RELEVANKAH KEMENTERIAN UNDANG-UNDANG SABAH?

Assalamualaikum,

Masih belum terlewat untuk bakalpeguam mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa di Bulan Ramadhan al Mubarak bagi tahun 1439H ini.

Ramadhan Kareem.

Dan masih juga belum terlewat bakalpeguam ucapkan Tahniah dan Syabas kepada Parti Warisan Sabah yang diketuai oleh YAB Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang telah memenangi Pilihanraya Umum ke-14 bersama Pakatan Harapan Sabah pada 9 Mei 2018 seterusnya telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-15 pada 12 Mei 2018.

Sungguhpun pada awalnya kemungkinan wujudnya krisis Perlembagaan terhadap pelantikan tersebut, namun sehingga hari ini ia telah nampak sedikit reda. Mungkin disebabkan oleh menghormati bulan yang mulia ini.

Jata Rasmi Negeri Sabah

Umum mengetahui bahawa YAB Ketua Menteri telah melantik para Jemaah Menteri dan Pembantu Menteri Negeri Sabah bagi menerajui Kementerian masing-masing. 

Apa yang menarik ialah wujudnya satu daripada tiga Kementerian baharu, iaitu Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri atau Ministry of Law and Native Affairs. Kementerian ini diterajui oleh ADUN Pantai Manis, YB Datuk Aidi Mokhtar dan Pembantu Menteri iaitu YB Uda Sulai dan YB Jane Lasimbang.

YB Datuk Aidi Mokhtar merupakan seorang bekas Hakim Mahkamah Syariah. Uda Sulai pula merupakan mantan Pegawai Daerah Tuaran dan Jane Lasimbang, mantan Pesuruhjaya SUHAKAM dan Pengerusi BERSIH Sabah.

Sebagai seorang pengamal undang-undang, bakalpeguam melihat keputusan mewujudkan satu kementerian khusus berkaitan undang-undang adalah langkah sangat bijak dan terbaik kerajaan ini, berdasarkan alasan-alasan dan sebab berikut:

1. Ia menjadi sebagai batu loncatan kepada perubahan undang-undang lapuk, usang dan ditelan zaman. Negeri Sabah terlalu banyak undang-undang lapuk yang memerlukan perhatian khusus seorang Menteri penuh agar ia boleh dikemaskini dengan cepat dan efisien berbanding jika ia diletakkan sebagai salah satu portfolio Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang mungkin hanya bertaraf sebagai ketua jabatan sahaja. Apatah lagi Menteri ini dibantu oleh 2 orang Pembantu Menteri, ia menjadi lebih ampuh dan kukuh dalam menjadikan undang-undang Negeri ini lebih up to date dan tidak ketinggalan zaman. Apakah contoh kepada undang-undang lapuk ini? Anda bolehlah lihat sendiri di portal Sabah Lawnet dan baca sendiri undang-undang berkenaan di SINI.

2. Ia juga menjadi pemangkin kepada lebih banyak kewujudan perjawatan dalam bidang perundangan di Negeri Sabah, seperti Pegawai Penyelidik Undang-Undang, Pegawai Undang-Undang di setiap jabatan dan kementerian di Negeri Sabah dan sebagainya. Sebelum ini undang-undang Negeri hanya dikuatkuasakan oleh Jabatan Peguam Besar Negeri yang mempunyai hanya beberapa orang pegawai sahaja, mungkin atas kekangan peruntukan kewangan atau perjawatan yang terhad, sedangkan saban tahun ramai graduan anak jati Sabah yang berjaya mendapat ijazah dalam bidang perundangan.

3. Kementerian ini juga boleh menjadi penggerak kepada jalinan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan dengan mewujudkan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaysia Sabah. Wah, alangkah bagusnya jika ini dapat direalisasikan, maka anak-anak jati Sabah tidak perlu lagi ke luar negara atau ke Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Lagi 'cun' kalau ia dapat ditambah dengan kursus atau bidang pengkhususan Undang-Undang Anak Negeri agar anak jati Negeri Sabah dapat mengetahui undang-undang Anak Negeri dengan lebih mendalam hingga seterusnya dapat memperkasakan undang-undang ini, malah boleh menjadi Peguam yang mengamalkan undang-undang Anak Negeri. Selama ini orang Sabah hanya tahu 'sogit', tapi majoriti tidak tahu apa itu sebenarnya 'sogit', penguatkuasaannya macamana, bagaimana ia diperintahkan, dan antara satu suku dengan suku lain ia sebenarnya juga adalah berbeza. Maka, inilah peranan Kementerian baharu ini sebagai 'booster' bagi melahirkan pengajian peringkat tinggi dalam bidang perundangan.

4. Secara peribadi, bakalpeguam ingin melihat agar pada setiap kali persidangan DUN Sabah, sekurang-kurangnya 5 hingga 10 rang undang-undang dapat dibentangkan bagi penggubalan atau pembatalan undang-undang lapuk serta pengenalan kepada undang-undang baharu. Contoh undang-undang lapuk yang bakalpeguam harap dapat diambil perhatian oleh Kementerian baharu ini adalah seperti Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah (Cap 123), terutamanya dalam isu pengendorsan Sijil Lahir Daftar Lewat; iaitu isu yang membelenggu ramai anak-anak jati Negeri ini hingga mengakibatkan mereka ditakrifkan sebagai 'anak tanpa negeri' atau Stateless hingga ada juga yang dikenali sebagai pendatang asing tanpa izin walaupun mereka ini lahir di Negeri Sabah, membesar di Negeri Sabah, tidak tahu atau tidak pernah pergi ke negara lain selain Negeri Sabah, belajar di Negeri Sabah, tanah tumpah darahnya di Negeri Sabah, alih-alih hanya disebabkan Sijil Lahir Daftar Lewat, dianggap pula sebagai pendatang asing atau PATI. Adilkah begitu?

Bakalpeguam telah memperkatakan isu daftar lewat sijil lahir ini sudah lama. Boleh baca lanjut di SINI, SINI, SINI dan di SINI.

Kesimpulannya, Kementerian baharu ini amat relevan, kena pada masanya dan sangat sesuai ditubuhkan pada masa sekarang. Kita telah memasuki era kemajuan, era digital dan era Revolusi Industri 4.0, namun undang-undang Negeri kita ini majoritinya adalah undang-undang British kolonial yang masih digunapakai sehingga hari ini tanpa diambil berat oleh Kerajaan terdahulu.

Syabas kepada YAB Ketua Menteri atas keprihatinan ini. Mungkin kita boleh lihat apakah pembaharuan yang akan dibawa oleh Kementerian ini... mungkin dalam 100 hari selepas pelantikan Jemaah Menteri ini pada 16 Mei 2018 yang lalu?

Wassalam.

Ulasan

  1. salam, sy accident org langgar kete sy dan kami sudah buat report polis. Tp dlm report polis, sy tulis sy drive instead of my husband sbb tu kereta saya. sy tidak tahu sape yg patut report jadi memandangkan keretu itu kepunyaan saya, sy yg report. tetapi polis mahu mendakwa sy sbb palsukan laporan polis. Saya sudah explain dekat polis bahawa mmg sy tidak tahu dan kurang arif tentang report. tetapi polis tetap mahu saman sy die court tanpa alasan kukuh. lesen sy dan suami ok, roadtax ok, insurance x boleh claim. memang tidak ada motif utk sy report palsu. sekarang polis asyik ganggu utk suro pergi ke court atas akta 182. minta pendapat tuan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. W'salam. Kalau betul bukan puan yang pandu kereta semasa kejadian, ada asas untuk polis dakwa puan atas laporan yang dibuat. Seksyen 182 adalah kes saman, hukuman maksimum adalah penjara 6 bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Polis pula tidak boleh ganggu puan, diorang cuma boleh hantar saman dengan puan dan kena hadir ke mahkamah pada tarikh disebutkan dalam saman.

      Padam
  2. Hi,

    May I know how to apply for chambering in our own Sabah State AG? TQ so much!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hi,

      You may write in a formal letter of application for pupilage to the State Attorney General's Chambers attaching with your latest CV and copy of your LLB degree. I think it is better to make a call to the said office for further info before sending your application.

      I wish you all the best! Its a good experience and good exposure to undergo chambering in the said Chambers, especially if you plan to join the state service as a legal officer later.

      Padam
    2. Hi Bakal Peguam,

      Thank you so much for your reply, do you have any blogpost written on the Sabah State AG's works? hehe

      Padam
    3. Hi again,

      Unfortunately I do not have any posting on the State AG's office or nature of their work. Send me an email to bicaraperundangan@gmail.com if you need any assistance or perhaps this link will also assist you more:

      http://www.lawnet.sabah.gov.my/Chambers/StateAttorney-GeneralOfSabah.aspx

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI