PROVOKASI MELAMPAU

Assalamualaikum,

Pagi ini mendapat teks dari seorang kawan bertanyakan seperti berikut:

"Semasa AGM sekolah anak, ada seorang lelaki yang bertanyakan soalan provokasi sehingga membuatkan beberapa orang menjadi marah kerana rasa difitnah dan dituduh melakukan jenayah, hingga berlaku jerit menjerit dan akhirnya berlaku pergelutan.

Apakah ada kesalahan yang dilakukan oleh orang ini dengan bertanyakan soalan berbentuk provokasi?"

Pendapat saya:

Ya, sememangnya orang yang mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan keresahan atau kemarahan orang lain telah dianggap melakukan suatu jenayah.


Ia termaktub di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang bertajuk "dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan."

Samada kata-kata 'provokasi' itu berbentuk soalan atau penyataan, sekiranya ia telah mengaibkan mana-mana orang sekalipun hingga mendatangkan bangkitan-marah kepada mana-mana orang, dan dia tahu bahawa kata-katanya yang membangkitkan kemarahan itu boleh memecahkan keamanan awam, maka dia telah melakukan kesalahan yang apabila disabitkan, boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Saya telah nasihatkan kawan saya ini untuk membuat laporan polis dan sekiranya ada rakaman video atau audio dibuat, bolehlah serahkan terus kepada pegawai penyiasat kes.

Kawan saya kata hanya ada rakaman audio, rakaman video pula dirakamkan oleh si pelaku itu.

Nasihat saya lagi tidak mengapa kerana pegawai penyiasat masih boleh mengumpulkan semua bukti yang ada, samada melalui saksi atau melalui OYDS sendiri.

Dan mengikut Jadual Pertama Kanun Prosedur Jenayah, kes sebegini adalah kes waran yang mana pihak polis tidak boleh menangkap tanpa waran, manakala kes ini boleh dijamin dan boleh juga dikompoun oleh mangsa atau orang yang dihinakan, berdasarkan Seksyen 260 Kanun Prosedur Jenayah.

Contoh kes yang boleh dijadikan pembacaan lanjut ada di SINI.

Wassalam.


Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PERIHAL JAMINAN MAHKAMAH

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH