ROGOL

Assalamualaikum,

Di Malaysia, mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574), perkataan atau kesalahan rogol ditakrifkan di bawah Seksyen 375 yang menyatakan bahawa:


"375. Rogol.

Seorang lelaki adalah dikatakan melakukan "rogol" jika dia, terkecuali dalam hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan yang termasuk di bawah mana-mana daripada perihal-perihal yang berikut:-

(a) bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;

(b) dengan tiada kerelaan perempuan itu;

(c) dengan kerelaan perempuan itu manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut;

(d) dengan kerelaan perempuan itu manakala lelaki itu ketahui bahawa dia bukan suaminya, dan kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah seorang lelaki yang menjadi atau yang dia percaya menjadi suaminya yang sah di sisi undang-undang atau yang kepadanya dia akan memberi kerelaan;

(e) dengan kerelaannya, jika pada masa memberi kerelaan itu dia tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai apa yang dia memberi kerelaan;

(f) dengan kerelaan perempuan itu, apabila kerelaannya didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan itu atau atas sebab hubungan profesional atau lain-lain hubungan amanah berkaitan dengannya;

(g) sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur enam belas tahun.

Huraian - Kemasukan adalah memadai bagi persetubuhan yang perlu bagi kesalahan rogol.

Keculian - Persetubuhan oleh seseorang lelaki dengan isterinya dengan perkahwinan yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis pada masa itu berkuat kuasa, atau diiktiraf dalam Persekutuan sebagai sah, bukanlah rogol.

Huraian 1 - Seorang perempuan (a) tinggal berasingan dari suaminya di bawah dikri pemisahan kehakiman atau suatu dikri tidak dibuat mutlak; atau (b) yang memperolehi injunksi menyekat suaminya dari melakukan persetubuhan dengannya, hendaklah disifatkan sebagai bukan isteri bagi maksud seksyen ini.

Huraian 2 - Seorang perempuan Islam yang tinggal berasingan dari suaminya dalam tempoh iddah, yang mana akan dihitung mengikut Hukum Syarak, hendaklah disifatkan sebagai bukan isteri suaminya bagi maksud seksyen ini."

Daripada takrifan di atas, jelas bahawa kesalahan rogol adalah tertakluk kepada kemahuan, kerelaan dan juga umur mangsa rogol. 

Jika mangsa berumur di bawah 16 tahun, maka ia kesalahan yang dinamakan sebagai 'statutory rape' atau rogol berkanun, yang membawa maksud samada mangsa rela atau tidak, kerelaan itu tidak relevan. Kesalahan rogol tetap berlaku. Walaupun sepasang kekasih bercinta monyet melakukan hubungan atas dasar suka sama suka. Apabila dibuktikan bahawa perempuan itu masih bawah umur 16 tahun, maka ia tetap menjadi kesalahan jenayah rogol.

Manakala bagi hukuman ke atas kesalahan rogol ini pula adalah berbeza-beza. Apa yang penting ia membawa hukuman penjara yang bolehlah dikatakan sebagai wajib.

Hukuman ini diperuntukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan seperti berikut:

"376. Hukuman bagi rogol.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), (3) dan (4), barang siapa melakukan rogol hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebat.

(2) Barang siapa melakukan rogol ke atas seorang perempuan di bawah mana-mana keadaan berikut:

(a) pada masa, atau segera sebelum atau selepas melakukan kesalahan itu, menyebabkan kecederaan kepada perempuan itu atau kepada mana-mana orang lain;

(b) pada masa, atau segera sebelum atau selepas melakukan kesalahan itu, meletakkannya dalam ketakutan kematian atau kecederaan kepada perempuan itu atau mana-mana orang lain;

(c) kesalahan itu telah dilakukan dalam kehadiran atau di hadapan mana-mana orang lain;

(d) dengan tiada kerelaan perempuan itu, apabila perempuan itu di bawah umur 16 tahun;

(e) sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur 16 tahun;

(f) dengan kerelaannya, apabila kerelaannya diperolehi dengan menggunakan kedudukan kuasanya terhadap perempuan itu atau kerana hubungan profesional atau hubungan amanah lain yang berhubung dengannya;

(g) pada masa kesalahan itu perempuan itu mengandung;

(h) apabila disebabkan atau pada masa perogolan itu, wanita itu menjadi gila;

(i) apabila dia mengetahui yang dia menghidap Human Immuno-Deficiency Virus (HIV)/Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS) atau apa-apa penyakit yang boleh berjangkit melalui seks dan virus atau penyakit itu adalah atau mungkin boleh berjangkit kepada wanita itu;

(j) apabila disebabkan atau pada masa perogolan itu, wanita itu membunuh diri; atau

(k) apabila dia mengetahui tentang kecacatan mental, gangguan emosi atau kecacatan fizikal wanita itu pada masa pelakuan jenayah itu,

hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

(3) Barang siapa melakukan rogol ke atas seorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang dari 10 sebatan.

(4) Barang siapa semasa melakukan atau percubaan melakukan rogol menyebabkan kematian perempuan yang dirogol itu atau yang ke atasnya percubaan rogol itu dilakukan hendaklah dihukum mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari 15 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang dari 10 sebatan."

Selain senario-senario di atas, terdapat lagi kesalahan rogol atau seksual yang lain, seperti suami menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan, rogol berkumpulan, sumbang mahram, persetubuhan luar tabii dengan haiwan, persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan sebagainya.

Bagi kesalahan rogol berkumpulan, ia dinyatakan di bawah Seksyen 375B seperti berikut:

"375B. Rogol berkumpulan.

Barang siapa yang melakukan rogol berkumpulan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Huraian - Jika seorang wanita dirogol oleh seorang atau lebih dalam suatu kumpulan orang yang bertindak bagi mencapai niat bersama mereka, setiap seorang daripada mereka hendaklah disifatkan telah melakukan rogol berkumpulan mengikut pengertian seksyen ini."

Pendapat saya, hukuman bagi rogol berkumpulan ini agak ringan berbanding yang lain. Ini kerana hukuman penjara minimum adalah 10 tahun dan maksimum selama 30 tahun, dan tidak pula memperuntukkan sebatan rotan.

Sedangkan rogol berkumpulan adalah jenayah yang amat serius, amat hina dan kadangkala melibatkan perbuatan keganasan oleh pelaku kepada mangsa. Ini juga adalah perlakuan yang amat jijik dan diluar batasan manusia yang waras dan berakal. Maka, hukuman yang berat sedikit patut disediakan oleh undang-undang bagi membendung jenayah berat ini.

Sepatutnya hukuman penjara minimum adalah 15 tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan rotan.

Ini sebagai pengajaran yang amat berguna kepada pelaku, malah juga sebagai peringatan kepada orang lain di luar sana khasnya kepada yang ramai kawan atau 'geng' daripada melakukan jenayah terkutuk ini.

Parlimen Malaysia, khususnya para legislatif dan para Yang Berhormat-Yang Berhormat patut peka perkara ini. Mangsa bukan sahaja akan trauma seumur hidup, malah akan membawa stigma yang amat negatif terhadap dirinya dalam masyarakat andai 'rahsia' sebegini diketahui. Jika hukuman minimum 15 tahun dikenakan, sekurang-kurangnya ia merawat sedikit luka yang tentunya amat sukar sekali untuk sembuh.

Akhir sekali, kesalahan kes rogol adalah dalam bidangkuasa Mahkamah Sesyen untuk membicarakannya. Setakat ini belum ada kes, setahu saya, yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas kesalahan Seksyen 376 (4). Kes-kes yang ada sebelum ini adalah rogol dan bunuh dan dibicarakan sebagai kes bunuh di Mahkamah Tinggi, dan dalam masa yang sama kesalahan rogol juga dibicarakan bersama.

Kes rujukan adalah kes rogol dan bunuh Canny Ong, yang mana pelakunya, Ahmad Najib Aris telah didapati bersalah membunuh dan merogol mendiang Canny Ong dan seterusnya dijatuhi hukuman mati serta penjara bagi kesalahan rogol.

Hukuman gantung sampai mati terhadap Ahmad Najib telah dijalankan pada 23 September 2016 yang lalu.

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI