PENIPUAN DALAM BERURUSAN MELIBATKAN PEJABAT KERAJAAN

Assalamualaikum,

Saya pernah menulis tentang penipuan melibatkan scammer di SINI yang dilaporkan di dalam akhbar tempatan.

Malah, scammer ini juga sangat berani apabila menyamar sebagai pegawai polis hingga sebagai pegawai mahkamah seperti yang saya tulis di SINI.

Dan terkini saya mendapat berita bahawa terdapat juga 'Little Napoleon' dalam jabatan atau agensi kerajaan yang bertindak menipu orang awam dengan cara berjanji akan menguruskan urusan mereka dengan kadar segera dengan bayaran sejumlah wang tertentu.

Ini RASUAH.

Tetapi ramai juga yang termakan janji palsu Little Napoleon ini kerana mereka mungkin terdesak untuk mendapatkan atau mempercepatkan urusan mereka.

Saya berikan contoh maklumat yang diterima.

Sebuah Pihak Berkuasa Tempatan daerah di Sabah. Daerah mana biarlah dirahsiakan kerana saya bukan pengadu, tetapi orang yang mendapat maklumat sahaja. Maklumat ini tidak boleh dipakai di Mahkamah sebab ia adalah keterangan cakap dengar (hearsay).

Apa yang berlaku dengan PBT ini? Terdapat kakitangan bertaraf kerani sahaja yang bertanggungjawab menerima atau memproses penerimaan dokumen bagi permohonan lesen berniaga atau lesen-lesen lain yang mereka berkuasa keluarkan. Selepas itu, mereka bertanggungjawab untuk membawa permohonan itu kepada pegawai yang berkenaan untuk pertimbangan dan kelulusan.

Tetapi apa yang mereka buat? Kerani ini akan mengambil butiran pemohon tadi dan selepas waktu pejabat, bermulalah 'kerja luar' ini dilakukan. Kerani ini akan berhubung dengan pemohon tadi dan akan berikan seribu satu alasan bahawa permohonan tadi ada masalah, permohonan tadi akan lambat diproses dan sebagainya. Cuma, semua masalah itu dapat diatasi jikalau bayaran dibuat.

Nahhh.

Inilah dia 'Little Napoleon'. Apa yang lebih teruk adalah, kerani ini pula memberitahu pemohon yang innocent ini bahawa bayaran bukan saja untuk dirinya, tetapi untuk orang lain yang terlibat termasuklah pegawai yang meluluskan! Entah betul atau tidak terdapat pegawai yang bersekongkol tidak tahulah, walaupun tidak mustahil, tetapi inilah dia Little Napoleon yang bukan sahaja tamak, malah memfitnah orang lain yang kononnya turut serta dengan kegiatan haramnya ini.

Pemohon pula menjadi serba salah, jikalau tidak diturutkan, takut-takut permohonannya akan ada masalah pula. Jikalau diturutkan, melayanglah duit beberapa ribu hanya untuk urusan bernilai RM25 sahaja. Dilema!

Contoh lain. Juga di Sabah. Urusan daftar lewat sijil lahir. Hah, ini urusan yang sangat popular di kalangan warga Sabah. Jabatan apa yang terlibat saya tidak perlulah maklumkan, tetapi ada beberapa jabatan yang seharusnya terlibat dalam proses ini.

Apa yang berlaku?
Sumber gambar di SINI

Sama juga dengan contoh PBT itu. Pemohon datang ke pejabat kerajaan untuk membuat permohonan daftar lewat. Kemudian, setelah borang diterima oleh kerani, maka akan adalah Little Napoleon yang akan berhubung dengan pemohon-pemohon innocent ini untuk mendapatkan 'duit lebih' secara tidak halal.

Inilah penyakit yang berlaku dalam jabatan kerajaan hatta ada yang berani membuat perkara terkutuk ini secara terbuka terutama di daerah kecil.

Apa jua urusan kerajaan kena hulur duit, duit, duit. Kalau dulu kena hulur pada runner, sekarang ini hulur pada Little Napoleon yang bukan saja memburukkan namanya sendiri, malah menjejaskan imej dan reputasi jabatan kerajaan.

Kadang saya ada bertanya juga adakah jabatannya tidak tahu? Jawapan yang diterima juga mengejutkan. Pertama, kalaupun ketua jabatan tahu, tetapi disebabkan tiada aduan rasmi dari pengadu, maka perkara itu hanyalah 'khabar angin' saja. Kedua, jikalau pun ada aduan, kata orang, paling-paling pun Little Napoleon ini cuma digantung kerja atau tahan gaji saja kerana proses membuang pekerja awam ini melibatkan banyak proses dan prosedur. Atau paling teruk pun, pindahkan saja 'Little Napoleon' ini ke jabatan atau daerah lain untuk menutup kes.

Gila.

Apakah sebab kes sebegini tidak dilaporkan? Kerana ia sepatutnya dilaporkan oleh pengadu itu sendiri. Saya ulangi apa saya tulis di atas. Orang seperti saya hanya menerima maklumat dan maklumat itu hanya dapat disahkan oleh pengadu atau mangsa kes, bukan orang yang menerima maklumat kerana sehingga ia disahkan melalui keterangan pengadu sendiri, semua maklumat itu tidak boleh digunakan pun dalam Mahkamah.

Memang betul aduan boleh dibuat kepada SPRM untuk menyiasat maklumat ini, tetapi andai kata pengadu tidak memberikan kerjasama, adakah siasatan dapat diselesaikan? Agak-agak Timbalan Pendakwaraya akan berikan arahan tuduh kepada Little Napoleon sekiranya pengadu tidak memberikan kerjasama?

Dan mengapa pengadu tidak mahu memberikan kerjasama? Ia berbalik kepada tujuan urusannya tadi. Maka pengadu takut, risau dan bimbang jikalau urusannya akan terjejas akibat tidak mengikut arahan Little Napoleon tadi.

Dalam situasi sebegini, saya sudi untuk memberikan nasihat berikut kepada orang awam:

1. Jangan sesekali memberikan wang kepada mana-mana orang atas urusan di jabatan kerajaan. Bila anda berikan wang, bermakna anda pemberi rasuah dan ini satu kesalahan serius.

2. Apabila berdepan dengan Little Napoleon ini, anda ada beberapa pilihan. Pertama, laporkan terus kepada SPRM. Jangan risau, sebagai saksi, anda akan dilindungi oleh undang-undang di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Bahkan, urusan anda tadi tidak akan sedikit pun terjejas atas sebab laporan ini kerana yang dilaporkan hanyalah orang yang memproses permohonan. Proses itu akan diambil alih oleh orang lain yang lagi jujur dari Little Napoleon tadi.

3. Jikalau tidak tahu untuk terus kepada SPRM, laporkan saja kepada pihak Polis di Balai. Nanti pihak Polis akan rujuk aduan ini kepada pegawai SPRM yang berkenaan. Tetapi risikonya membuat laporan polis ini adalah dikhuatiri maklumat akan bocor. Lebih baik terus saja laporkan kepada pihak SPRM.

4. Jikalau malas sangat untuk ke Balai Polis atau Pejabat SPRM, boleh laporkan aduan melalui online. Ya, sekarang kan zaman canggih. Boleh failkan laporan kesalahan rasuah di SINI.

5. Apabila dihubungi oleh Little Napoleon ini berhubung bayaran yang diminta, hubungilah balik jabatan berkenaan dan terus bercakap dengan pegawai atasannya untuk minta pengesahan samada betul atau tidak ada bayaran tambahan dikenakan terhadap urusan berkaitan. Jikalau rajin sikit, tuliskan saja surat rasmi kepada Ketua Jabatan berkenaan untuk pengesahan lanjut.

6. Jangan berikan alasan 'di daerah kami tiada pejabat SPRM. Kalau kami lapor di KK atau di daerah terdekat, kami kena keluarkan kos lagi'. Dengan aduan melalui online, malah anda juga boleh berhubung melalui telefon dengan pejabat SPRM terdekat, maka alasan itu tidak boleh dipakai. Hubungi SPRM dan apabila mereka menerima maklumat, pegawai SPRM sendiri akan turun ke daerah anda. Tidak percaya? Cubalah tanya SPRM.

7. Jangan terus bersekongkol dengan Little Napoleon ini kerana fikirkanlah bahawa bukan anda seorang saja mangsa perbuatan terkutuk ini, malah ada ramai lagi di luar sana yang senasib dengan anda dan jikalau anda diamkan saja, maka anda bukan saja menggalakkan perlakuan rasuah ini dilakukan, malah Little Napoleon ini juga boleh menjerat anda sekali sebagai pemberi rasuah dan masuk ke dalam penjara bersama-samanya. Adakah itu yang anda mahu?

8. Akhir sekali, jangan ingat dengan memberikan rasuah kepada Little Napoleon ini urusan anda akan lancar dan selesai. Mungkin ada mangsa yang memang lancar urusannya sebab dokumen yang dikemukakan memang lengkap. Tetapi, jikalau anda tidak dapat kemukakan dokumen yang dikehendaki dalam urusan itu dan anda membayar wang kepada Little Napoleon, maka sedarlah bahawa bukan saja wang anda melayang, anda juga sudah tertipu olehnya. Little Napoleon tiada kuasa untuk meluluskan sesuatu permohonan. Pegawai atasannya yang ada kuasa. Jadi, berhentilah dari memberikan rasuah dan elakkanlah dari terus tertipu.

Ingat, pemberi dan penerima rasuah adalah dilaknat Tuhan.

Wassalam.

Penafian: Saya terima maklumat kedai kopi saja. Pertimbangan saya maklumat itu terlalu umum dan tidak layak untuk disalurkan kepada SPRM. Pun begitu, sebarkan kepada semua pakcik dan makcik di kampung agar mereka tahu hak mereka sebagai orang awam yang terlibat dengan aktiviti Little Napoleon ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN