SYAITAN BERTOPENG MANUSIA

Assalamualaikum,

Membaca berita online pagi ini rasa amat marah dan menyedihkan.

Link berita asal di SINI.
 

Bayangkan seorang bapa (walaupun bapa tiri) yang diamanahkan oleh Allah untuk menjaga dan membimbing isteri dan anak tiri tetapi sanggup mengkhianati amanah itu dengan mengambil kesempatan pula merogol anak yang tidak berdosa.

Seawal umur 12 tahun anak ini telah diragut dan disentap kehormatan diri dan masa depannya oleh manusia durjana ini.

Sebanyak 105 kali sejak 2 tahun lalu! Subhanallah. Purata seminggu sekali dirogolnya budak ini.

Dan akhirnya Mahkamah telah mensabitkannya bersalah di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan atas pengakuan bersalahnya sendiri bagi semua 105 pertuduhan itu kerana melakukan sumbang mahram dan dijatuhkan hukuman penjara minimum 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan dengan sebatan.

Dan Mahkamah perintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan, iaitu one after another. Dengan kata lain, tertuduh ini akan meringkuk di dalam penjara sepanjang hayatnya, bahkan lebih lagi iaitu selama 1,050 tahun, melebihi hayat manusia zaman dahulu.

Dan oleh kerana wujudnya Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan bahawa sebatan itu tidak boleh melebihi 24 sebatan bagi orang dewasa atau 10 sebatan bagi pesalah muda (umur 18-21 tahun) sungguhpun bertentangan dengan mana-mana undang-undang bertulis.

Ini bermakna, walaupun tertuduh mungkin dikenakan sebanyak 105 kali sebatan rotan, tapi hakikatnya dia hanya akan menjalani hukuman 24 kali sebatan rotan.

Dan demi Allah, hukuman 3 kali sebatan rotan pun sudah mengerikan bagi mereka yang pernah melihat atau mengalami sendiri hukuman sebatan ini, inikan pula 24 kali sebatan.

Moga ia setimpal dengan kesalahan yang dilakukan olehnya dan diharapkan dia akan insaf dan bertaubat dengan hukuman dunia ini.

Dan akhirnya moga hukuman ini juga menjadi pengajaran kepada masyarakat dunia agar tidak terus menjadi syaitan bertopengkan manusia.

Wassalam.

P/S: Mungkin kes ini boleh dimasukkan ke dalam Malaysian Book of Records bagi hukuman pemenjaraan yang paling lama kerana setahu saya inilah hukuman penjara paling lama pernah direkodkan di Malaysia. Betulkan pengetahuan ini jikalau silap di ruangan komen.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN