KURSUS IJAZAH SARJANA MUDA UNDANG-UNDANG DAN PROSPEK KERJAYA

Assalamualaikum,

Blog ini menerima emel daripada seorang pembaca yang bertanyakan mengenai kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (ringkasnya “LLB”) dan perjalanan untuk menjadi seorang peguam.

Sumber gambar di SINI

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Adik Fatin kerana bertanyakan soalan yang sangat baik untuk dikongsikan dalam posting khusus untuk manfaat pembaca yang lain.

Emel tersebut berserta jawapan dan saranan saya ada juga disertakan, adalah seperti berikut:

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

J: Waalaikumussalam wbt.

Encik/cik/tuan/puan,

Saya merupakan pelajar lepasan SPM 2019. Saya berminat untuk mengambil course ini di universiti. Walau bagaimanapun,ada beberapa perkara yang saya fikirkan dan menyebabkan saya berasa ragu dengan pilihan saya.

J: Syabas dan tahniah kerana adik mempunyai minat dalam bidang perundangan walaupun mungkin terdapat sedikit keraguan. Didoakan moga adik memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM 2019 yang mana keputusan telah pun dikeluarkan pada hari ini.

Antaranya ialah:
-chambering@latihan dalam kamar selama 9 bulan. Adakah pelajar sendiri yang mencari syarikat untuk menjalankan proses chambering ataupun pihak universiti sudah tentukan? Jika pelajar sendiri,adakah pencarian syarikat untuk proses chambering itu sendiri agak sukar dan menjadi cabaran untuk bakal-bakal peguam?

J: Chambering atau latihan dalam kamar memang benar adalah 9 bulan di Semenanjung Malaysia dan 12 bulan bagi Sabah dan Sarawak. Sebelum itu kena tahu perbezaan antara chambering ini dengan latihan industri atau praktikal, iaitu chambering adalah bermula selepas sahaja graduan lulusan LLB telah tamat pengajian di universiti, manakala latihan industri atau praktikal pula adalah salah satu syarat untuk lulus LLB dan perlu dilakukan semasa dalam cuti semester dengan kelulusan pihak universiti. Untuk chambering, bakal pupil atau pelatih itu hendaklah mencari sendiri firma guaman yang layak untuk melengkapkan proses chambering tersebut. Bermaksud, firma tersebut perlulah mempunyai seorang master atau peguam senior yang telah beramal secara aktif lebih daripada 7 tahun.

Pencarian firma untuk chambering memang selalunya agak mencabar atas beberapa faktor. Pertama, bidang amalan sesebuah firma guaman itu, contohnya jikalau firma itu hanya menjalankan amalan litigasi, maka pelatih tidak akan mendapat ilmu dan pendedahan yang cukup dalam bidang conveyancing pula. Begitu juga sebaliknya, jikalau firma itu hanya menjalankan amalan conveyancing, maka pelatih tidak akan mendapat manfaat ilmu bagi proses litigasi di mahkamah. Kedua, faktor elaun pelatih. Pada masa ini tiada kadar yang tetap ditentukan oleh undang-undang bagi firma guaman yang mengambil pelatih dalam kamar. Ini kerana pelatih bukanlah dianggap sebagai pekerja firma tersebut, menyebabkan tiada skala yang tetap dalam menentukan faktor elaun tetap. Sebab itu kadar ini berbeza dari satu firma kepada firma yang lain. Inilah antara cabaran mencari firma guaman untuk chambering, jadi terpulang kepada pelatih untuk menimbangkan faktor-faktor yang ada.


-adakah proses chambering ini termasuk dalam semester pengajian ijazah undang-undang?

J: Proses chambering ini tidak termasuk dalam semester pengajian LLB, sebab itu saya mulakan dengan membezakan antara chambering dengan latihan industri di atas.

-adakah proses untuk bergelar seorang peguam itu memakan masa yang lama? Boleh pihak encik/cik/tuan/puan ceritakan perjalanan untuk bergelar peguam?

J: Proses untuk bergelar seorang peguam memang mengambil masa yang agak lama dan ia berbeza antara graduan lulusan universiti tempatan dan universiti luar negara. Saya mulakan dengan graduan lulusan universiti tempatan dulu ya. 

Bagi seorang lepasan SPM, sebelum memulakan pengajian peringkat LLB, perlu mengikuti program matrikulasi atau asasi terlebih dahulu. Pengalaman saya ialah melalui program matrikulasi selama 2 tahun di universiti tempatan (walaupun saya berjaya menghabiskan satu setengah tahun sahaja). Selepas program ini selesai, barulah melangkah ke program Ijazah Sarjana Muda selama 4 tahun pula. Ini adalah jangkawaktu standard bagi program ijazah. Selepas berjaya menghabiskan tempoh tersebut, maka proses chambering pula bermula. Ini bermakna, sekiranya semuanya berjalan lancar, seseorang itu akan bergelar sebagai peguam setelah menghabiskan tempoh 6 tahun dan 9 bulan barulah layak bergelar seorang peguam.

Bagi graduan dari universiti luar negara, biasanya mereka akan menghabiskan LLB dalam tempoh 3 tahun, kemudian mengambil pula Sijil Amalan Guaman atau Certificate of Legal Practice (CLP) sebagai syarat sebelum boleh memulakan chambering. Biasanya CLP ini akan dapat dihabiskan dalam tempoh 1 tahun, bergantung kepada kelulusan. Sekiranya gagal, maka kenalah resit atau repeat mana-mana atau keseluruhan CLP tersebut. Untuk maklumat lanjut bolehlah layar laman web Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang di SINI

Selepas semuanya peringkat ini selesai, maka bolehlah memfailkan petisyen untuk didaftarai (admission) sebagai peguambela dan peguamcara. Proses ini akan dibahaskan dalam posting akan datang, insya Allah.

-pada pandangan encik/cik/tuan/puan,andailah saya dapat offer belajar law di overseas,wajar ke saya terima? Atau saya patut belajar di dalam negara sahaja?

J: Untuk belajar di oversea atau local universiti saja, ia adalah pilihan tuan badan kerana banyak faktor yang perlu diseimbangkan. Kalau tanya pendapat saya, adalah lebih baik mengambil LLB di universiti tempatan saja kerana pada masa ini kualiti LLB tempatan sangat baik dan setanding dengan universiti luar negara. Selain itu, ia juga lebih menjimatkan dari segi kos sara hidup dan perbelanjaan berbanding berada di luar negara. Malah, keperluan untuk mengambil semula peperiksaan CLP juga antara faktor yang sepatutnya difikirkan sebelum menyambung pengajian di luar negara kerana untuk lulus peperiksaan CLP ini bukanlah mudah. Jika belajar di universiti tempatan maka tidak perlu lagi untuk menduduki peperiksaan ini.

-apa peluang pekerjaan yang saya dapat ceburi apabila memegang ijazah undang-undang?

J: Sebagai pemegang LLB, banyak peluang pekerjaan yang boleh diceburi. Selain daripada bidang kepeguaman, pemegang ijazah LLB juga boleh bekerja dalam sektor kerajaan iaitu sebagai pegawai undang-undang yang boleh berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwaraya, Peguam Persekutuan dan lain-lain, juga boleh berkhidmat di Mahkamah sebagai Majistret, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi dan boleh dinaikkan pangkat sehingga Hakim Mahkamah Sesyen. Sektor swasta juga banyak peluang pekerjaan seperti in-house legal counsel syarikat atau badan berkanun dan lain-lain bidang perundangan yang sesuai. Jika tidak berminat bidang kepeguaman, pemegang LLB juga boleh menceburi bidang akademik dengan menjadi pensyarah, guru dan pegawai penyelidik. Secara peribadi, saya ada juga rakan-rakan yang mempunyai LLB tetapi menceburkan diri dalam bidang perniagaan, ada yang menjadi artis, ada juga jadi DJ Radio dan lain-lain kerjaya yang tidak berkaitan dengan perundangan.

Saya harap pihak encik/cik/tuan/puan dapat menjelaskan kekeliruan saya ini. Perkara-perkara di atas menjadi pertimbangan buat diri saya sebab kalau boleh,saya nak ceburi course yang mudah untuk mendapat pekerjaan. Saya takut tersilap langkah.

J: Adakah bidang ini mudah untuk mendapatkan pekerjaan? Sebagai profesional, kerjaya bidang perundangan adalah sangat luas, hanya saja “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Yang penting ialah, dalam proses menimba ilmu, kita perlu bertanya dan jujur kepada diri sendiri apa sebenarnya yang kita mahu atau impikan dan apakah bidang yang kita minati dan boleh memberikan tumpuan sepenuhnya. Contohnya, kalau kita lebih berminat dalam bidang sains, lebih baik jujur pada diri sendiri untuk meneruskan bidang dalam bidang sains. Dan kalau kita mempunyai minat untuk membaca dan menghafal fakta tanpa memikirkan soal matematik, mungkin bidang perundangan adalah lebih sesuai. Insya Allah, jikalau kita berfikiran sebegini, kita tidak akan tersalah langkah.

Terima kasih encik/cik/tuan/puan. Jasa pihak encik/cik/tuan/puan amat saya hargai.

Sama-sama. Diharapkan pencerahan yang sedikit ini dapat menghilangkan keraguan Adik Fatin dalam membuat pilihan yang tepat. Diucapkan selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak. Mohon maaf jika ada yang terkurang atau tersalah kata.

Gambar sekadar hiasan. Sumber di SINI

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN