekarang dalam keadaan bertaip). Jangan risau, proses ini bukan tugas anda sebagai perayu, tetapi tugas dalaman kerani atau Pendaftar Mahkamah yang berkenaan.

Para Hakim Sesyen dan Majistret adalah diberikan tempoh masa selama 8 minggu atau 2 bulan untuk menyiapkan alasan penghakiman ini. Kalau lewat dari 8 minggu, sebagai Perayu anda bolehlah menulis surat kepada Pendaftar Mahkamah Rendah untuk memohon status alasan penghakiman berkenaan, samada telah disiapkan atau belum.

Dalam masa yang sama juga, Mahkamah Rendah akan menyediakan nota keterangan atau disebut sebagai notes of proceedings kes itu, yang mana ia mengandungi semua proses perbicaraan terutamanya keterangan-keterangan saksi di mahkamah.

Setelah kedua-dua dokumen ini disiapkan oleh Mahkamah, ia akan diserahkan kepada Perayu, Responden dan kepada Mahkamah Tinggi yang berkenaan. Kalau anda diwakili oleh peguam, dokumen ini akan dikirim ke firma guaman peguam tersebut. Kalau anda di penjara, dokumen ini akan dikirimkan ke Jabatan Penjara di mana anda ditahan. Kalau anda wakili diri sendiri, ia akan dikirimkan melalui pos berdaftar ke alamat yang dinyatakan dalam notis rayuan.

Setelah menerima alasan penghakiman dan nota keterangan ini, tanggungjawab Perayu pula untuk membuat langkah seterusnya, iaitu dengan memfailkan Petisyen Rayuan. Bukan petisyen pilihanraya ya. Petisyen Rayuan.

Petisyen Rayuan ini perlu difailkan ke Mahkamah Sesyen atau Majistret berkenaan yang dialamatkan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari selepas disampaikan alasan penghakiman berkenaan atau dalam tempoh 14 hari selepas notis yang memaklumkan bahawa nota keterangan telah siap, dihantar ke alamat perayu yang berkenaan.

Apakah itu Petisyen Rayuan?

Petisyen Rayuan ini mengandungi alasan-alasan Perayu tentang kenapa Mahkamah Tinggi perlu mengubah keputusan Mahkamah Rendah (Sesyen atau Majistret) dan membuat keputusan yang memihak kepada Perayu itu.

Di dalam Petisyen Rayuan inilah Perayu akan nyatakan tentang kesilapan, kekhilafan atau ketinggalan (omission) Hakim atau Majistret yang memutuskan kes itu untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Tinggi.

Petisyen ini adalah bergantung kepada kreativiti masing-masing. Kreativiti saya maksudkan di sini ialah untuk mengolah ayat hasil daripada analisa yang dibuat terhadap alasan penghakiman dan nota keterangan Hakim atau Majistret adalah bergantung kepada kreativiti Perayu sendiri.

Jadi, pengetahuan undang-undang adalah amat penting di sini.

Contoh Petisyen Rayuan boleh dilihat di SINI. Sekali lagi jangan risau, dokumen ini tidak mengandungi virus dan hak cipta tidak terpelihara. 😄

Soalan: Sekiranya Perayu gagal memfailkan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, apakah kesannya?
Jawapan: Kesannya ialah rayuan itu akan dianggap telah ditarik balik atau dibatalkan atau Perayu tidak berminat meneruskan rayuannya dan Mahkamah Majistret atau Sesyen

Soalan: Jadi kalau begitu, bolehkah memohon untuk failkan petisyen di luar tempoh masa?
Jawapan: Boleh. Ia juga melibatkan prosedur lain. Boleh rujuk Seksyen 310 KPJ.

Setelah Petisyen Rayuan difailkan, maknanya anda telah mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk memfailkan rayuan jenayah ke Mahkamah Tinggi.

Proses pemfailan dengan itu telah selesai.

Apakah pula proses seterusnya?

Selanjutnya, anda dikehendaki menunggu sehingga Mahkamah Rendah menyiapkan dokumen yang dinamakan sebagai Rekod Rayuan, iaitu ikatan dokumen-dokumen yang digunakan semasa perbicaraan dulu.

Rekod Rayuan ini mengandungi beberapa jilid. Jadi pastikan anda menerima semua jilid yang dinyatakan.

Rekod Rayuan ini sangat penting bagi proses pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi. Jadi, untuk memastikan proses pendengaran rayuan berjalan dengan baik dan smooth sekali, kaji baik-baik dan hadamkan dan hafal semua dokumen yang terkandung di dalamnya.

Setelah Rekod Rayuan disiapkan dan diserahkan kepada semua pihak, Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan notis pendengaran untuk kes tersebut disebut atau dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi.

Proses rayuan bukanlah proses perbicaraan semula. Ia adalah untuk mendengar hujahan pempetisyen atau Perayu kes itu dan hujahan balas oleh Responden.

Setelah mendengar hujahan-hujahan itu, Hakim Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan samada:

Membenarkan rayuan atau menolak rayuan itu.

Kalau rayuan terhadap sabitan dan hukuman, jika Mahkamah Tinggi menolak rayuan itu, maka sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah adalah disahkan. Tetapi, ada juga situasi yang mana Hakim menolak rayuan terhadap sabitan dan membenarkan rayuan terhadap hukuman. Dalam situasi ini, sabitan adalah kekal dan hukuman akan dikurangkan.

Kalau rayuan terhadap hukuman sahaja dan Hakim Mahkamah Tinggi menolak rayuan itu, maka hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah adalah kekal.

Kalau rayuan oleh Pendakwaraya pula terhadap pembebasan dan pelepasan tertuduh, apabila rayuan dibenarkan maka keputusan Mahkamah Rendah akan diubah.

Kalau pembebasan dan pelepasan itu di peringkat akhir kes pendakwaan, maka Mahkamah Tinggi akan perintahkan untuk tertuduh membela diri di Mahkamah Rendah. Perbicaraan dengan itu akan dihidupkan kembali di Mahkamah Rendah. Situasi ini dinamakan peremitan kembali kes ke Mahkamah Rendah untuk pembelaan dipanggil (case is remitted back to the Lower Court for defence to be called).

Kalau pembebasan dan pelepasan itu di peringkat akhir kes pembelaan, jika rayuan Pendakwaraya dibenarkan, maka Mahkamah Tinggi akan merekodkan sabitan, terus mendengar hujahan mengenai hukuman dan menjatuhkan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh.

Kalau rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi, maka tertuduh akan kekal lepas dan bebas sepenuhnya.

Harap posting ini bermanfaat.

Last, soalan akhir: Berapa lamakah tempoh sesuatu kes rayuan itu akan didengar atau diselesaikan?
Jawapan: Tiada tempoh yang tetap. Ia bergantung kepada proses Mahkamah berkenaan. Tetapi saya diberitahu suatu kes rayuan hendaklah didengar atau diselesaikan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh didaftarkan.

Wassalam.


Ulasan

  1. salam tuan...saya mohon untuk diterangkan cara membuat notis rayuan luar tempoh masa ke mahkamah tinggi atau rayuan...bagaimana caranya dan prosedurnya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. W'salam. Kena failkan notis usul disertakan dengan afidavit sokongan ke mahkamah berkenaan untuk mendapatkan kebenaran memfailkan notis rayuan di luar tempoh masa. Dalam afidavit kena bagi alasan munasabah kenapa notis rayuan tidak difailkan dalam tempoh ditetapkan. Notis usul kena serahkan kepada pihak sebelah sebelum tarikh pendengaran.

      Padam
    2. terima kasih tuan...tuan..permohonan leave itu perlu hantar ke mahkamah rayuan atau mahkamah yg menjatuhkan hukuman bg luar tempoh masa...?dengan hormat nya jika diizinkan...boleh kah tuan email kan contoh afidavit dan permohonan tersebut ke emalil shahir_mj@yahoo.com

      Padam
    3. 1. Saya adalah perayu dalam tindakan ini.

      2. Kecuali yang dinyatakan sebaliknya,segala fakta yang dinyatakan adalah di dalam pengetahuan saya sendiri dan juga berdasarkan kepada dokumen-dokumen yang ada pada saya

      3. Saya mengikrarkan afidavit ini sebagai menyokong permohonan ini supaya Mahkamah Tinggi Temerloh yang mulia ini dapat membenarkan segala permohonan mengikut terma-terma Notis Permohonan yang difailkan bersama ini.

      4. Didalam kes ini saya telah disabitkan di hadapan Mahkamah Sesyen Temerloh pada 29 Oktober 2013 atas kesalahan Sek.376 (3) KK dan telah dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun dari tarikh tangkap 29/06/2013 dan 10 sebatan rotan.

      5. Semasa proses perbicaraan,saya dengan rela hati mengaku bersalah dan ini menjimatkan kos perbelanjaan pihak mahkamah.

      6. Pada 04 November 2013 saya telah mengemukakan Notis Rayuan Ulang Bicara kerana tidak berpuas hati atas hukuman yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang dan memohon untuk diringankan hukuman.

      7. Pada 04 November 2013 juga, pihak penjara telah menghantar notis ulang bicara melalui pos dan disebabkan masalah teknikal notis rayuan ulang bicara telah terlewat sampai di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang.Oleh yang demikian,notis tersebut difailkan melebihi tempoh masa yang ditetapkan.

      8. Oleh yang demikian,berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas dan juga kepada apa-apa lagi alasan yang mungkin diutarakan,saya dengan rendah diri memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk agar permohonan ini dibenarkan.

      *CONTOH DARI PIHAK PENJARA* Boleh ke tuan?

      Padam
    4. tuan...saya terlepas pandang nota keterangan dan alasan penghakiman dh diterima...petisyen rayuan saya sudah terlewat ke mahkamah rayuan...apa perlu sy lakukan....?

      Padam
    5. tuan...saya terlepas pandang nota keterangan dan alasan penghakiman dh diterima...petisyen rayuan saya sudah terlewat ke mahkamah rayuan...apa perlu sy lakukan....?

      Padam
    6. tuan...saya terlepas pandang nota keterangan dan alasan penghakiman dh diterima...petisyen rayuan saya sudah terlewat ke mahkamah rayuan...apa perlu sy lakukan....?

      Padam
    7. Failkan notis usul ke mahkamah rayuan bagi pelanjutan masa memfailkan petisyen rayuan. Harapnya alasan sangat kukuh la dalam afidavit, kalau terlepas pandang per se boleh menggugat kes juga tu. :)

      Padam
  2. salam..
    tuan..ayah sy telah dituduh oleh pihak kastam kerana membawa rokok tanpa cukai..ayah saya seorang pemandu teksi..dan ketika ditahan..ayah saya bersama seorang penumpang warga asing yg membawa kotak2 berisi rokok berkenaan..kejadian berlaku pada 2011 dan kes ini telah dipanggil ke makamah pada 2018..setelah naik turun makamah..ayah saya telah dilepas bebas oleh makamah..jaminan makamah dan bon kastam telah dipulang semula kepada saya..adakah pihak kastam boleh membuat rayuan ke makamah tinggi untuk menuduh kembali ayah saya? dan jika harus juga ke makamah tinggi apakah ada tips atau cara utk menjadikan keputusan makamah rendah sebagai support utk ayah saya?

    BalasPadam
  3. suami saya jatuh hukum
    so kita buat rayuan di mahkamah tinggi
    semasa naik mahkamah boleh tak dapat jamin
    ataupun kena tunggu tarikh lain
    tolong reply dan terima kasih

    BalasPadam
  4. Maaf, tak boleh jamin sebab dah jatuh hukum. Kecuali permohonan untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu dibuat dan dibenarkan oleh Mahkamah, barulah boleh dijamin. Mesti buat permohonan dahulu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum ..suami saya telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18bulan kerana ats kesalahan kastam (keldai rokok)..bolekah saya membuat permohonan rayuan ka bg hukuman suami saya ini agar dpt dikurangkan hukumannya.

      Padam
  5. hai, adakah ianya juga sama dengan rayuan sivil?saya terlepas pandang diari untuk memfailkan notis rayuan bagi pihak anakguam saya?apakah alasan yang paling best tuk memboleh kan mahkamah menerima dan membenarkan permhonan saya utk lanjutan masa menfailkan notis rayuan?dimanakah patut saya failkan samada di High Court atau lower court?

    BalasPadam
    Balasan
    1. 1. Prinsipnya sama saja dengan rayuan sivil.
      2. Aduh aduh.. dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Chin Hua Sawmill Co Sdn Bhd v Tuan Yusoff Tuan Mohamed [1973] 1 LNS 15 menyatakan kesilapan peguambela bukanlah alasan yang baik untuk diberikan special leave for extending time.
      3. Pun begitu, bagi mengelakkan prejudis kepada hak anakguam, failkan saja notis usul dan afidavit dan karanglah alasan yang baik dan jujur dengan penuh berhemah, moga mahkamah berikan pertimbangan. Boleh failkan di lower court dulu, kalau tidak dibenarkan maka bolehlah lanjutkan ke mahkamah atasan pula secara proses rayuan.
      My 2cents.

      Padam
    2. terima kasih di atas penjelasan..maksud tuan utk membolehkan Mahkamah membenarkan permohonan notis usul saya tu adalah amat tipis kan..tapi sebenarnya, client ni tak bayar abeh pun legal fees dan ada dua file di dalam firm bos sy..tp disbbkan saudara bos sy, saya terpaksa buat drafting..tp itulah client is always our priority

      Padam
    3. maaf tuan, apakah yg tuan maksudkan dengan "lanjutkan ke mahkamah atasan pula secara rayuan'?maknanya fail di lower court dulu, sekiranya gagal buat notis usul lagi yang difailkan di High Court atas alasan untuk merayu..mcmtu ke

      Padam
  6. Sekiranya sudah membuat rayuan ke mahkamah tinggi, atas rayuan HUKUMAN, adakah hukuman akan berubah kepada satu tempoh yg Lebih singkat atau hukuman kekal

    BalasPadam
  7. Assalam tuan,jika bukti tidak kuat adakah hakim akan menolak rayuan dari perayu??

    BalasPadam
  8. assalammualaikum tuan, maaf nak tnya. abg saya telah menjalani hukuman penjara selama 5 tahun dan masih berbaki 5 tahun, ada ke cara untuk mohon pengurangan tempoh hukuman?

    BalasPadam
  9. assalamualaikum tuan,nak bertanya,saya dah di ambil tindakan tat tertib dan dibuang kerja dr pnjawat awam pada januari 2020,boleh ka saya membuat rayuan untuk kembali bertugas,saya di tahan kerja pada 23/2/2016 dan di buang kerja pada januari 2020,harap tuan boleh memberikan saranan dn nasihat,terima kasih tuan

    BalasPadam
  10. Salam Tuan..Mohon pandangan tentang kesalahan Sekyen 39C..Adik saya telah ditangkap dan dimasukkan penjara..Adik saya mengaku tidak bersalah dan makhmah menetapkan hjung bulan Mac tarikh perbicaraan..Saolan saya tuan saya sebagai abang kepada pesalah bolehkah membuat rayuan bagi hukuman yang dikenakan dan apakah prosedur yang perlu saya lakukan tuan..Mohon Pencerahan tuan..

    BalasPadam
  11. Assalam, sy nak tanya. Mshkamah tlh mbuat keputusan membebas dan melepaskan sy dari kes.. Tetapi pihak pendakwa tlh membuat rayuan kepada mahkamah tinggi? Apa yg perly sy lakukan? Bagaimana prosedur yg perlu yg lalui? Adakah perlu perbicaraan semula

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN