BERITA KES ROGOL BERKUMPULAN DI TAWAU SABAH

TAWAU, 22 Mei - Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan merogol seorang gadis berusia 19 tahun secara berkumpulan, tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Amir Shah Amir Hassan yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh pertama Mohd Supardie Wahidin Abbas, 18 dan tertuduh kedua Basir Bambang, 26 yang menukar pengakuan mereka kepada bersalah selepas pihak pendakwaan telah memanggil dua orang saksi untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.

Kesalahan dilakukan pada 6 Oktober 2017 jam lebih kurang 4.40 petang di Taman Bukit Tawau.

Sumber gambar di SINI

Mengikut keterangan mangsa yang juga saksi pertama pihak pendakwaan, beliau yang mengenali Mohd Supardie melalui laman sosial WeChat dua bulan sebelum kejadian telah dibawa menaiki motorsikal kononnya untuk berjumpa dengan keluarga tertuduh pertama. Namun, tertuduh pertama telah membawa dua orang lagi rakannya yang dikenali sebagai Om (Basir) dan Andi dan membawa mangsa ke tempat kejadian yang terletak di sebuah ladang kelapa sawit sebelum Basir menolak mangsa ke tanah sebelum Basir dan Mohd Supardie merogol mangsa secara bergilir-gilir. Andi hanya menyaksikan kejadian itu berlaku.

Mangsa kemudiannya dapat menyelamatkan diri dengan bantuan orang awam sebelum membuat laporan polis pada hari berikutnya.

Kesalahan di bawah seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Semasa merayu untuk diringankan hukuman, kedua-dua tertuduh mengakui telah insaf akan kesalahan yang mereka lakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan yang mengendalikan pendakwaan memohon agar hukuman berat dijatuhkan ke atas kedua-dua tertuduh atas dasar kepentingan awam dan kesan trauma yang dialami oleh mangsa.

Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah telah mengambil kira faktor kepentingan awam dan trauma yang dialami oleh mangsa dalam kejadian ini.

“Kedua-dua tertuduh bernasib baik yang mana peruntukan (kesalahan) ini tidak menyediakan hukuman sebatan rotan, yang mana mahkamah agak terkilan kerana sepatutnya kesalahan sebegini serius diperuntukkan hukuman sebatan rotan sekurang-kurangnya 10 kali dan lebih” kata Amir Shah dalam penghakimannya.

Mahkamah mengarahkan hukuman berjalan dari tarikh sabitan ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak mempunyai dokumen dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman untuk tindakan selanjutnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI