PEGAWAI SAINS KIMIA BOLEH BERI KETERANGAN DI MAHKAMAH

Klik Gambar untuk Melawat Sumber Berita
Ini adalah berita yang baik bagi semua orang, lebih-lebih lagi kepada orang-orang yang dituduh di mahkamah-mahkamah jenayah kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam badan sendiri atau lebih juga dikenali sebagai 'positif air kencing'.

Di Sabah, khasnya di Kota Kinabalu, melalui pengalaman sendiri, lebih 80% kes melibatkan penyalahgunaan dadah, samada kerana memiliki atau kerana mengambil dadah. Dan di sini, dadah yang paling popular adalah bersifat sintetik iaitu syabu atau nama popularnya 'ice' manakala nama saintifiknya amphetamine atau methamphetamine.

Ia adalah satu kesalahan di bawah seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan, bolehlah dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun (sila ambil maklum bahawa peruntukan ini tidak menyediakan hukuman 'kedua-duanya sekali', bermakna mahkamah perlu memilih samada ingin memberikan hukuman denda atau penjara sahaja. Namun, jika gagal bayar denda, tentulah akibatnya akan masuk penjara juga). Dan atas sebab sabitan itu, mengikut seksyen 38B Akta yang sama, seseorang itu perlu diletakkan di bawah pengawasan polis atau agensi yang berkaitan selama tempoh tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih 3 tahun mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Kalau dahulu, peruntukan seksyen 15 ini mengambil masa yang sekejap sahaja untuk diselesaikan memandangkan ujian air kencing hanya dijalankan oleh ahli sains atau forensik di hospital-hospital kerajaan. Namun, atas sebab interpretasi statut undang-undang, maka timbul persoalan atau kekhilafan undang-undang bahawa pegawai sains ini tidak tergolong dalam kategori seksyen 399 Kanun Prosedur Jenayah dimana air kencing berkenaan sepatutnya dianalisa oleh seorang pegawai kimia.

Atas sebab itu pada tahun ini, banyak kes yang tertunggak lebih lama kerana menunggu hasil analisa Jabatan Kimia Malaysia yang diketahui umum mempunyai kakitangan yang tidak mencukupi serta peralatan yang terhad. Bayangkan di negeri Sabah, khususnya di Bahagian Pantai Barat hanya ada satu sahaja Jabatan Kimia di Rose Garden Jalan Penampang dan mereka menjalankan ujian bagi beberapa daerah yang melibatkan beratus-ratus kes. Itu belum dikira lagi untuk analisa lain seperti kes-kes milikan dan pengedaran dadah yang juga perlu diberikan keutamaan.

Dengan itu masa menunggu hasil ujian atau laporan kimia dikeluarkan bagi kes 'simple' sebegini pada masa sekarang boleh mencecah sehingga 5 hingga 6 bulan!

Alhamdulillah, apabila membaca berita online hari ini, dikhabarkan pindaan telah dibuat terhadap Akta Dadah Berbahaya melalui satu Rang Undang-undang Akta Dadah Berbahaya Pindaan 2013 yang mana, selepas ia berkuatkuasa, seseorang pegawai sains di hospital kerajaan boleh memberikan perakuan atau laporan berhubung ujian sampel air kencing ini dan boleh diterima masuk sebagai keterangan di mahkamah. Maka dengan ini, tempoh masa menunggu kes-kes seksyen 15 ini akan dapat disingkatkan dan dipendekkan semula seperti sebelum ini.

Maka akan kuranglah juga kesesakan di penjara akibat tahanan reman yang terlalu lama, jikalau seseorang itu gagal membayar jaminan atau mungkin disebabkan tidak ditawarkan jaminan.

Ini berita baik dan diharap pihak berwajib akan mengambil langkah drastik bagi memastikan pindaan ini berkuatkuasa dengan kadar segera. Sekurang-kurangnya, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-undang ini secara sebulat suara, itu adalah satu tanda yang positif.

Ulasan

  1. Salam... Saya nk tnya pndapat tentang kes saya.. Saya sekarang sedang tggu dibicara untuk kes dadah kali yg ke 3.. Jika kali ke 3 ini keputusan kimia tidak juga dapatdijelaskn di mhkmah apa perlu saya lakukan? T kasih

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN